Showing posts with label anda dan kesihatan tubuh badan. Show all posts
Showing posts with label anda dan kesihatan tubuh badan. Show all posts

Monday, August 16, 2010

Dugaan Kecil di Bulan Ramadan.

Pulau Langkawi 2008
Alhamdulillah hari ini 6 Syawal 1431H bermakna sudah masuk hari ke-6 umat Islam menunaikan ibadah puasa pada tahun ini. Oh ya harapnya masih belum terlambat untuk saya mengucapkan SELAMAT MENUNAIKAN IBADAH PUASA kepada rakan-taulan dan juga pembaca blog ini, termasuk mereka yang pernah tersinggah kat blog ini.

Rasanya Ramadan kali ini sangat2 meriah kerana semua adik-beradik ada bersama berbuka puasa. Cara berbuka pun dah macam ala2 buffet kat hotel lak. Siapa yang lambat amik tempat tu terpaksa amik pinggan then cedok/ambil makanan pastu bawa diri ke ruang tamu.hehe..mana tidaknya, kerusi dah penuh dengan anak2 buah, termasuklah twin pun sibuk nak join sama. Takmo pula mereka duduk atas kerusi makan baby tu.

Along n family pulang bercuti dari NZ dan akan berada di sini selama 3 bulan..maknanya kami akan menyambut raya bersama-sama. Ia merupakan raya pertama kami meraikan bersama twin.tak sabar nak tengok twin pakai baju kurung nanti. Tapi tak tahu pula status Angah sama ada beraya di rumah kami dulu atau keluarga mertuanya.

Alhamdulillah, syukur kami sekeluarga dapat bersama dan menikmati ibadah ini secara sederhana dan meriah. Cumanya saya diuji sekelumit dugaan tatkala pada malam kelima Ramadan saya demam secara tiba2. Tak tahulah maybe sibuk sangat kot sepanjang hari tu, tu yang demam. Tapi malam tu just makan panadol dan Alhamdulillah mulai kebah paginya.

Sangkaanku ia hanya demam main-main jer, rupa2nya ia sebagai ‘salam perkenalan’ sebab esoknya terus aku demam panas. Paginya saya tak rasa teruk sangat, walaupun dah ada simptom2nya, badan mulai sejuk, kaki pun dah tak larat nak berjalan. Tapi saya (bukan nama sebenar)ni gatal ada hati pergi 1Utama pulak dah. Tujuannya nak cari baju yang dah lama aim, tapi malang sekali baju tu takde. Pastu nak berjalan2 kat kedai2 lain pun dah takde hati, dalam bangunan tu extremely cold!!, sampai rasa kebas jari-jemari ni. Tak pernah dalam sejarah hidup pergi shopping kurang 2 jam dah balik. Memang surrender, dah tak boleh tahan lagi. Balik jer terus pakai sweater dan stoking. Nak terus gi klinik tak guna juga, ubat bukannya boleh makan terus. Sebab memang saya tidak berniat nak batalkan puasa, sayang sangat kalau tinggalkannya.

Macam2 kaedah buat untuk kurangkan kepanasan yang orang tu ibaratkan macam bara api..hehe..pakai cool feverlah, rendam kaki dalam baldi, tempek tuala basah di kepala, lama juga ia nak kebah. Kaki pun dah tak larat nak bergerak, terasa lemah sangat. Hinggakan solat zohor, asar dan maghrib terpaksa buat dalam posisi duduk. Kini barulah saya tahu kenapa kalau demam gi klinik doctor bagi juga ubat sakit badan dan sendi, rupa-rupanya pasal ini..dulu saya ingatkan mcm tak sangkut-paut pun, takdepun ada gejala tersebut…huhuhu.

So semalam masuk jer azan maghrib saya terus teguk 2 gelas besar jus tembikai dan secucuk sate, just nak alas perut untuk makan ubat. Pastu sambung baring balik..huhuhu. Alhamdulillah hampir sejam badan mula berpeluh2, selera makan pun kembali.saya fikirkan kalau tak beransur juga malam tadi nak ke klinik konon2nya lehlah dapat mc untuk hari ini..hehe..tapi tak mengapalah badan pun dah sihat dan saya pun di ofis ketika ini. Cuma sekarang ni tekak pula dah mula buat hal, selalunya kalau mula sakit tekak ni,3 kemungkinan akan berlaku, sama ada selsema, batuk or demam… oh tidakkk…

Lately, rasanya kerap juga saya demam. Untuk tempoh bulan 6 hingga kini rasanya 5 hari dah saya diberi mc. Aiseyman..dah tua agaknya badan2 pun mulai kerap sakit2..hehehe..takpun maybe antibody saya yang lemah..rasanya saya kena mula balik makan supplement lah..itulah selalu sangat mengelat dan takde disiplin untuk ambil supplement..

