Showing posts with label nostalgia pendidik. Show all posts
Showing posts with label nostalgia pendidik. Show all posts

Thursday, May 29, 2008

Asal guru kini usahawan..


Wanita ini mengambil keputusan untuk meletak jawatan sebagai guru pada September 2006 dengan notis 24 jam. Keputusan yang diambil bagaimanapun bukanlah gara-gara tekanan mahupun minatnya mengajar mula pudar setelah hampir enam tahun mencurahkan khidmat bakti sebagai pendidik.


Sebaliknya ia dibuat kerana mahu pengembangkan potensi diri dan bakatnya selain menggunakan peluang yang mungkin datang sekali seumur hidup untuk menjadi seorang usahawan berjaya.


Meskipun sudah tidak lagi mengajar di sekolah seperti mana yang dilakukannya sejak 2000, namun bagi Julianie Mohamad Bastamam, 36, dirinya masih meneruskan kesinabungan sebagai pendidik, cuma pendekatan dan khalayak sasarannya berbeza iaitu; dengan berkongsi dan menyampaikan ilmu perniagaan kepada golongan dewasa yang berminat untuk menjadi usahawan yang berjaya sepertinya.

Minat berniaga
“Saya masih mengajar. Masih minat mengembangkan ilmu. Cuma bezanya kini saya sebarkan ilmu perniagaan kepada bakal-bakal usahawan yang ingin merubah kehidupan kepada yang lebih baik. Walaupun sudah tidak mengajar di sekolah namun konsepnya tetap sama, menyampaikan ilmu dengan ikhlas dan memberi komitmen sepenuhnya.


“Bukan itu sahaja, perasaan yang timbul hasil daripada kedua-dua bidang ini tetap sama. Seperti mana sebagai guru kita akan merasa puas setiap kali melihat anak didik kita berjaya, begitu jugalah perasaannya apabila misi saya untuk melahirkan usahawan-usahawan berjaya, ” katanya yang memiliki perniagaan membekal pelbagai produk bersama suami selain melibatkan diri dalam perniagaan jualan langsung multi level marketing (MLM) menerusi Hai-O Marketing.


Menurut ibu kepada lima cahayamata ini, keputusannya untuk berhenti dicapai setelah berbincang dan sekaligus mendapat persetujuan daripada suami tercinta yang cukup memahami akan minatnya terhadap bidang perniagaan. Sebenarnya menurut Julianie, beliau telah memulakan perniagaan secara sambilan pada tahun ketiganya bergelar pendidik. Namun itu hanya dilakukannya setiap kali setelah tamat sesi persekolahan.


“Memanglah rasa sayang sangat kerana terpaksa memilih salah satu. Memang kedua-dua bidang amat saya cintai. Tetapi saya hanya mampu memilih salah satu yang dapat diberikan komitmen sepenuhnya. Setelah melihat potensi terhadap perniagaan yang diceburi dan yakin dengan prospek masa depan yang cerah, lebih-lebih lagi dengan sokongan daripada suami akhirnya saya ambil keputan meletak jawatan,”katanya yang turut ditemani suami Zulkornain Ahmad Nasir ke studio baru-baru ini.

Berjauhan dengan keluarga
Pun begitu beliau tidak keberatan untuk berkongsi pengalaman suka dan duka sebagai guru walaupun untuk suatu tempoh yang singkat. Bercakap mengenai kerjaya guru, ujarnya tanggungjawab seorang pendidik cukup berat. Ia bukan sahaja sekadar memastikan sesuatu ilmu itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya bahkan pembentukan keperibadian dan soal akhlak anak murid juga menjadi sandaran guru.


Selain itu katanya guru pada hari ini memikul pelbagai tanggungjawab untuk pengisian sekolah dan juga pelajar sehingga ada kalanya terpaksa berkorban masa dan keluarga demi kepentingan masa depan generasi muda. Bagi bekas guru matapelajaran Pendidikan Islam ini menganggap saat paling sukar ialah apabila terpaksa berpisah dengan suami dan membesarkan anak sulung secara sendirian sewaktu posting di sekolah pertamanya Sekolah Menengah Agama Syarifah Rodziah, Melaka

“Ketika itu saya diterima mengajar di Melaka, manakala suami berada di Kuala Lumpur. Walaupun saya bersama anak sulung dan pada ketika itu hamil anak kedua, apatah lagi tanpa suami disisi, namun saya cuba kuatkan semangat dan tidak menjadikan ia satu alasan yang boleh menggugat pembelajaran pelajar-pelajar saya. Bagi saya itu antara cabaran seorang guru,”jelasnya yang turut mengajar subjek Geografi dan Sejarah.

Guru pendidikan agama
Bukan itu sahaja, menjadi guru yang mengajar matapelajaran Pendidikan Islam juga baginya suatu tanggungjawab cukup berat. Berlainan dengan mata pelajaran asas lain yang lebih banyak merujuk kepada fakta, cikgu mata pelajaran ini bukan sahaja berperanan menyampaikan ilmu berkaitan bahkan memastikan mereka mempraktikkannya dalam kehidupan seharian.

