Showing posts with label nak makan di mana?. Show all posts
Showing posts with label nak makan di mana?. Show all posts

Wednesday, November 28, 2012

Fish & Chips di Laman Grill

Wah dah bersawang rupanya blog ni...nasib baik takde sarang labah2..;)..rasanya dah nak dekat 2 tahun tak singgah memblog..lepas tu baru tahu blog punya layout post dah lain lah pulak...itu menunjukkan punyalah lama tak update blog ini..

Hari ni pun sekadar nak testing blog ni masih berfungsi dengan baik atau tidak...;),,so sebagai warm ip nak updatelah lokasi makan2 yang baru dikunjungi baru2 ini ...mungkin dpt beri idea kepada mereka yang berkira2 nak mencuba suatu yang baru, atau cuba menu yang baru di temapt yang baru..

Hujung minggu lalu menjamu hidangan western di restoran Laman Grill; Steak N Bar-B-Que, milik Chef Zubir (juri rancangan Masterchef). Terletak di Laman Seri , Seksyen 13 Shah Alam.

Siapa2 yang gemar nak cuba pelbagai hidangan steak, maybe ini tempat yang sesuai untuk anda..tp bagi saya yang hanya makan ayam dan ikan..tak berapa byk pilihan buat saya...tapi boleh cuba beraneka hidangan pasta.

tapi buat saya ada Fish n Chip pun sudah cukup bagusss...my feveret menu..so kami cuba spagetti (lupa namanya) dan Fish n Chips, serta 2 jus buah-buahan.

Puas hati dapat makan fish n Chips yang diperbuat dr isi ikan oyang sebenar...

Tak banyak complaint tentang restoran ini, interiornya cantik (maaf lupa ambil gambrr dalamnnya), selesa, makanann lazat, cuma portionnya sikit kot..tak padan dengan pinggannya yang boleh letak kuali...;)

dari segi harga pula...bagi saya mungkin berpatutan dengan kepuasan yang kita dapat dari hidangan westernya, atmostpherenya..pendek kata jika nak rasa menu seperti di hotel, tp sedikit murah, dan celebrate special event, mcm anniversary ke mungkin inilah tempatnya...

                                                           pure juice

sambil tunggu makanan smpai..


                                          spagetti lupa namanya...;)

Fish N Chips my all time feveret

Thursday, May 29, 2008

Juhaidi tidak mahu menjadi Islam yang merempat


Kali pertama penulis berjumpa dengan saudara baru ini ketika dibawa melawat restorannya; Kelantan Delights dalam satu lawatan khas para media ke pusat gaya hidup Sooka Sentral yang baru di buka baru-baru ini. Namun penulis hanya mendapat tahu bahawa beliau seorang mualaf setelah melihat namanya tertera sebagai Juhaidi Yean Abdullah setelah menghulurkan kad perniagaannya kepada penulis.


Memenuhi segmen Nur Islam yang dikelola, penulis mengatur pertemuan seterusnya dengan beliau bagi mengupas lebih lanjut titik tolak perjalanannya sebagai seorang Islam.
Tidak lekang bibirnya mengukir senyuman, anak kelahiran Cik Siti Wan Kembang ini memulakan kisahnya seawal usianya lapan tahun. Beliau mulai mengenal Islam setelah memilih mata pelajaran agama tersebut sebagai subjek pilihan.


“Semasa itu, pelajar berbangsa Cina atau India bebas untuk memilih mata pelajaran sama ada agama Islam atau kelas sivik (sekarang dikenali Pendidikan Moral). Jadi saya pun pilihlah untuk mengikuti kelas agama Islam dan mulai mendalami agama tersebut. Alhamdulillah, tidak lama selepas itu saya dapat menulis jawi dengan baik, ustazah pun memuji hasil tulisan saya,” senyumnya penuh makna.

Masyarakat Melayu
Bagi Juhaidi, Islam dan dirinya dirasakan cukup ‘dekat’ ini katanya, mungkin sedikit sebanyak dipengaruhi oleh faktor persekitarannya yang hidup di sebuah perkampungan Melayu sejak masih kecil. Menurut bekas wartawan akhbar ini, beliau dapat melihat cara hidup masyarakat Islam yang begitu berpegang teguh kepada ajaran agama pada setiap waktu.