Ya Allah Ya Tuhan ku
Berilah aku kekuatan menghadapi dugaanMu
Kurniakanlah aku dengan tubuh badan yang sihat..Amin.



p/s: Lazimnya sepanjang Ramadan ini banyak syarikat2, mahupun perseorangan (selalunya orang2 kaya) meraikan majlis berbuka puasa bersama anak2 yatim, warga emas dan OKU. harapnya program ini dapat diteruskan tidak sekadar pada bulan ramadan sahaja....bukankah ia lebih baik..renung-renungkan dan selamat beramal..;p

Friday, September 25, 2009

UBAT: Moden atau herba tradisional, mana pilihan anda?

teks: zaheerah
segmen: Muslimah Bestari


SALING-TINDAKAN UBAT MODEN DAN HERBA

Lazimnya apabila jatuh sakit seperti demam, orang pertama yang kita jumpa pastinya doktor. Paling tidakpun jika masih boleh bertahan sekadar membeli sahaja ubat di farmasi.

Boleh dikatakan ubat merupakan salah satu cara yang berkesan serta murah jika dibandingkan dengan kaedah lain dalam menentang penyakit. Malah, pada hari ini setiap penyakit ada penawarnya. Selain makan ubat untuk mengurangkan kesakitan yang dihadapi secara tiba-tiba seperti sakit kepala dan sakit perut ada yang terpaksa bergantung kepada ubat secara berterusan dan diambil pada waktu ditetapkan seperti penghidap diabetis, pesakit jantung dan sebagainya.

Lebih teruk lagi, ada juga orang perlu mengambil ubat sepanjang hayat seperti Tee Hui Yee penerima jantung yang berjaya menjalani pembedahan pemindahan jantung kali kedua di Institut Jantung Negara (IJN) tahun lalu.

Ubat konvensional vs herba

Bercakap tentang perihal ubat, ketika ini terdapat pelbagai jenis ubat-ubatan sama ada terjual di farmasi mahupun disediakan oleh pihak hospital dan klinik. Ubat konvensional ataupun moden ini dihasilkan berasaskan kajian penyelidikan rapi dari peringkat makmal sehingga klinikal (manusia). Justeru, ubat moden ini dianggap selamat dan berkesan diambil mengikut panduan yang ditetapkan oleh pakar.

Selain itu, terdapat juga ubat yang dihasilkan berasaskan tradisional yang dibuat daripada herba dan sumber tumbuh-tumbuhan dihasilkan dalam bentuk kapsul sekali gus dikomersilkan. Lazimnya ubat-ubat ini untuk rawatan dalaman wanita, resdung, membuang angin, sakit sendi-sendi dan sebgainya.

Menurut Profesor. Dr. Abu Bakar Abdul Majeed, Dekan Fakulti Farmasi dari Universiti Teknologi MARA, 'sediaan' (bukan ubat) herba banyak berasaskan kepada penggunaan tradisional. Namun demikian, katanya, terdapat juga sediaan herba yang telah dijadikan ubat konvensional selepas dipastikan ciri-ciri seperti di atas, contohnya digoxin untuk jantung, vincristine dan vinblastin untuk barah, dan sennoside untuk merawat sembelit. Justeru sediaan herba boleh dijadikan ubat konvensional jika melalui proses pempastian tindakan dari makmal ke ujian klinikal.

Dari segi keberkesanan masing-masing mempunyai manfaat dan keistimewaan tersendiri kepada pesakit baik sebagai penyembuhan, kawalan, pengurangan kesakitan dan sebagainya.

Namun, wujud persoalan sama ada sesuai atau tidak bagi pesakit untuk mencampur-aduk ubat-ubat yang diperolehi dari hospital dengan ubat herba. Hal ini mungkin kerana ada pihak yang merasakan bahawa amalan perubatan menggunakan herba adalah sesuatu yang baik kerana herba dianggap selamat dan kaedah menggunakan herba adalah dianggap sinonim atau selaras dengan Perubatan Islam.

CH: CARA UBAT BERTINDAK

Mengupas mengenai persoalan ini, menurut Abu Bakar, buat masa ini masih belum terdapat apa-apa bukti yang menunjukkan wujud saling tindakan antara kedua-dua jenis ubat ini andai diambil secara bersama.

“Sebenarnya, kita masih mendokumentasikan saling tindakan antara sediaan herba dengan ubat konvensional. Oleh itu, kita belum mengetahui bahawa pengambilan kedua-duanya sekaligus adalah selamat seratus peratus ataupun sebaliknya,” jelasnya.

Walau bagaimanapun beliau tidak menolak ubat moden dan ubat herba boleh saling bertindak melalui beberapa cara, antaranya ialah gangguan terhadap penyerapan ubat di dalam usus. Kebiasaannya menurut beliau, ubat herba menjejaskan penyerapan ubat moden yang mengandungi unsur logam seperti kalsium. Namun demikian, tambahnya lagi, kesan ini tidak begitu membimbangkan.