“Kalau subjek lain pelajar dianggap berjaya apabila mendapat keputusan cemerlang, tetapi untuk mata pelajaran agama ia untuk ilmu sepanjang hayat, yakni suatu ilmu yang akan diamalkan dalam kehidupan seharian sebagai umat Islam. Ia berhubung kait dengan soal akhlak dan perlakuan setiap pelajar. Tidak ada maknanya jika seseorang itu pandai namun dari segi perlakuan kurang manis seperti tidak menghormati ibu bapa, guru-guru orang yang lebih tua dan sebagainya. Sebab itulah saya menganggap tugas guru agama ini lebih mencabar,” jelasnya.

Konsep touching
Menyentuh mengenai prinsip pengajaran yang diamalkannya, jelas Juliane selain memberikan perhatian sepenuhnya dan menggunakan kaedah pembelajaran yang menarik dalam kelas, beliau yakin hubungan yang rapat lagi mesra (touching) yang terjalin antara pelajar dan guru secara tidak langsung mampu menarik minat mereka dalam pelajaran.

“Pelajar sekarang memang tak boleh lagi menggunakan pendekatan dengan mengarah mereka untuk membuat sesuatu dengan cara dipaksa. Seperti cara saya, lebih banyak mendekatkan diri dengan pelajar dan mengambil tahu akan diri mereka. Biar mereka rasa kita mudah didekati dan diterima. Anggap mereka seperti anak sendiri. Pada saya jika mereka suka dengan gurunya secara automatisnya mereka juga akan menyukai subjek itu dan berminat untuk datang ke sekolah,” jelasnya tatkala ditanya mengenai konsep pengajaran dan pembelajarannya yang dipraktiskan.


Profil bekas pendidik:
NAMA: Julianie Mohamad Bastamam
ASAL: Raub, Pahang
ADIK-BERADIK: Anak kedua dari enam beradik
TARAF PENDIDIKAN: Sekolah Maahad Muhammadiah, Kota Bharu Kelantan.
· Ijazah Sarjana Muda Islamic Reveal Knowledge And Heritage. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM),1998
· Diploma Pendidikan di UIAM, 1999.
PENGALAMAN MENGAJAR:
Sekolah Menengah Agama Syarifah Rodziah, Melaka, 2000
Sekolah Menengah Pandan Indah, Ampang, Kuala Lumpur, 2001-2006

Saturday, January 5, 2008

CITA-CITA JADI WARTAWAN Tapi guru kerjaya terbaik

Tidak pernah terdetik di hatinya bahawa suatu hari nanti akan menjadi seorang guru. Ini kerana cita-cita asalnya ingin menjadi wartawan Bahasa Inggeris di sebuah syarikat penerbitan terkenal di ibu negara.

Malangnya hasratnya itu terbantut kerana desakan bapanya seorang majistret, yang mahu dia menjadi pendidik. Oleh itu, tiada cara lagi boleh dilakukan oleh Hajah Fauziah Datuk Mahmood, kecuali menurut kemahuan orang tuanya walaupun dalam keadaan terpaksa.

“Cita-cita sebenar Ummi mahu jadi wartawan. Ummi suka menulis dan sesuai dengan jiwa Ummi yang suka bercakap, ‘kepoh’ dan lasak. Tetapi lain pula jadinya kerana ayah mahu Ummi jadi guru. Suatu hari ketika pulang ke rumah, ayah beri sepucuk surat tawaran ke maktab perguruan. Walaupun telah menyuarakan hasrat hati tidak berminat, ayah tetap bertegas. Mahu tak mahu, terpaksalah Ummi pergi dengan hati yang berat,” kata wanita peramah ini yang lebih mesra membahasakan diri Ummi.

Disebabkan hatinya ‘tidak rela’ dengan kerjaya ini, kata Ummi, pada awal pengajian di Maktab Perguruan Perempuan Melayu Melaka (MPPMM), sengaja dia ‘menggagalkan’ diri setiap kali peperiksaan. Malahan setiap tugasan yang diberikan oleh tenaga pengajar dilakukannya ala kadar. Yang lucunya, kata Ummi dia gagal berbuat demikian, kerana secara ‘automatik’ dia akan menjawab soalan dengan betul.

“Macam mana nak gagal, jika setiap kali dapat kertas soalan sahaja, jawabnya bersungguh-sungguh. Nak jawab salah pun tak boleh, kerana Ummi tahu jawapannya. Cuma apabila buat tugasan, Ummi buat hentam sahaja,” ketawanya menceritakan kembali kisahnya menjadi guru.

Hati tersentuh
Namun sikap ‘acuh tak acuhnya’ mula berubah ketika dia menjalani latihan amali di Sekolah Kebangsaan Masjid Tanah, Melaka. Pengalamannya berhadapan dengan murid luar bandar telah menyedarkannya, bahawa tidak semua orang bernasib baik. Sayu hatinya melihat ada murid yang tidak berstoking ke sekolah, pakaian seragam tidak diganti dan sebagainya.
Sejak itu, Ummi mulai sedar bahawa kesenangan yang dimilikinya itu untuk dia membantu mereka. Lebih menyentuh perasaannya, juga menjadi titik tolak keazamannya untuk menjadi guru yang baik dan berdedikasi, tatkala menerima hadiah ‘berharga’ daripada salah seorang murid.

“Ketika itu hari terakhir latihan amali Ummi di sekolah itu. Selepas majlis perpisahan, ketika di atas bas, seorang murid yang berasal dari keluarga yang kurang berkemampuan menghadiahkan Ummi sepuluh naskhah Reader’s Digest edisi lama yang dibungkus dalam surat khabar. Saat itu juga Ummi menangis dan mulai insaf dengan perbuatan Ummi yang sebelum ini bersikap sambil lewa,” kata wanita yang berasal dari Johor Bahru ini.