“Saya tinggal dalam sebuah kampung yang rata-ratanya terdiri daripada masyarakat Melayu. Masjid pun dekat dengan rumah dan setiap hari dapat mendengar seruan azan. Malah kawan-kawan rapat pun kebanyakan orang Melayu. Saya kerap juga bertandang ke rumah rakan dan melihat sendiri bagaimana mereka sekeluarga menjalani kehidupan seharian sebagai muslim seperti bersolat. Dari situ saya lihat cara kehidupan orang Islam yang ternyata cukup berbeza dengan agama saya ketika itu,” jelasnya.


Jelas Juhaidi walaupun masih belum terbuka hati sepenuhnya untuk menjadi saudara baru, namun seawal usia lapan tahun beliau sudah tidak menyentuh apatah lagi makan daging babi. Pernah katanya, bapanya mengumpannya untuk membawanya melancong ke Singapura sekiranya beliau memakan daging tersebut. Namun, beliau bersyukur kerana dapat tetap mempertahankan keimanannya sekalipun ‘disogok’ dengan sesuatu yang mungkin akan menarik perhatiannya.

Minta dipanjangkan umur

Walaupun dapat belajar agama dan mampu menulis jawi dengan baik, namun ia masih belum membuka pintu hatinya untuk menjadi sebahagian daripada umat Nabi Muhammad s.a.w. Sebaliknya pada waktu itu, beliau berdoa agar Tuhan memanjangkan usianya untuknya memeluk agama Islam suatu hari nanti.


“ Pada usia 11 tahun, saya telah membuat pengakuan pada Tuhan dan memohon kepadaNya dipanjangkan usia agar saya berkesempatan untuk memeluk agama Islam hanya setelah saya sudah mampu hidup berdikari dan mempunyai pekerjaan yang baik. Saya tidak mahu hidup merempat setelah dibuang keluarga kerana tidak dapat menerima keputusan saya memilih Islam sebagai cara hidup yang hakiki. Pada saya sekalipun disisih keluarga, sekurang-kurangnya saya masih mampu meneruskan kehidupan atas usaha sendiri.


“Ini kerana saya masih teringat satu peristiwa ketika masih di bangku sekolah, apabila ada seorang mualaf datang ke sekolah untuk memungut derma dengan menunjukkan sijil daripada majlis agama negeri yang mengesahkan dia seorang mualaf. Saya cukup benci apabila ada segelintir saudara baru yang mengambil jalan mudah menyara hidup dengan cara mengutip derma. Oleh sebab itu, saya menanam tekad untuk berjaya terlebih dahulu sebelum bersedia memeluk Islam,” jelasnya yang juga pernah menjadi editor majalah untuk industri penerbangan dan pertahanan.


Pemilik nama asal Yean Lai Joo ini akhirnya melafazkan kalimah syahadah buat pertama kalinya pada April 1982 pada usia 22 tahun menerusi bantuan kenalan rapatnya Haji Sharani yang telah banyak membantu beliau mendalami Islam, malah merupakan individu pertama membawanya ke masjid menunaikan solat Jumaat.

Conteng arang ke muka
Ditanya mengenai penerimaan keluarga terhadap keputusannya itu, jelas Juhaidy, beliau bersyukur kerana tidak menerima tentangan hebat daripada ahli keluarga kecuali ayahnya yang begitu marah dengan tindakannya itu.

“Selepas sebulan memeluk Islam, saya balik kampung untuk memaklumkan kepada keluarga. Ayah cukup marah, manakala emak dan nenek pula menangis di kedua belah bahu saya. Sejak itu ayah mula tidak bercakap langsung dengan saya, tetapi saya bernasib baik walaupun ketiga-tiga abang saya menganggap tindakan saya itu ibarat menconteng arang ke muka , tetapi mereka tidak masuk campur atas keputusan saya kerana menganggap itu hak saya, dan tidak akan menjadikan ia sebagai satu isu yang merenggangkan hubungan kami adik-beradik.

“Ibu pula banyak menasihati saya untuk bersabar dan sentiasa tegur ayah walaupun dia tidak mahu bercakap dengan saya. Saya juga kasihankan dia kerana orang kampung mengutuk mak dan ayah tidak pandai jaga anak. Malah mereka mengangap saya masuk Islam bermakna saya juga masuk Melayu,” katanya yang ingin membetulkan persepsi tersebut.