“Di samping itu, ubat herba dikatakan mampu menjejaskan proses perkumuhan ubat moden. Walaupun demikian, kesan ubat herba menukar kadar pembuangan air kencing biasanya sangat lemah dan tidak menimbulkan banyak masalah,” katanya.

Tambah Abu bakar, selain tindak balas tersebut, ubat herba berkeupayaan untuk meningkatkan paras ubat moden di dalam darah. Ubat yang telah diserap ke dalam darah wujud bebas atau terikat kepada protein di dalam darah. Katanya, keseimbangan ini penting untuk mengelakkan daripada paras ubat di dalam darah berada di tahap yang terlalu tinggi.

Namun, saling-tindakan jenis ini juga katanya tidak dapat dibuktikan dengan jelas dan hanya dilihat ketika ujikaji di dalam makmal sahaja.

“Meskipun masih belum dapat membuktikan seratus peratus akan tindak balas bagi pengambilan kedua-dua jenis ubat ini sekaligus, adalah lebih baik jika seseorang yang mengambil ubat seperti ubat anti-hipertensif, kencing manis, dan sebagainya, mengelakkan daripada mengambil sebarang sediaan herba agar tiada kesan yang tidak diingini berlaku.

Panduan pengambilan ubat-ubatan

Walaupun masih tiada lagi sebarang bukti kukuh mengenai kesan penggunaan ubat daripada kedua-dua kategori ini, Abu Bakar menasihati orang ramai agar berhati-hati dalam memilih ubat, terutama ubat yang dibeli selain daripada klinik mahupun hospital. Di samping itu, beliau menggariskan beberapa panduan cara pengambilan ubat yang baik.
Antaranya:
  • Sekiranya ingin mengambil kedua-dua jenis ubat ini secara serentak mahupun salah satu, rujuk dan dapatkan terlebih dahulu nasihat pakar.
  • Pengguna perlu menyemak terlebih dahulu dengan pihak berkuasa di Kementerian Kesihatan tentang sama ada ubat herba didaftarkan atau tidak. Sekurang-kurangnya mereka akan lebih yakin bahawa jika berlaku saling tindakan hasil daripada penggunaan ubat herba yang berdaftar, asal-usulnya dapat dikenalpasti melalui pembuat atau pembekal utama ubat-ubat tersebut.
  • Sediaan herba dalam bentuk ulam dan sayur-sayuran yang biasa diambil bersama makanan harian bolehlah diteruskan memakannya walaupun masih berubat, kecuali jika ada larangan dari pihak doktor atau ahli farmasi.
  • Namun demikian, perlulah dipastikan bahawa jika kedua-duanya digunakan sekaligus, biarlah tiada saling tindakan yang akan berlaku di antaranya.


End..


Thursday, August 14, 2008

Wong Mew Choo..anda hebat!


-gambar ehsan dari kosmo online

Semalam petang aku bergegas balik ke umah sebab nak tengok pertandingan badminton sukan olimpik yang mempertaruhkan giliran negara oleh beregu muda Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan perseorangan wanita tunggal negara yang disandarkan kepada Wong Mew Choo (suka tengok muka dia comel).

Sampai umah dalam kul 6.30 tu Mew Choo tengah main untuk set kedua. Set pertama dia kalah mudah. Selepas menyaksikan pertarungan cukup hebat oleh bintang gergasi tenis dunia Rafael Nadal dan Roger Federer yang dianggap sebagai pertarungan lagenda itu, aku rasakan pertarungan antara Mew Choo dan lawannya dari China Lu Lan (menyampah tengok muka dia..hehe..peminat emosional) juga tidak kurang hebatnya.

Mew Choo memberikan persaingan yang cukup sengit, walaupun nampak dirinya diasak untuk bergerak hampir ke segenap gelanggang oleh pihak lawan. Dia menunjukkan semanagat yang tidak mudah menyerah, walaupun ada ketika dia ketinggalan dan agak penat. Walaupun dia mempunyai banyak peluang (samapai 9 set point) , tapi nampaknya kemenangan berpihak pada China. Dia tewas kepada pemain tuan rumah, Lu Lan 27-29 dalam satu pertarungan yang cukup hebat, sengit dan mendebarkan semalam.

Aksi aku pun tak kurang hebatnya, smpai tak leh dok diam..melompat sana sini bila tengok Mew Choo perlukan 1 mata jer lagi nak set point. (peluang smaapai 9 kali u)..rasanya sapa dok dekat dengan aku , ada jer kena tumbuk, aku melepaskan geram. Samapi tekak pun naik sakit, sebab menahan nak jerit (takut terjerit kuat)..hehehe..macam tarzan pun ada rasanya lagak aku semalam..