Membawa perubahan
Bekas guru Bahasa Inggeris ini menimba banyak pengalaman mengajar sekolah di pendalaman. Sepanjang tempoh tersebut, banyak mengajarnya erti kehidupan dan merasai kesusahan orang lain. Walaupun sesekali berhadapan kesulitan, tetapi atas tiket keikhlasannya menyemai bakti mendidik anak bangsanya, terutama golongan kurang berkemampuan, dia hadapinya dengan tabah.

Buktinya dia sanggup berulang-alik ke sekolah yang terletak hampir 30 batu dari rumah sewanya. Hampir separuh pendapatan yang diterimanya sebanyak RM310 sebulan digunakan untuk menyewa teksi pergi dan pulang dari sekolah.

Berkongsi detik manis sepanjang pembabitannya selama 25 tahun bergelar guru, isteri kepada perunding motivasi dan penceramah terkenal Haji Hushim Salleh ini berbangga kerana berjaya membawa perubahan kepada sekolah tempatnya berkhidmat terutama pada tahun-tahun awal pembabitannya sebagai guru.

“Kebanyakan murid sekolah pendalaman, tidak didedahkan dengan sebarang aktiviti ko-kurikulum seperti sukan serta aktiviti pelajar. Bimbang keadaan ini boleh memberi kesan seperti membentuk sifat pasif para pelajar, Ummi ambil inisiatif menubuhkan pasukan bola jaring, melatih mereka, unit beruniform brownies dan sebagainya.

“Ia sebagai satu proses pendedahan. Mereka datang ke sekolah bukan sahaja untuk belajar, tetapi juga merangsang minda untuk peka dengan keadaan sekeliling dan membentuk keyakinan dan potensi diri,” katanya yang juga menggunakan elemen berbentuk hiburan dan ceria bagi menarik minat pelajar dalam kelas terutama meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris seperti bercerita, menyanyi, pementasan drama dan lain-lain lagi.

Bawa anak murid tengok wayang
Mungkin tidak pernah dibuat orang ketika itu. Jika orang lain lebih suka menonton wayang dengan pasangan atau sekumpulan rakan mereka, lain pula bagi Ummi. Inilah pertama kali penulis dengar guru membawa pelajarnya keluar menonton wayang. Walaupun agak ‘luar biasa’ tetapi begitulah caranya mendedahkan mereka kepada kehidupan luar yang ternyata asing buat mereka.

“Mereka memang tidak pernah pergi ke bandar. Justeru untuk mendedahkan mereka kepada dunia luar dan tahu keadaan sekeliling, Ummi membawa pelajar naik bas awam ke bandar untuk menonton wayang. Gembira mereka bukan kepalang. Maklumlah inilah pertama kali mereka menjejakkan kaki ke bandar. Lucu juga tengok, lebih separuh orang dalam bas itu, semua pelajar,” katanya yang memiliki Sarjana Muda Pengajian Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tiada masalah beratur di bank
Tiada yang diharapkan oleh guru apabila melihat seorang demi seorang anak didiknya menjadi insan berjaya. Menganggap profesion perguruan kerjaya mulia, dia bangga kerana ada antara pelajarnya yang telah pun bergelar doktor, pakar bius, pegawai bank, juruterbang dan sebagainya.

Dengan nada bergurau, katanya dia tiada masalah jika ke bank atau hospital yang sesak dengan orang ramai. Ini kerana ketika sedang beratur, dia disapa oleh pegawai yang mengaku anak muridnya.

“Bukanlah rasa bangga kerana dapat layanan ‘istimewa’ dan dikecualikan pula daripada beratur seperti orang lain. Tapi bangga kerana ada pelajar masih mengingati saya sebagai guru mereka. Inilah berkatnya menjadi guru. Pendek kata memang tiada masalah jika ke hospital atau bank,” katanya yang pernah menabur bakti di Sekolah Menengah Kebangsaan La Salle, Klang.

Jika tidak kerana masalah kesihatan yang dihadapinya, Ummi masih meneruskan kerjaya yang dicintai sehingga bersara wajib. Anak muridnya juga mahu dia terus mengajar. Begitulah, tanda bukti betapa sayangnya dia dalam dunia perguruan. Kalau boleh dia tidak mahu mengundur diri sebelum masanya. Kerjayanya sebagai guru lebih dua dekad dianggapnya terlalu singkat. Tetapi, ekoran penyakit darah tinggi yang dihadapinya memaksa dia mengundur diri dengan bersara awal daripada tempoh yang sepatutnya.

Namun, wanita cekal ini tidak boleh duduk diam. Ternyata naluri seorang guru dalam dirinya tidak lenyap begitu sahaja. Berkat dorongan yang diberikan oleh bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abdul Rafie Mahat (Allahyarham), supaya tidak terus berhenti begitu sahaja, mendorong Ummi membuka pusat tuisyen berhampiran rumahnya dengan menggunakan wang hasil persaraannya.

“Beliau meminta saya agar jangan berhenti menjadi guru. Sebaliknya mahu saya buat sesuatu menggunakan pengalaman dan ilmu yang ada. Katanya, tidak ramai yang mempunyai kelulusan TESL dan sangat rugi bakat yang ada disia-siakan begitu sahaja. Hasilnya tertubuhlah Pusat Tuisyen Berjaya Bestari,” katanya sebelum mengakhiri temu bual pada petang itu.