Pun begitu, beliau tidak pernah rasa disisihkan, malah bersyukur kerana lama-kelamaan keluarga dapat menerima jalan hidup yang dipilihannya. Azam Juhaidi, walaupun berbeza agama, namun sebagai anak beliau tetap akan terus menjalankan kewajipannya menjaga kepentingan orang tuanya samapi bila-bila.

3 tahun pertama penting
“Saya ingin buktikan dan menjadi contoh terbaik kepada orang tua saya bahawa saya masih mampu berjaya dan menjaga mereka dengan baik walaupun saya sudah memeluk Islam. Selain itu, Alhamdulillah walaupun bukan sumbangan yang besar namun saya juga sedikit sebanyak dapat membantu orang kampung walaupun suatu ketika dulu pernah dikutuk,” kata bapa tunggal kepada tiga anak ini.

Menurut Juhaidi berdasarkan pengalaman dan pemerhatian beliau yang telah bergelar saudara baru selama 26 tahun, tiga tahun pertama menjadi salah seorang umat Nabi Muhammad merupakan satu tempoh yang cukup penting bagi memastikan keimanan golongan ini akan kekal terpelihara sebagai umat Islam yang hakiki.


“Tempoh ini dianggap kritikal, kerana sekiranya golongan ini tidak mendapat perhatian sewajarnya dan tidak diberi sokongan yang cukup padu dari semua peringkat seperti pertubuhan-pertubuhan kerajaan yang berkaitan atau orang Islam secara umumnya tidak mustahil saudara baru ini akan kembali semula kepada agama asal mereka.

“Berbeza dengan penyebaran agama Kristian oleh golongan mubaligh, mereka cukup komited dan sanggup melakukan apa sahaja asalkan berjaya mengajak penganut lain menyertai agama mereka seperti memberi perlindungan tempat tinggal, wang dan sebagainya. Justeru semua pihak berkenaan perlu menjaga kebajikan saudara baru agar sekurang-kurangnya mereka ada tempat untuk merujuk, lebih-lebih lagi bagi mereka yang disisihkan keluarga dan sebagainya,” tutur Juhaidi yang menjadikan pengalaman melihat Kaabah sewaktu mengerjakan umrah adalah suatu yang cukup berharga dan sekaligus mempertingkatkan keyakinan dan keimanannya terhadap kebesaran Ilahi.

Friday, February 22, 2008

Mari Cuba Resipi Masakan Kampung Asli


Masakan kampung memang tidak lapak dek panas tidak lekang dek hujan. Ia masih mendapat tempat di hati generasi masa kini walaupun dihidangkan dengan kepelbagaian masakan tempatan mahupun antarabangsa. Bagi yang ingin mencuba masakan tradisi turun temurun dari nenek moyang kita ini. Mari berkongsi antara menu asli masakan yang menjadi warisan seluruh Nusantara ini. Sekurang-kurangnya dengan mencuba sendiri dapat terus mengekalkan identiti dan warisan asli kita ini.


1. SUP TETEL JAMBI-

Bahan-bahan:
1 kg daging tetel
100 gram rempah kurma
2 cm lengkuas
30 gram halia kisar
1 biji bawang besar kisar
3 ulas bawang putih kisar
2 batang kayu manis
3-6 biji buah pelaga
3-6 biji bunga cengkih
5 gram lada hitam
Garam secukup rasa
5 gram lada sulah
2 biji kentang (dipotong 4)
Lobak merah (dipotong halus)
2 liter air
Bawang goreng dan daun sup sebagai hiasan

Cara penyediaan:
Tumis bahan kisar, kayu manis, buah pelaga dan bunga cengkih sehingga naik bau.
Masukkan rempah kurma yang dibancuh dengan sedikit air dan kacau sehingga garing.
Kemudian masukkan air dan daging. Biarkan sehingga daging empuk.
Masukkan garam, lada sulah, lada hitam, lobak serta kentang.
Setelah masak, hidangkan bersama bawang goreng dan daun sup.