Walaupun tewas pujian yang tinggi harus diberikan kepada wirawati negara itu yang tak berputus asa dan menyerah kalah. Sekurang-kurangnya dia kalah tipis dan bermaruah ...cayalah Mew Choo!...anda hebat!

Sebaliknya yang mengecewakan aku ialah bergu negara kita Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang permainan mereka seperti bukan pada kelas mereka . tak memberi persaingan langsung..sungguh mengecewakan...rasanya seperti mereka dibuli habis-habisan oleh bergu dr Indonesia Markis Kido-Hendra Setiawan…

Hari ni harap2 adalah berita gembira dari perseorangan Lee Chung Wei akan turut ke gelanggang petang ni..hari ni mesti tengok..

MALAYSIA BOLEH!..CHUNG WEI BOLEH!-----dari peminat sukan badminton

-lepas ni kalau dah join kelab badminton, bolehlah aku main setiap petang pas balik kerja ..;)





Monday, April 28, 2008

Bekam- Rawatan Alternatif Yang Berkesan Merawat Penyakit.

Bekam. Mungkin ramai yang sudah tahu apa itu bekam dan bagaimana bentuk rawatannya. Namun tahukah anda bahawa rawatan bekam ini sudah mula wujud sejak zaman Nabi Muhammad s.a.w. lagi. Ini bermakna ia adalah salah satu warisan perubatan Islam yang paling baik. Sebagai buktinya, daripada riwayat Anas bin Malik r.a, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Bahawa tidak aku berlalu (jalan) di malam Israk dengan malaikat melainkan mereka berkata, “Wahai Muhammad perintahkan ke atas umat engkau dengan berbekam”.

Sejak zaman berzaman masyarakat Melayu menerima amalan berbekam sebagai salah satu medium rawatan. Kalau dahulu, bekam dilakukan menggunakan alatan seperti tanduk kerbau, gading gajah, batang buluh dan gelas tapi kini selaras dengan perubahan zaman, alatan untuk bekam juga berubah dengan menitik beratkan penggunaan teknologi moden (medium alat vakum moden yang bersih dan suci hama).

Menurut Noorazila Abdul Rahim, Pengarah Urusan Pusat Rawatan An-Nur, bekam dikatakan mampu merawat pelbagai penyakit dan memulihkan fungsi tubuh dengan berkesan.

“Bekam dalam istilah Melayu membawa maksud pelepasan angin atau pelepasan darah kotor dari badan. Manakala dalam bahasa Arab ia dikenali sebagai al- hijamah iaitu kaedah pembersihan darah atau angin dengan mengeluarkan sisa toksik dalam badan melalui kulit secara sedutan,” ujar Noorazila yang ditemui di pejabatnya, di Gombak.

Noorazila 26, yang sudah empat tahun menjalankan perniagaan rawatan bekam ini menyatakan proses berbekam perlu melalui empat peringkat iaitu bermula dengan rawatan asas, memulihkan sakit, mengekalkan dan memelihara kesihatan. Sewaktu rawatan asas, seluruh badan mesti dibekam contohnya di bahagian kepala, yang dilakukan secara berperingkat-peringkat dan tidak melebihi seminggu. Selepas itu, ia akan meliputi seluruh badan.

Tujuannya ialah untuk membuang keracunan dalam darah, memulihkan saraf-saraf dan organ-organ dalam badan. Di samping itu ia juga penting untuk membetulkan sistem badan dan memudahkan pengaliran oksigen. Setelah rawatan selesai, pesakit akan menjalani rawatan pemulihan secara berulang sehingga penyakit sembuh.

“Walaupun telah sembuh, mereka perlu mengulangi rawatan bagi mengekalkan kesihatan. Ini amat penting supaya pesakit berasa selesa dan segar. Berbekam tidak hanya pada orang yang berpanyakit tetapi mereka yang sihat juga boleh melakukannya, sekurang-kurangnya setiap enam bulan sekali,” katanya yang mengesyorkan rawatan bekam dibuat pada bulan Rejab ataupun Syaaban (17, 19 dan 21 haribulan) bagi mendapatkan keberkatan Allah s.w.t.

Beliau yang turut membuka pusat rawatan di Kota Bharu dan Johor berkata kebiasaanya, darah yang disedut keluar akan berwarna kehitam-hitaman dan kadang-kadang mempunyai lendir, lemak dan simptom keracunan yang lain. Darah yang terdapat di dalam badan yang tidak berfungsi lagi untuk tubuh, akhirnya membawa keracunan dan mengakibatkan sistem tubuh lemah. Jika tidak dibuang, toksin tadi akan menyebabkan badan tidak boleh bertahan dan terjadilah penyakit seperti buah pinggang, kencing manis dan penyakit lain yang merbahaya.