"Tiada Guru Yang Mahu Memukul Murid" Aminah Aboo Bakar



Sejak menjadi penulis bagi ruangan ini, telah membuka mata dan menyedarkan diri ini kebenaran betapa mulianya kerjaya seorang guru. Tanggungjawab mereka bukan sahaja mendidik dengan ilmu semata-mata tetapi juga bertindak sebagai ejen dalam membentuk sahsiah generasi muda menjadi insan berguna kepada agama, bangsa dan negara. Pengorbanan dan komitmen mereka ini ternyata tidak mampu dinilai dengan wang ringgit.

Malah Islam sendiri memberi penghormatan tinggi kepada pendidik atau murabbi, muallim, muaddib, mudarris alim atau ulama ini. Mereka bukan saja berperanan memberi kesedaran kepada diri sendiri, malah masyarakat mengenai komitmen dan hubungan dengan hukum Allah.

Allah berfirman bermaksud: “Wahai orang beriman, apabila dikatakan kepada kamu berikanlah sedikit ruang dalam majlis, maka berikanlah ruang, nescaya Allah memperluaskan ruang untuk kamu. Allah mengangkat darjat orang yang dikurniakan ilmu kepada mereka dan (ingatlah) Allah itu Maha Mengetahui terhadap apa saja yang kamu kerjakan.” (Surah al-Mujadalah, ayat 11)

Ayat di atas jelas membuktikan Islam memberi penghormatan tinggi kepada ahli ilmu. Oleh itu, dengan ilmu yang ada pada guru atau pendidik, mereka wajib menyampaikannya kepada orang memerlukan. Menerusi ilmu inilah dapat menimbulkan kesedaran manusia terhadap Allah dan dapat membezakan antara kebenaran dan kebatilan, sekali gus melahirkan bangsa yang maju dalam segala aspek. Oleh itu, guru mestilah menjalankan tugas dengan hati-hati, ikhlas, jujur dan beramanah.

Tanggungjawab guru yang tidak ternilai ini juga menjadi dorongan kepada Aminah Aboo Bakar sejak kecil lagi untuk mengejar cita-cita sebagai pendidik. Malah, bekas pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Gombak Setia menganggap tugas mendidik adalah warisan dari para nabi yang sentiasa mendidik umat mendekatkan diri dengan Allah SWT. Walaupun ketika itu, dibelenggu kemiskinan hidup, namun, ia tidak sedikitpun menjadi penghalang wanita ini meneruskan impiannnya itu.

Menurut anak kelima dari tujuh bersaudara ini, ketika remaja beliau akan membantu ibunya yang merupakan ibu tunggal menjual kuih. Malah, atas kesedaran sendiri untuk menambah pendapatan keluarga, Aminah mengambil upah membasuh dan menggosok baju setiap kali pulang dari sekolah. Berkat kesungguhannya untuk mengubah nasib keluarga dan demi mengejar cita-cita menjadi pendidik, akhirnya terbayar apabila beliau berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Kebangsaan Malaysia, dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Sastera dan Diploma Pendidikan pada 1971.

Sekolah bermasalah

Tanggal 12 Mei 1975 menjadi tarikh keramat baginya, kerana ia merupakan kali pertama beliau menjejakkan kaki ke sekolah sebagai seorang guru. Kata orang hari pertama pasti akan melakar detik manis, berjumpa kenalan baru dari kalangan guru, suasana persekitaran dan pelajar baru yang diharap memberi layanan baik dan mesra, tetapi keadaan itu sebaliknya tidak berlaku kepada Aminah. Penerimaan pelajar, katanya cukup ’berbeza’.

Sekolah ini memang terkenal dengan masalah disiplin. Hari pertama kesabaran saya diuji oleh sekumpulan pelajar tingkatan Lima. Mungkin melihat kepada keadaan fizikal saya ketika itu agak kecil, mudah untuk mereka permainkan. Sewaktu dalam kelas, mereka menyembunyikan pemadam papan hitam, jadi saya terpaksa menggunakan kain buruk. Tidak sangka rupanya pelajar nakal ini meletakkan seekor katak dibawahnya. Esoknya saya mengadu kepada pengetua dan meminta kebenaran untuk merotan mereka yang terlibat. Akhirnya saya rotan mereka di hadapan pengetua.

”Saya tahu, jika tidak bertindak demikian, mereka akan ingat saya takut dan senang dipermainkan. Hikmahnya, sejak insiden tersebut mengajar saya menjadi lebih tegas mungkin melihat kepada keberanian saya itu, pengetua terus melantik saya menjadi ketua guru disiplin,” kata bekas guru mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah yang berasal dari Pulau Pinang ini.

Menurut wanita yang cukup lembut tatkala bertutur ini, sepanjang tempoh kerjaya sebagai guru, beliau sering ditempatkan ke sekolah yang bermasalah terutama aspek disiplin dan pengurusan kewangan sekolah. Namun, tidak pernah sesekali beliau mengeluh, kerana baginya itulah antara cabaran perlu dihadapi sebagai seorang guru dan disebaliknya pasti ada hikmah. Beliau berhadapan rintangan tersebut dengan bersungguh-sungguh dan penuh kesabaran.