2. DAGING RAWON-

Bahan-bahan:
1 kg daging lembu
2 liter air
10 batang serai (dititik)
50 gram daun limau.
200 gram buah keluak
3 biji cili merah
3 biji cili hijau
500 gram minyak masak
Garam secukup rasa
Gula secukup rasa

Bahan kisar:
100 gram bawang merah
50 gram bawang putih
100 gram lengkuas
100 gram halia
50 gram serbuk kunyit
50 gram biji ketumbar

Cara penyediaan:
1. Tumis bahan kisar sehingga naik bau
2. Masukkan daging,air, serai dan daun limau purut. Kemudian masukkan garam dan gula sesedap rasa.
3. Biarkan ia mendidih dan daging menjadi empuk. Sedia dihidang.

3. GULAI NENAS IKAN TALANG
Bahan-bahan:
½ kg ikan masin talang
1/3 biji nenas
I liter santan
50 gram rempah kari ikan
1 helai daun kunyit
Garam secukup rasa

Bahan kisar:
3 ulas bawang putih
1 biji bawang besar
7-10 biji cili padi
1 cm kunyit hidup
3 batang serai

Cara penyediaan :
Tumis semua bahan kisar sehingga naik bau.
Masukkan rempah kari yang telah digaul bersama air dan kacau rata.
masukkan santan dan ikan masin. Biarkan ia mendidih sebelum dihidang (gulai harus sentiasa dikacau supaya santan tidak pecah)

4. IKAN SIAKAP BERSAMBAL TOK AYAH

Bahan-bahan:
1 ekor ikan siakap sederhana besar
2 biji limau kasturi
20 gram tepung jagung
10 gram garam
(Cara penyediaan:
Ikan siakap dibelah dua dan dibersihkan
satukan tepung jagung, garam dan jus limau. Gaulkan pada ikan tadi.
Goreng ikan dalkam minyak yang banyak.

Untuk sos manis (sambal ikan siakap)
5 biji cili merah dikisar
8-10 tangkai cili kering dikisar
8 biji cili padi dikisar
1 biji bawang besar dikisar
2 ulas bawang putih dikisar
2 batang serai
2-3 helai daun limau
Garam secukup rasa
Gula secukup rasa
Minyak masak untuk menumis
3 sudu besar sos tomato
2 cm belacan

(Cara penyediaan sos:
Panaskan minyak masak dan tumis bahan kisar sehingga masak.
Masukkan sos tomato, belacan, daun limau garam dan gula. Gaul sehingga sebati.

Bahan tumis hiasan (ikan siakap)
Bahan-bahan:
1 biji bawang merah dihiris
3 biji cili merah
3 bili cili hijau
1 biji tomato dipotong 6
1 biji Timun (dipotong panjang)
1 batang serai diketuk
Minyak masak untuk menumis.
(Cara penyediaan:
Semua bahan tersebut dipotong
PAnaskan minyak dan tumis bahan yang dipotong tadi.
Masak sehingga layu dan toskan
Akhir sekali tuangkan sos dan bahan tumisan hiasan ke atas ikan yang digoreng tadi. Hidangkan

5. PISANG DADIH-
Bahan-bahan:
1 sisir pisang abu
Air untuk merebus secukupnya
250 ml santan
Garam secukup rasa
1 helai daun pandan.
Gula melaka.

Cara penyediaan:
1.Rebus pisang selama 2 minit
2. Angkat kemudian panggangkan pisang tersebut di atas kuali leper.
3.Setelah masak, hidangkan bersama santan dan gula melaka.

6. LOMPAT TIKAM-
Bahan-bahan:
250 gram tepung beras
100 gram tepung jagung
Garam secukup rasa
2 sudu besar jus pandan
200 ml santan
Sedikit kapur makan
- Bancuhkan kesemua bahan-bahan di atas, panaskan api dan masak perlahan-lahan sehingga pekat.

Penyediaan pulut merah :
½ kg pulut
100 gram santan
15 ml sirap
250 ml air
Sehelai daun pandan
Sedikit garam
- Gaul rata semua bahan ini dan masak pulut. Kemudian sejukkan

Penyediaan untuk santan :
300 ml santan
Sedikit garam
2 helai daun pandan

Cara penyediaan:
Cedokkan bahan-bahan di atas dan masukkan ke dalam gelas secara berlapis.
Tuangkan santan bersama gula melaka sebelum dihidang.

7. GULAI LEMAK AYAM CILI PADI

Bahan-bahan (untuk hidangan 4 orang)
Seekor ayam kampung (dipotong mengikut kesukaan)
1 liter santan
1 batang serai dititik
1 helai daun kunyit (disiat empat)
Garam secukup rasa
Minyak secukupnya

Bahan untuk dikisar :
10 biji cili padi merah
10 biji cili padi hijau
3 biji bawang besar
1 ulas bawang putih
1 inci halia
1 inci kunyit hidup.