Bagi yang telah mendapatkan rawatan bekam, mereka akan merasakan perbezaan dari segi kecergasan otak, sendi-sendi jadi ringan, wajah berseri dan tidak ditumbuhi jerawat, tubuh semakin bertenaga, bau badan wangi dan seluruh organ dalaman badan bertambah sihat.

“Sebelum rawatan dimulakan, pasakit akan dinilai tahap kesihatan terlebih dahulu. Mereka akan diperiksa dengan melihat keadaan mata, tapak tangan dan kuku. Bahagian tubuh yang dipenuhi darah toksik selalunya berasa sakit, tegang, berdenyut, tidak selesa dan ketika rawatan, darah toksid pada badan yang sakit dikeluarkan. Apabila selesai, simptom penyakit akan mulai reda dan fungsi tubuh kembali kepada asal,” ujarnya yang mula mempelajari kaedah berbekam dari Institut Latihan Jejawi Perlis.

Tambah beliau lagi, teknik bekam yang diamalkannya selamat, tidak sakit dan merbahaya, malah berkesan untuk mengubat dan mencegah penyakit. Dalam jangka masa singkat jelasnya bekam dapat memperbaiki dan menjadikan tubuh lebih sihat. Bagaimanapun, Noorazila menasihati orang ramai agar memilih pusat rawatan bekam yang bersih dan selamat sama ada dari segi penggunaan alatan dan pengurusannya.

Fakta bekam:

Jenis bekam
v Bekam kering
Bekam kering atau bekam angin iaitu menghisap permukaan kulit tanpa mengeluarkan darah toksid. Biasanya, orang yang tidak tahan suntikan jarum atau takut melihat darah. Mengikut kaedah tradisional, kulit yang dibekam akan kelihatan merah kehitaman dan hilang selepas kira-kira tiga hari.

v Bekam basah
Bekam ini dilakukan dengan melukai permukaan kulit menggunakan jarum tajam. Darah toksid dikeluarkan menggunakan alat khas bekam. Setiap kali proses mengeluarkan darah toksid ia memakan masa antara tiga hingga lima minit bergantung kepada tahap kesihatan seseorang itu. Darah toksid dikenal pasti berdasarkan warna merah pekat dan berbuih. Mereka yang berbekam dinasihatkan tidak mandi selama tiga jam selepas berbekam.

Waktu berbekam
Pengamal perubatan tradisional berpendapat bahawa waktu.berbekam paling baik dilakukan ialah ketika pertengahan bulan kerana ketika itu, darah toksid berhimpun. Bagaimanapun, berbekam boleh dilakukan pada bila-bila masa untuk tujuan mengubati penyakit. Mereka yang berbekam dinasihati tidak mengambil makanan berat dalam tempoh dua hingga tiga jam sebelum berbekam atau lebih baik berpuasa sebelum berbekam

Larangan bekam
Tidak semua boleh berbekam kerana dikhuatiri akan memudaratkan kesihatan. Mereka yang mempunyai masalah tekanan darah rendah, pesakit kudis, perempuan mengandung dan ketika haid, mengalami masalah kulit serius atau dalam keadaan sangat letih, lapar dan kenyang. Antara anggota badan yang tidak boleh dibekam ialah mata, telinga, hidung, mulut, alat kelamin dan dubur.

Kebaikan bekam:
v Membantu menghilangkan pening dan migrain.
v Membuang angin dalam badan, melancarkan pernafasan dan sistem perkumuhan.
v Membantu memecahkan lemak, peluh dan melegakan demam.
v Memulihkan ketegangan urat leher, belikat, pinggang dan urat sendi kaki.
v Mencegah kebas kaki dan meredakan serangan angin ahmar.
v Mengeluarkan darah toksik dan melancarkan peredaran darah yang tersumbat.
v Membantu meringankan tubuh. Darah kotor yang terkumpul di bawah permukaan kulit menyebabkan rasa berat dan malas.
v Menajamkan penglihatan.
v Dikatakan dapat merawat pelbagai penyakit. Dianggarkan sebanyak 72 jenis penyakit dapat disembuhkan antaranya ketegangan urat, darah tinggi, jantung, kolesterol, migrain, sakit mata, angin ahmar, sakit gigi, jerawat, sembelit, tekanan dan buah pinggang.

Wednesday, February 13, 2008

Jangan TERLALU...

Tanpa kita sedar, ada beberapa amalan atau pekerjaan yang sering kita lakukan dalam kehidupan seharian sebenarnya mempunyai kesan kepada diri, misalannya;
Jika anda Terlalu.....

1.Terlalu lama berdiri - merosakkan tulang. Urat sekitar kaki menjadi kembang.