”Semua yang berlaku ada hikmahnya. Contohnya, walaupun pada mulanya pening memikirkan bagaimana untuk menguruskan masalah kewangan sekolah yang suatu ketika agak teruk, namun akhirnya saya bersyukur ia dapat diatasi. Lebih menarik, secara tidak langsung ia turut meningkatkan kemahiran saya dalam pengurusan kewangan sekolah. Sebenarnya guru perlu bersedia dalam apa jua situasi . Masih saya ingat di saat berlakunya banjir di kawasan sekolah ketika bertugas di negeri Pahang, gurulah yang paling sibuk mengawal keselamatan pelajar ketika banjir, menjaga harta benda sekolah, kawalan penyakit selepas banjir dan sebagainya,” kata ibu kepada empat cahaya mata ini yang pernah beberapa kali menerima anugerah kecemerlang pengurusan kewangan sekolah.

Happy mood’ di kalangan guru
Aminah yang pernah menerima Anugerah Tokoh Guru Daerah Gombak 2006 ini mendedahkan beberapa pendekatan tersendiri yang dipraktiskan sepanjang 30 tahun pembabitan dalam dunia pendidikan baik sebagai guru mahupun pengetua. Dengan menganggap tanggungjawab ini sebagai satu ibadah, beliau tegas dalam mendidik anak bangsanya, tetapi dengan cara berhemah. Beliau mahu anak murid hormat dan segan kepadanya sebagai guru dan bukannya kerana takut.

Di samping itu, katanya, setiap kali sebelum melaksanakan sesuatu tindakan baik berkenaan urusan pentadbiran sekolah mahupun disiplin pelajar, beliau sentiasa memohon petunjuk kepada Allah agar keputusan yang bakal dilakukannya adalah tepat. Tambah beliau lagi, sekiranya terpaksa mengenakan tindakan kepada pelajar seperti hukuman rotan, beliau terlebih dahulu akan jelaskan kepada pelajar itu mengapa tindakan itu harus dilakukan terhadap mereka.

Selain pelajar, beliau yang kini lebih banyak menghabiskan masa lapangnya dengan hobi berkebun dan menjahit setelah bersara pada Mac 2006 ini, juga mementingkan hubungan baik dan mesra di kalangan guru dan pihak pentadbiran sekolah. Baginya, amat penting bagi seorang ketua mewujudkan suasana’happy mood’ semasa bekerja dengan kakitangan. Jika guru dihimpit dengan pelbagai tekanan, katanya, ia akan menjejaskan emosi guru terbabit dan sekali gus mempengaruhi pembelajaran dan pengajaran pelajar.

”Sebenarnya tugas guru ini memang mencabar dan memerlukan kesabaran yang tinggi. Kerana itu, saya menekankan suasana ceria dan persekitaran yang kondusif di dalam sekolah dan tidak mahu para guru bertugas dalam suasana tertekan. Sekiranya keadaan ini berlaku akan menjejaskan emosi mereka dan dikhuatiri akan memberi kesan kepada pengajaran mereka. Saya menganggap kakitangan sekolah seperti keluarga sendiri. Malah ada di kalangan ahli keluarga mereka juga saya kenali. Membuat saya terharu, apabila sekolah menganjurkan sesuatu program, ada di antara suami dan anak-anak staf turut datang membantu seperti aktiviti gotong-royong dan sebagainya,” jelas Aminah yang turut menekankan konsep kepimpinan melalui teladan dengan menjadikan diri sebagai contoh kepada anak buahnya.

Beri kepercayaan sepenuhnya
Diminta mengulas mengenai berita guru menghukum dan mencederakan pelajar yang sering terpapar di dada akhbar akhir-akhir ini, Aminah secara peribadi berpendapat, kurang persediaan dalaman menyebabkan guru kurang sabar dengan kerenah pelajar sehingga bertindak demikian. Namun pada masa sama katanya, guru juga tidak sepatutnya persalahkan sepenuhnya. Beliau melihat masyarakat sekeliling terutama golongan ibu bapa kurang memberi sokongan dan komitmen dalam membantu guru untuk mendidik anak mereka, sebaliknya mereka terlalu bersikap melindungi dan mempercayai anak mereka.

Sekiranya hal dibiarkan berterusan bukan sahaja memberi tekanan kepada pendidik,malah tambahnya, turut menyebabkan status dan maruah guru terjejas. Sebaiknya, kata Aminah, ibu bapa harus meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada guru yang diberi tanggungjawab oleh mereka mendisiplinkan dan memberi ilmu pengetahuan kepada anak-anak mereka.

”Ramai menuding jari ke arah guru bila hal ini timbul. Kita perlu sedar bahawa pelajar sekarang bukan seperti pelajar dahulu, mereka kini lebih banyak dipengaruhi anasir luar. Budak dahulu begitu menghormati guru dan mereka tidak berani untuk mengadu kepada ibu bapa jika dirotan dan dimarahi, kerana tahu nasib mereka tidak akan dibela, sebaliknya akan dimarahi keluarga. Ibu bapa janganlah terlalu emosi menyalahkan guru jika anak mereka dikenakan hukuman, kerana tidak ada seorang guru pun yang mahu memukul muridnya sesuka hati tanpa sebarang sebab. Sebaiknya mereka perlu memberi kepercayaan sepenuhnya terhadap pendidik kerana mereka telah dilatih dan diberi asas ilmu perguruan selengkapnya,” jelas Aminah.