Cara penyediaan:
Ayam yang telah dibersihkan digaul dengan sedikit garam dan kunyit lalu digoreng sehingga ¾ masak. Angkat dan ketepikan.
Setelah minyak panas, masukkan serai, bahan yang dikisar dan daun kunyit. Tumis sehingga naik baud an keluar minyak.
Masukkan garam dan serbuk perasa bersama ayam yang telah digoreng tadi. Gaul sehingga sebati.
Masukkan santan dan masak di atas api yang kecil. Biarkan sehingga kuahnya meresap ke dalam ayam dan mendidih. Setelah itu masukkan tomato dan tutup api dan periuk. Setelah 5 minit, tomato sudah layu angkat dan hidangkan.

8. ASAM PEDAS EKOR TOK WAN

Bahan-bahan:
2 batang bunga kantan
4 tangkai daun kesum
2 sudu jus asam jawa
Minyak untuk menumis
½ kg ekor lembu yang telah dibersihkan
2 liter air

Bahan kisar:
80 gram cili kering
100 gram bawang besar
10 gram bawang putih
2 tangkai serai
2 cm lengkuas

Cara Penyediaan

Tumiskan bahan yang telah dikisar sehingga wangi dan masukkan jus asam jawa.
Kemudian masukkan ekor lembu, dan reneh sebentar.
Masukkan air, bunga kantan dan daun kesum.
Biarkan sehingga daging empuk. Sedia untuk dihidang.

Monday, February 18, 2008

Restoran OPAH....


Sekiranya tiba-tiba tekak anda terasa benar ingin menikmati masakan lauk pauk kampung, ataupun rindukan masakan ibu dan nenek di kampong halaman, Restoran Opah menjadi destinasi yang tepat bagi memenuhi selera anda itu!

Seiring dengan nama diberi, keistimewaan premis yang terletak di wing baru; Marrakesh pusat membeli belah Sunway Piramid, Petaling Jaya ini menghidangkan aneka jenis masakan warisan asli turun temurun dari nenek moyang.

Menurut Pengurus Promosi dan Pengiklanan, Intan Srihana, berkata restoran yang mula beroperasi Ogos tahun lalu ini mengenengahkan konsep masakan asli dan kontemporari yang bukan sehaja menjadi hidangan tradisi masyarakat di negara bahkan penduduk di nusantara.

“Di Restoran Opah keutamaan kami menampilkan masakan lauk pauk tradional warisan dari nenek moyang kita. Antara masakan asli yang disediakan di sini seperti Gulai Nenas Ikan Talang, Gulai Lemak Ayam Kampung, Rendang Tok dan beraneka jenis menu lagi. Lebih menarik lagi semua hidangan ini dihasilkan melalui kajian kami secara menyeluruh bagi memastikan keaslian resipi dan ramuan yang digunakan adalah warisan asli turun-temurun. Ini kerana kami amat mementingkan kualiti dan rasa asli,” katanya sambil menambah nama Opah dipilih bagi merujuk kepada orang lama atau nenek.

Tidak ketinggalan beraneka ulam-ulaman dan sambal sebagai pencecah yang menjadi menu wajib bagi masyarakat Melayu dihidangkan secara ala buffet pasti menggamit selera.

Menu istimewa:
Sup
Sup Sayur Asam(RM6.90), Sup Tetel Jambi(RM9.90)

Pembuka Selera
Otak Otak Daun Kelapa(RM7.90), Seleksi kerabu and Sambalan (RM7.90)

Pencuci mulut
Lompat Tikam(RM7.90), Pisang Dadih(RM7.90), Ais Kepal Berbuah(RM7.90)

Gulai Kampung
Gulai Tetel Tempoyak Dengan Petai(RM15.90), Gulai Nenas Ikan Talang(RM15.90)
Gulai Lemak Ayam Kampung(RM15.90), Gulai Daging Kawah(RM15.90), Gulai Asam Pedas Ekor(RM15.90)