2. Terlalu lama duduk - merosakkan lipatan daging. Akan mudah dihinggapi penyakit tua. Tubuh badan menjadi kendur.

3. Terlalu lama berjalan - merosakkan urat.

4. Terlalu lama melihat - merosakkan darah.

5. Terlalu banyak tidur - merosakkan tenaga. Menjadi pemalas. Jauh jodoh!

6. Terlalubanyak ketawa/gembira - merosakkan usus.

7. Terlalu kerap marah - merosakkan hati. Cepat kelihatan tua.

8. Terlalu banyak berfikir - merosakkan limpa. Kulit muka cepat berkedut.

9. Terlalu banyak bersedih - merosakkan jantung.

10. Terlalu merana - merosakkan paru-paru.

11. Terlalu takut - merosakkan ginjal. Apabila fungsi ginjal terjejas, boleh mengakibatkan gejala kencing manis dan lemah jantung.

12. Terlalu kerap terkejut - merosakkan pundi hempedu. Gejala pening kepala kerap dialami.

13. Terlalu banyak makan - merosakkan pencernaan. Mudah mengalami keletihan, malas dan selalu mengantuk.(simptom ini selalu dialami..hehe)

14. Terlalu banyak minum minuman berais - merosakkan otot & lambung. Badan menjadi lembik. Berat badan meningkat. Mudah diserang penyakit & tidak kelihatan awet muda.

15. Terlalu banyak masa lapang - merosakkan fikiran. Kelapangan masa yang terlalu banyak menimbulkan berbagai khayalan dan menimbulkan berbagai penyakit jiwa, kecuali masa lapang diisi dgn aktiviti hidup yg positif .

tidak diketahui kesahihannya, tapi tak rugikan jika mencuba

Saturday, January 5, 2008

MAKAN MALAM Benarkah Punca Gemuk?

Bilakah waktu makan yang terbaik bagi kita? Apabila bercakap mengenai waktu makan yang baik, yang sering jadi tumpuan adalah kepentingan mengambil hidangan waktu pagi atau sarapan, sama ada untuk kanak-kanak mahupun dewasa.

Sarapan selalunya dianggap penting kerana ia dikatakan dapat membekalkan tenaga kepada tubuh badan bagi melakukan aktiviti harian sepanjang hari berbanding makan malam yang memperlihatkan penggunaan tenaga atau kalori yang bersifat minimum.

Namun sebenarnya makan malam juga tidak kurang pentingnya dan tidak
harusnya diabaikan. Mungkin makan pada waktu ini kurang ‘popular’ dan sering kali diabaikan kerana rata-rata mengambil kesempatan melangkau atau skipping makan malam sebagai salah satu cara untuk berdiet.

BERAT BADAN BERTAMBAH
Penolong Pengarah Pemakanan, Kementerian Kesihatan, Surainee Wahab berkata, segelintir masyarakat beranggapan bahawa mengambil makanan pada waktu malam boleh mengakibatkan mereka terdedah kepada risiko pertambahan berat badan.

“Sebenarnya pendapat ini tidak tepat sama sekali. Ini kerana faktor-faktor kegemukan lazimnya adalah disebabkan oleh pemakanan yang kurang sihat seperti makan secara berlebihan, makan makanan yang berlemak, berminyak dan tinggi kalori serta gaya hidup yang sedentari,” terangnya.

Sebaliknya jelas Surainee, dengan melangkau sesuatu masa makan boleh membawa kepada kelaparan yang tidak terkawal dan biasanya menyebabkan seseorang itu makan secara berlebihan dan sekali gus lupa tentang pemakanan yang baik.

Justeru amalan pemakanan yang baik jelasnya, adalah dengan mengambil sarapan, makan tengah hari dan makan malam secara teratur setiap hari. Sebaik-baiknya dinasihatkan setiap pengambilan makanan tersebut dalam kuantiti yang sedikit. Pada masa sama, beliau juga mengingatkan orang ramai agar elakkan diri daripada tidak mengambil sarapan, atau tidak makan atau makan tengah hari sedikit sahaja dan makan malam dengan banyak.

KONTEKS BUDAYA

Di samping manfaat kepada kesihatan diri, sebenarnya makan malam juga penting dari segi budaya kerana ia sering kali dijadikan upacara penting untuk menyambut perayaan atau hari-hari yang istimewa. Misalnya, makan besar sempena tahun baru Cina, makan malam sempena menyambut hari jadi ahli keluarga dan sebagainya.

Hal ini jelas menunjukkan kepentingan makan malan dalam konteks adat dan budaya. Selain itu, bagi ibu bapa yang bekerja di siang hari, makan malam juga adalah satu-satunya masa untuk bersama dan bermesra dengan anak-anak dan secara tidak langsung mengeratkan tali kekeluargaan.

PANDUAN PEMAKANAN
Takut untuk makan malam kerana bimbang gemuk? Justeru bagaimanakah cara pemakanan (terutamanya makan malam) yang baik?