Thursday, January 3, 2008

Hasniah mendidik dengan hikayat lama

Aksi Hasniah bercerita kepada kanak-kanak ketika mengikuti program People to people Exchange di Singapura


“Sang puteri itu terjaga daripada tidurnya yang nyenyak itu, namun tiba-tiba…cukuplah, hari sudah larut malam, tidurlah esok nak pergi sekolah,” kata nenek kepada Hasniah Hussain yang ketika itu berusia 12 tahun.

Begitulah yang berlaku hampir setiap malam tatkala Hasniah bekas guru Sekolah Menengah Kebangsaan Putra, Kangar ini datang menemani neneknya yang tinggal berhampiran rumahnya. Sebelum tidur cerita Hasniah, neneknya itu selalu bercerita kepadanya pelbagai hikayat Melayu lama dengan baik sekali. Namun, boleh dikatakan setiap malam juga beliau berasa agak hampa kerana sampai sahaja ke kemuncak penceritaan tersebut neneknya akan berhenti bercerita.

“Nenek tinggal bersendirian bersebelahan rumah saya. Dia buta huruf. Disebabkan nenek tetap mahu tinggal di rumahnya, menjadi tugas saya untuk datang menemaninya setiap malam. Sebelum tidur, dia selalu bercerita pelbagai hikayat zaman dahulu, misalannya, Hikayat Malim Deman, cerita lagenda Siti Zubaidah, Hikayat Bustamam dan sebagainya. Saya akan baring bersama nenek di bawah kelambu sambil mendengar ceritanya dengan rasa teruja. Yang tidak seronoknya apabila tiba klimaks kisah tersebut, dia akan berhenti dan menyuruh saya tidur.

“Sebenarnya nenek bijak, dia pandai ‘memancing’ saya untuk datang ke rumah malam berikutnya untuk sambung dengar kisah seterusnya,” kata bekas guru yang berasal dari Arau, Perlis ini. Tambahnya lagi, senario ini juga menjadi titik tolak kepada minatnya menjadi pencerita (storyteller).


Berunsur pengajaran
Melihat kepada keberkesanan ‘teknik’neneknya itu menjadi inspirasi kepada Hasniah mengaplikasi kaedah sama sebagai salah satu alat bantuan mengajar bagi menarik perhatian para pelajarnya sepanjang bergelar pendidik hampir tiga puluh tahun.

Malah, meskipun telah bersara sebagai pensyarah di Jabatan Pengembangan Kebudayaan Melayu, Institut Bahasa Melayu Malaysia (IBMM) pada Ogos 2004 dalam bidang pedagogi Teater Dalam Pendidikan Bahasa Melayu dan Penggunaan Teknik Bercerita dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu, beliau tetap meneruskan kesinabungan dengan memperluaskan bentuk pembelajaran bercerita ini kepada guru-guru dan pelajar prasekolah. Beliau kini banyak menerima undangan menyampaikan ceramah, bengkel dan kursus bercerita kepada profesion guru yang bukan sahaja dalam negara bahkan dari negara jiran seperti Singapura.

Wanita ramah yang lebih mesra dengan panggilan ‘mama tok’ (setelah mempunyai cucu) di kalangan pelajar-pelajarnya ini secara peribadi berpendapat pembelajaran secara lisan ini bukan sahaja berkesan untuk menarik perhatian pelajar bahkan turut memupuk nilai-nilai positif dalam diri pelajar.

“Sebenarnya kita tidak sedar, cerita dongeng, hikayat mahupun cerita rakyat yang disampaikan oleh nenek moyang kita banyak menyelitkan mesej berbentuk pengajaran yang boleh dihayati misalannya kecekalan luar biasa Siti Zubaidah sebagai wanita yang begitu berani namun masih terpelihara nilai kewanitaan dan agamanya. Ia wajar dicontohi oleh generasi muda dan secara tidak langsung ia turut mendedahkan generasi muda untuk mengenali warisan budaya.


Tingkatkan keyakinan diri
Selain teknik bercerita, beliau turut menyelitkan aspek kesenian seperti berteater dan tarian sebagai antara bahan bantu mengajar. Di samping kaedah mendengar, jelas ibu kepada tiga cahayamata yang mana dua daripadanya mengikut jejak langkahnya menjadi pendidik, teknik melihat juga sangat berkesan dalam pembelajaran kanak-kanak pada hari ini. Beliau berpegang kepada pepatah Cina, ‘saya dengar saya lupa, saya lihat saya ingat, saya buat saya faham’ yang menjelaskan bukan sahaja kaedah lisan malah aspek visual juga tidak kurang pentingnya dalam pembelajaran golongan ini.

“Pelajar sekarang perlu menghafal banyak matapelajaran kerana sistem pendidikan pada hari ini lebih berorentasikan peperiksaan. Keupayaan mereka mengingati apa yang diajar ada hadnya. Justeru guru boleh menggunakan kaedah lain yang boleh menarik perhatian dengan kaedah yang lebih menghiburkan dan seterusnya menggalakkan interaksi di kalangan pelajar.
“Ramai orang ingat bahawa kaedah bercerita hanya sesuai untuk subjek tertentu sahaja seperti bahasa Melayu dan Inggeris.

Sebenarnya jika guru kreatif teknik ini juga boleh diguna pakai dalam subjek lain seperti Sains, misalannya perkembangan metamorfosis seekor rama-rama daripada unsur telur kepada beluncas dan seterusnya boleh diterjemahkan dalam bentuk lagu siap dengan aksinya sekali.