Opah Klasik
Pencok Ayam(RM17.90), Kambing Gajus Berempah(RM17.90), Daging rawon – Sup daging pekat ala Indonesia(RM17.90), Semur Daging(RM17.90), Daging Bakar Pacak Sambal Kerisik – Daging bakar cicah sambal kerisik(RM17.90), Siakap Bersambal Manis(RM22.90), Ikan Kembung Kukus Air Asam(RM13.90),

Rendang Opah RM 12.90
Rendang Ayam Sambal Siam dan Rendang Tok – Rendang berempah tradisi Perak
(note: semua hidangan lauk pauk disediakan dalam hidangan yang besar)
Set Bujang RM 19.90
Set Nasi Janganan
- Nasi, Gulai Lemak Ayam kampong, keropok ikan, gado-gado, pencuci mulut dan air barli sejuk.
Set Nasi Urap
- Nasi, Kerabu, Ikan kukus air asam, pencuci mulut dan air barli sejuk
Set Nasi Rawon
- Nasi,, Sup Rawon Indonesia, Kerabu, keropok malinjo, pemanis mulut dan air barli sejuk.

Alamat :
Restoran OPAH Lot LL2.90 Lower Level 2 pusat membeli belah Sunway Pyramid Petaling Jaya (wing baru Markesh)

Pemilik restoran:
Sierra Circle Sdn Bhd

Tarikh pembukaan :
Ogos 2007

Waktu operasi :
Setiap hari dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

Keistimewaan :
· Restoran yang terletak di dalam pusat membeli belah Sunway Piramid ini dapat memuatkan seramai 40 orang dalam satu-satu masa.
· Setiap menu yang dihasilkan berdasarkan kajian dan penyelidikan R&D untuk memastikan rasa keenakan dan keaslian terpelihara.
· Hiasan dalaman berkonsepkan kontemporari menimbulkan suasana seolah-olah berada kediaman sendiri. Keunikan makin terserlah apabila pemilik bijak mengaplikasi ruang dengan hiasan dan aksesori tradisional seperti set tepak sirih junjung, ukiran kayu dan paling unik sebuah basikal tua yang diletakkan di hadapan premis. Pasti menggamit pengunjung.
· Cukup simbolik setiap masakan yang dihidangkan kepada pelanggan akan dialas bersama daun sirih yang segar.

Saturday, January 5, 2008

ADABI melazatkan ...

Adabi..melazatkan, Adabi..menyelerakan…mengandungi pelbagai rempah, melazatkan kari dan kuah..”. begitulah petikan lagu iklan komersil produk tersebut di kaca televisyen sedikit masa lalu. Jika sebut tentang Adabi, pasti anda hanya terbayangkan sup bunjut dan ramuan rempah ratusnya yang asli dan terkenal itu. Mungkin kebanyakan anda tidak mengetahui bahawa jenama keluaran bumiputera itu kini melebarkan sub perniagaannya dengan membuka Restoran Sup Adabi di pinggiran ibu kota.

Restoran yang mula dibuka setahun yang lalu dan menggunakan tagline- “Setiap Hidangan Terbaik, Setiap Layanan Terpantas, Setiap Pelanggan Terpenting” ini adalah destinasi baru yang perlu anda kunjungi terutama bagi penggemar aneka sup tradisional. Di sini, selain sajian utamanya-sup gearbox, ia juga menyajikan 18 variasi sup istimewa dengan identiti dan rasa tersendiri yang terdiri daripada kategori sup warisan (dari utara semenanjung, sup pekat (dari selatan semenanjung), sup ekor nusantara (dari Medan, Indonesia) sup ikan dan terbaru, resipi sup istimewa dari Patthani dari Yala, Thailand. Dan pastinya menggunakan rempah ratus asli Adabi.

Selain hidangan berkonsepkan sup yang lazat, anda juga boleh mencuba set beriani kuzi ayam atau kambing dan set asam pedas ikan dari Johor, set masak lemak cili padi daging salai sajian warisan Negeri Sembilan, set nasi dagang dari Kelantan, nasi ayam kampung dan sebagainya. Bagi kanak-kanak, hidangan cucur kids dari Adabi juga disediakan!

Lebih menarik, pengunjung dapat menikmati semua hidangan ini sambil menikmati hiasan dalaman restoran yang berkonsepkan rempah ratus Malaysia.