Tip berikut mungkin boleh dijadikan panduan makan malam yang sihat
  1. Utamakan makanan yang seimbang pada setiap waktu makan termasuk makan malam. Pastikan hidangan anda mengandungi karbohidrat, protein serta sayur-sayuran dalam kuantiti yang betul.
  2. Hadkan pengambilan makanan yang bergoreng, berlemak dan berminyak pada setiap masa.
  3. Ketahuilah saiz hidangan makanan anda. Makan malam sepatutnya membekalkan anda 400 sehingga 500 kalori.
  4. Waktu makan malam yang ideal adalah di antara 6.30 petang hingga 8.30 malam. Sekiranya anda tidur lewat, boleh mengambil snek yang ringan sebelum tidur seperti buah-buahan, roti, biskut atau segelas susu suam.
  5. Tidak digalakkan mengambil makanan pada lewat malam. Ini kerana, kalori yang diambil daripada makanan tersebut akan digunakan sedikit sahaja memandangkan malam adalah waktu untuk tidur.
  6. Makan hanya di meja makan yang sesuai. Elakkan makan malam sambil menonton televisyen. Ini kerana anda tidak sedar berapa banyak anda makan sambil anda menonton rancangan kegemaran.
  7. Elakkan mengambil teh atau kopi selepas makan malam. Sesetengah orang sensitif kepada kafeina. Pengambilan teh atau kopi boleh mengakibatkan gangguan tidur.
  8. Sekiranya anda perlu menghadiri jamuan makan malam, anda tidak perlu makan semua jenis makanan yang dihidangkan. Cukup sekadar menjamah hidangan untuk mengambil hati tuan rumah.

    Contoh hidangan makan malam yang sihat:
    Menu 1
    Nasi putih 1 cawan
    Ikan bawal goreng 1 kecil
    Sup sayur campur 1 mangkuk kecil
    Kerabu pegaga 1 cawan
    Air kosong 1 gelas

    Menu 2
    Nasi putih 1 cawan
    Sup bayam dan tauhu 1 mangkuk kecil
    Terung sambal ( panggang) 1 biji sederhana
    Asam pedas ikan senangin 1 ekor sederhana
    Air kosong 1 gelas

    Menu 3
    Satu mangkuk mihun sup
    (lebihkan sayur dan kurangkan minyak)
    Segelas air kosong

MENGENAI SUP
Bagi sesetengah orang, sup adalah makanan yang ringkas, senang disediakan, menjimatkan, dan juga menyihatkan. Malah bagi mereka yang ingin mengurangkan berat badan, biasanya hanya mengambil semangkuk sup sayur sebagai alas perut sebelum tidur.

Sup boleh menjadi makanan yang rendah kalori dan menyihatkan, malah boleh juga jadi sebaliknya Ini bergantung kepada bahan-bahan yang digunakan serta cara penyediaan sup tersebut.

Seelok-eloknya, sediakan sup yang berasaskan sayur-sayuran dan elakkan atau minimumkan penggunaan minyak semasa menyediakan hidangan tersebut. Jika boleh, elakkan membeli sup yang dijual di kedai-kedai makan atau sup segera yang dijual di pasar raya. Ini kerana, biasanya sup yang dijual atau sup segera ini tinggi dengan kandungan garam.

Oleh kerana sup memberikan rasa kenyang, makanan ini sesuai untuk dijadikan makanan pembuka selera. Secara tidak langsung, anda akan makan sedikit sahaja makanan yang seterusnya. Namun begitu, tidak bermakna dengan mengambil sup, anda akan dapat mengurangkan berat badan.

Kunci utama untuk mengurangkan berat badan adalah makan mengikut keperluan dan juga melakukan senaman. Diet yang hanya mengandungi sup sayur sahaja juga tidak digalakkan. Jangan lupa, anda perlu juga mengambil makanan yang berasaskan karbohidrat iaitu nasi, roti, mi, mihun dan sebagainya serta makanan berprotein dan berkalsium (ayam, ikan, daging, susu dan hasil tenusu) dalam diet harian.

Susu diet sihat untuk semua

Setiap individu disarankan untuk mengamalkan minum susu sekurang-kurangnya dua gelas setiap hari sebagai sebahagian daripada diet harian yang sihat. Susu lebih-lebih lagi digalakkan kepada golongan kanak-kanak kerana khasiat pemakanan yang terkandung di dalamnya diperlukan untuk mereka membesar dengan sihat, cergas dan ceria.

Sebagai ibu bapa, anda harus mengetahui khasiat susu untuk kanak-kanak yang sedang membesar. Menurut Pegawai Dietetik (Dietitian) Hospital Kuala Lumpur, Nor Sharita Mohd Saad, kanak-kanak yang berusia empat sehingga lapan tahun disarankan untuk minum susu sebanyak 800 miligram kalsium iaitu 2.6 (2 - 2/3) gelas susu sehari. Manakala bagi mereka yang berusia dari sembilan sehingga remaja berumur 18 tahun adalah sebanyak 1300 miligram kalsium iaitu bersamaan 4.3 (4-1/3) gelas susu sehari.