Apabila pelajar menghafal lagu ini sekali gus mereka juga mengingati tentang pembentukan serangga ini. Begitu juga dengan Sejarah. Kita boleh mempersembahkan sejarah yang pernah berlaku dalam bentuk teater dan dilakonkan sendiri para pelajar. Ini secara tidak langsung dapat pertingkatkan keyakinan diri mereka berani berhadapan di khalayak selain merangsang imiginasi mereka,” jelas Hasniah yang telah menghasilkan beberapa skrip drama kanak-kanak yang diterbitkan dalam Siri Bacaan Fajar Bakti.

Ia bertambah menarik dengan penggunaan alat bantu seperti sarung tangan, peralatan muzik, surat khabar, boneka, topeng dan lain-lain yang sesuai. Penyampaian cerita dalam bentuk bahasa mudah dan menggunakan ayat-ayat pendek akan lebih berkesan. Merupakan salah satu pendekatan yang sesuai bagi meningkatkan penguasaan kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis di kalangan pelajar.


Guru kreatif
Menjadi sifat semula jadi kanak-kanak suka mendengar cerita. Mereka memberi penumpuan cukup teliti dengan mendengar setiap patah yang diucapkan guru mereka.
Namun proses pengajaran dan pembelajaran sekolah negara ini menggunakan teknik bercerita jelas Hasniah masih ketinggalan berbanding negara-negara maju.

Beliau yang mempunyai ramai anak angkat di kalangan bekas pelajarnya tidak menafikan kengkangan ini disebabkan faktor kerjaya guru pada hari ini yang dibebani pelbagai tugas yang bukan sahaja melibatkan soal pelajar malahan komitmen kepada sekolah.

“Cikgu sekarang memang banyak berbeza dengan cikgu dulu. Mereka sekarang lebih sibuk dengan pelbagai tugas, perlu menghadiri kursus dan lain-lain lagi. Meskipun demikian, itu bukan alasannya untuk mereka mengabaikan tanggungjawab mereka mewujudkan suasana pembelajaran lebih menarik dan ceria di dalam kelas.

Mereka perlu mencuri sedikit ruang dan kreatif untuk mengadakan aktiviti yang bukan sahaja mampu menarik perhatian pelajar tetapi turut menggalakkan mereka berinteraksi. Berlakon, menyanyi dan bercerita adalah antara kaedah yang boleh digunakan malah ia secara tidak langsung mencungkil bakat terpendam yang ada oleh setiap pelajar.

"Terharu dengan penghargaan ibu bapa pelajar" Haslina


Sewaktu dia baru berusia empat tahun, Haslina Sainal sering dibawa ibu yang merupakan seorang guru ke sekolah tempatnya mengajar. Dengan keletahnya yang lincah dan mesra dengan sesiapa sahaja menjadikan Haslina sering menjadi ‘rebutan’ anak murid ibunya yang mengusungnya ke hulu ke hilir mengelilingi kawasan sekolah.
‘Pendedahan’ awal ibunya ini, menjadi asas berputiknya minat beliau untuk bergelar seorang pendidik. Melanjutkan pelajaran dalam Sarjana Muda Pendidikan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua Dengan Kepujian (TESL) selama enam tahun, menjadi bukti kepada cita-citanya itu.

Bukan itu sahaja, anak kedua dari enam bersaudara ini secara jujurnya menganggap bidang perguruan adalah suatu kerjaya sangat mulia yang bukan sahaja berperanan membentuk generasi berilmu dan berwawasan, bahkan memastikan mereka punyai berkeperibadian tinggi dan berakhlak mulia.

Menyemai bakti selama sembilan tahun sebagai guru Bahasa Inggeris, Haslina bukan sahaja memenuhi impiannya tersendiri, malah sekali gus turut menunaikan hasrat ibu dan bapanya pasangan guru yang kepingin salah seorang daripada enam anak mereka menjejak langkah mereka sebagai pendidik.

“Mak dan ayah adalah guru. Justeru, jika boleh mereka mahu salah seorang dari kami jadi guru seperti mereka. Abang sudah bergelar jurutera, manakala adik pula doktor. Saya pula yang mengikut jejak langkah mereka, lagipun minat memang sudah tertanam sejak kecil lagi,” katanya yang begitu meminati subjek Bahasa Inggeris sejak di bangku sekolah lagi.
Hampir sedekad penglibatannya dalam dunia pendidikan, penerima Anugerah Khidmat Cemerlang pada 2004 ini, pernah menabur bakti di Sekolah Menengah Kebangsaan Parit Bunga, Muar, Johor dan Sekolah Menengah Kebangsaan TTDI Jaya, Shah Alam.

TERHARU
Haslina yang baru enam bulan bertugas sebagai Pegawai Dokumentasi, Unit Kualiti dan Dokumentasi di Pejabat Pelajaran Daerah Petaling mengakui dalam tempoh itu banyak pengalaman yang ditempuhi bersama pelajar yang sangat dikasihinya. Tidak kiralah sama ada pahit mahupun manis, baginya setiap saat bersama mereka adalah nostalgia berharga dalam hidupnya.

Antaranya, beliau rasa terharu tatkala menerima ucapan terima kasih daripada ibu bapa pelajarnya. Malah ada di antaranya sanggup datang ke sekolah untuk bertemu sendiri dengannya bagi menyampaikan penghargaan mereka.