Keistimewaan:

Menu istimewa:
Terdapat lebih 30 menu disediakan. Menghidangkan beraneka sup tradisional, seperti sup gearbox, sup ekor, sup ikan dan sebagainya. Set ayam kampung goreng, set asam pedas, set masak lemak cili padi daging salai, nasi goreng kampong, mi sup utara, set nasi lemak ayam goreng berempah, mi kari, lontong, dessert seperti pengat, cendol, mini burger dan cucur kids Adabi dan lain-lain.

Alamat premis:
· Lot 27, Jalan Melati Utama 4, Taman Melati Utama, Setapak, 53100 Kuala Lumpur.
· A-G-10 & A-G-11, Jalan SS 6/5A, Dataran Glomac, Pusat Bandar Kelana Jaya, 47301 Petaling Jaya.

Kapasiti pengunjung:
Boleh memuatkan hampir 120 pengunjung pada satu-satu masa.

Waktu operasi:
Setiap hari kecuali hari Jumaat: dari 8 pagi hingga 12 malam
Jumaat: 11 pagi hingga 12 malam

Keistimewaan sup:
Sup mempunyai pelbagai khasiat antaranya; melegakan kesakitan dalam badan, membuang gas dalam usus dan juga merupakan pemanas badan. Ia mengandungi pelbagai rencah dan enak dinikmati ketika panas.

Hidangan lazat di Naluri Cafe

“Selain menghidangkan masakan Melayu dan barat yang pastinya memenuhi selera anda, kami di Naluri Café memastikan kehadiran anda akan ‘sambut’ bersama persekitaran premis cukup bersih lagi selesa dan servis terbaik dari meja ke meja pelanggan oleh kakitangan terlatih kami,” kata Ahmad Nazri selaku Pengurus Naluri Café tatkala ditanya keistimewaan kafe yang mula dibuka pada 13 Julai 2007.

Selain itu menurut Ahmad Nazri, kafé yang terletak di tengah pusat bandaraya Shah Alam ini turut menyajikan menu dalam saiz hidangan besar pada harga cukup berpatutan. Pendek kata kunjungan anda menikmati variasi menu di sini amat berbaloi!

Kafe yang baru sahaja berusia setahun jagung ini menyajikan hidangan lazat lagi menyelerakan hasil air tangan daripada chef berpengalaman dari hotel seperti Sirloin steak, set nasi beriani ayam dan daging kambing, mee sup dan sebagainya.

Mengenai minuman, pengunjung harus mencuba ice blended Samba, mangga dan durian belanda. Rasanya memang sedap. Selain itu, ice blended mocha tidak kurang juga enaknya.
Sesekali ingin mencuba kelainan dalam menu harian anda, apa kata datang ke kafé ini sambil menikmati set hidangan lengkap yang bukan sahaja enak berkhasiat tetapi ditawarkan pada harga berpatutan. Didatangkan tiga set menu istimewa antaranya;

Info Naluri Café

Menu istimewa:
Stik sirloin(RM18.80), chicken chop(RM9.80), char kue teow(RM5.50), mi hailam(RM5.50), nasi goreng Naluri(RM5.80), soto ayam(5.80), sup tulang herbal(RM4.80), BBQ chicken(RM11.80), ubi kayu rebus/goreng(RM4.50), mixed salad(RM4.80), cucur ikan bilis(RM4.80), nasi lemak Naluri special (RM5.80), lontong(RM5.80), ice blended Samba(RM5.50), ice blended durian belanda(RM3.50).

Lokasi:
No 3, Jalan Tengku Ampuan Zabedah J/9J, Seksyen 9, 40100 Shah Alam, Selangor (belakang Hotel Concorde Shah Alam)

Tarikh mula operasi:
13 Julai 2007

Waktu operasi:
11 pagi hingga 12 malam (setiap hari kecuali Jumaat)
4 petang hingga 12 malam (Jumaat)

Keistimewaan:
- Dimiliki sepenuhnya oleh Sinaran Naluri Sdn Bhd
- Café ini mampu memuatkan 75 pelanggan dalam satu-satu masa
- Dekorasi kafé simple dengan konsep moden kontemporari. Hiasan dinding pasti memikat elanggan dengan lukisan bercirikan kesenian Islam.
- Pekerjanya seramai 15 orang dilatih secara profesional oleh tenaga pengajar berpengalaman.
- Menyediakan perkhidmatan Internet tanpa wayar wi-fi secara percuma kepada pelanggan.