KHASIAT SUSU
Menjelaskan lebih lanjut perihal susu, menurut Nor Sharita, susu adalah sejenis makanan yang amat kaya dengan nutrien seperti protein dan kalsium yang bermanfaat untuk kesihatan tulang dan gigi yang kuat. Di samping itu, susu adalah sumber vitamin dan mineral yang baik yang setiap satunya memiliki satu atau lebih jenis fungsinya kepada kesihatan tubuh badan manusia.
Antaranya;

  • Vitamin D dan K adalah penting untuk kesihatan dan pembentukan tulang.
  • Vitamin B12 dan Riboflavin sangat diperlukan untuk kesihatan kardiovaskular (jantung) dan penghasilan tenaga.
  • Vitamin B untuk penghasilan tenaga
  • Vitamin A untuk sistem imunisasi
  • Vitamin K dan Magnesium untuk kesihatan jantung
  • Selenium merupakan mineral (trace mineral) yang berperanan sebagai penghalang penyakit barah.
  • Tiamina (vitamin B) penting untuk fungsi kognitif, terutama untuk sistem daya ingatan.

    “Selain itu, susu turut membekalkan protein yang diperlukan untuk pembinaan tisu serta karbohidrat dan lemak yang berfungsi sebagai pembekal tenaga. Bagaimanapun, kandungan kalsium yang terdapat dalam susu menjadikannya istimewa,” katanya.

    PUNCA KERACUNAN SUSU
    Berdasarkan signifikan khasiat susu kepada golongan ini, maka tidak hairanlah mengapa pihak kerajaan melaksanakan program bantuan susu sekolah di seluruh negara yang bermula sejak tahun 1960-an lagi.

Namun akhir-akhir ini berita mengenai masalah keracunan makanan yang didapati berpunca daripada kualiti minuman yang dibekalkan kepada para pelajar ini dilaporkan menerusi media elektronik mahupun cetak. Menurut berita tersebut, dilaporkan ramai murid yang mengalami cirit-birit dan muntah-muntah setelah meminum susu kotak yang dibekalkan.

Mengulas mengenai masalah ini, Sharita berkata, hal ini tidak mustahil berlaku kepada sesiapa memandangkan sifat ‘semula jadi’ susu yang merupakan bahan mentah yang mudah rosak.

“Secara saintifik, susu sebenarnya mengandungi asid yang rendah tetapi tinggi kandungan zat makanan (nutrien). Keadaan ini menyebabkan ia sangat sesuai untuk pembiakan bakteria, termasuk jenis bakteria yang menyebabkan keracunan makanan,” jelasnya.

Jelas Sharita, susu UHT (ultra-high temperature) atau susu terpasteur disediakan melalui kaedah pemanasan susu pada suhu sederhana (lazimnya di bawah 100 darjah Celcius). Ini katanya bertujuan bagi memanjangkan hayat susu tersebut kepada beberapa hari memandangkan bakteria yang tahan panas akan menjadi tidak aktif buat sementara waktu.

Namun menurutnya, sekiranya susu tidak dipanaskan secukupnya, terdapat risiko mikroorganisma tersebut tidak mati, sebaliknya akan terus membiak.

“Dalam keadaan susu yang rendah asid, menyebabkan banyak bakteria membiak, termasuklah Clostridium botulinum yang menjadi punca keracunan makanan. Justeru adalah tidak mustahil masalah keracunan susu adalah disebabkan susu tidak disimpan pada susu yang sesuai,” jelas Sharita.

PANDUAN PENGAMBILAN SUSU YANG BERKESAN
Walaupun kini pembuatan susu secara komersial menggunakan teknologi moden yang serba canggih dan pantas, namun itu tidak bererti anda boleh lalai daripada mengambil langkah berhati-hati sebelum membelinya. Pastikan terlebih dahulu anda memeriksa tarikh luput yang tercetak pada label susu. Jangan membeli susu yang tinnya telah kemik atau paket yang kembang.

Sebenarnya minum susu juga ada caranya yang tersendiri. Selain ia disimpan di dalam peti sejuk, sebelum minum, anda perlulah perhatikan terlebih dahulu keadaan fizikal susu tersebut. Sekiranya ia berkeladak, pejal, berlendir dan berbau busuk, maka elakkan daripada meminumnya.

Tambah Sharita, susu yang telah dibuka perlu disimpan di dalam peti sejuk dan hendaklah dihabiskan dalam tempoh 24 jam. Selain itu, sebagai sumber alternatif mendapatkan khasiat sama yang dibekalkan oleh susu, beliau turut menyarankan pengambilan hasil-hasil tenusu lain seperti yogurt, keju, ais krim dan lain-lain untuk kepelbagaian dalam diet harian.