“Saya masih ingat bagaimana ibu kepada salah seorang pelajar datang menemui saya. Katanya, dia teringin berjumpa dengan saya memandangkan anaknya sering kali menceritakan mengenai saya, apa yang diajar dan seumpamanya dengan penuh semangat sebaik pulang daripada sekolah. Ia membuatkan saya benar-benar terharu, sukar digambarkan perasaan itu,” katanya yang menggunakan elemen ceria dan menghiburkan dalam pengajarannya di dalam kelas.
Walaupun demikian, sebagai guru, beliau tidak pernah mengharapkan apa-apa ‘balasan’ mahupun kata-kata pujian baik di kalangan anak didiknya mahupun penjaga. Baginya, menjadi prioriti dan tanggungjawab setiap guru mencurahkan ilmu dan pengetahuan kepada pelajar-pelajarnya dengan hati yang jujur dan ikhlas.

Lagipun, tiada apa-apa yang diharapkan oleh seorang guru terhadap pelajarnya melainkan memanfaatkan sepenuhnya ilmu yang diberi dan berjaya menjadi insan berilmu dan berakhlak selain berbakti kepada ibu bapa, bangsa dan negara.
BAHASA INGGERIS
Mengulas mengenai prinsip pengajaran dan pembelajaran yang digunakan, selaku guru Bahasa Inggeris, Haslina memastikan pelajar-pelajar menggunakan sepenuhnya bahasa tersebut itu tidak kira semasa mengajar di dalam kelas mahupun yang ingin berurusan dengannya. Bagi menarik minat dan perhatian mereka menyertai sesi pengajaran subjek tersebut, beliau yang dipanggil Madam Lina oleh pelajarnya menggunakan pendekatan suasana lebih ceria dan menghiburkan.

Untungnya, beliau menjadi guru yang bertanggungjawab menguruskan bilik tayangan sekolah memanfaatkan ruang tersebut untuk menjadikan pembelajaran dalam kelas lebih menarik misalnya menggunakan alat bantu mengajar seperti LCD, radio dan sebagainya. Selain itu, beliau kerap mengadakan aktiviti menyanyi dan berlakon di hadapan kelas bertujuan memahirkan mereka bertutur Bahasa Inggeris.

Ini berdasarkan pemerhatian beliau yang mendapati penggunaan bahasa tersebut dalam bentuk penulisan adalah jauh lebih baik berbanding ketika mereka berkomunikasi. Ia jelas menunjukkan tahap interaksi mereka menggunakan bahasa kedua itu dalam sehari-hari amat rendah.

“Sebenarnya mereka mampu berbahasa Inggeris dengan baik seperti mana mereka menulis, sekiranya selalu praktis berkomunikasi bukan sahaja bersama guru tetapi juga rakan-rakan sebaya. Lantaran itu dalam kelas, saya pastikan mereka berinteraksi menggunakan Bahasa Inggeris sepenuhnya tidak kiralah sama ada penggunaan ayat betul ataupun salah. Sekurang kurangnya mereka ada inisiatif mencuba,” jelasnya.
KENA DENDA
Lucu katanya, ketika ada pelajar masuk ke kelasnya untuk membuat pengumuman di hadapan kelas, terpaksa keluar semula untuk ‘menterjemahkan’ terlebih dahulu ayat Bahasa Melayu kepada Bahasa Inggeris.

“Jika mereka berbahasa Melayu dengan saya, saya akan balas, “I’m sorry I can’t understand you.” Apa lagi, mereka lari keluar dan mula menyusun ayat kepada Bahasa Inggeris. Lucu pula melihat mulut mereka terkumat-kamit mengingati ayat terjemahan itu sebelum masuk semula ke kelas. Bukan itu sahaja, untuk memastikan ‘keberkesanan’ teknik ini, beliau juga mengenakan denda kepada pelajarnya yang berbahasa Melayu di dalam kelasnya.

“Saya kenakan denda sebanyak 10 sen kepada mereka yang menggunakan bahasa Melayu dalam kelas saya, walaupun hanya untuk satu perkataan. Hasil duit yang dikumpulkan itu digunakan pula untuk kegunaan kelas. Selain itu, pengadu yang memberitahu ada pelajar lain menggunakan bahasa tersebut pula akan diberikan habuan berupa coklat atas ‘keprihatinan’ mereka itu. Memang kena berkorban sikit keluarkan duit sendiri untuk membeli hadiah untuk mereka, tetapi bagi saya ia amat berbaloi. Secara tidak langsung mampu mempertingkatkan keupayaan mereka bertutur dalam bahasa tersebut dengan lebih baik,” katanya di hujung perbualan petang itu.

Tip Pengajaran Haslina:
· Sentiasa mengamalkan doa setiap hari sebelum melangkah masuk ke sekolah dan berniat untuk menyampaikan ilmu yang terbaik buat pelajar dan agar mereka mudah menerimanya.
· Tidak mudah berputus asa dengan cabaran yang dihadapi, kerana pasti sebaliknya tersimpan 1001 hikmah.
· Tidak terlalu bergantung sepenuhnya kaedah pengajaran melalui kaedah ‘talk and chalk’ (cakap dan menulis di papan hitam) sebaliknya
· Membanyakkan aktiviti interaksi dengan menggalakkan pelajar bercakap dan meluahkan pendapat masing-masing.
· Ikhlas berkorban wang dan tenaga demi menarik minat dan perhatian pelajar terhadap pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas.