Friday, February 6, 2009

Dakwah seni Peter Sanders

lagi petikan menarik dari utusan online:

NAMA Andreas Gursky (lahir 1955) mampu membuatkan kita semua ralit. Jurugambar terkenal dari Jerman ini mampu memberikan sentuhan-sentuhan seni berestetika tinggi terhadap semua hasil-hasil karya walaupun hanya dalam bentuk gambar!

Ini kerana gambar seperti yang disifatkan oleh sesetengah pihak merupakan hasil seni yang sebenar, realisme! Tidak kabur, tidak mujarad (absurd) tetapi masih dengan nilai-nilai tersendiri yang hebat.

Maka tidak mustahil apabila karya Gursky yang bertajuk 99 cent 1999 yang dihasilkan pada tahun 1999 menjadi gambar fotografi yang paling mahal di dunia. Ia apabila Sotheby berjaya melelongkan gambar itu pada 7 Februari 2007 dengan harga RM11.7 juta. Walhal gambar itu adalah mainan warna-warni produk-produk sebuah pasar raya yang dirakam dengan begitu menarik oleh Gursky. Objeknya mudah, namun subjek terpulang kepada yang melihatnya untuk intepretasi gambar tersebut.

Namun dari Barat ini juga, nama seperti Peter Sanders yang berasal dari England, lebih menjadikan seni fotografi itu agar lebih bermaruah. Peralatan kamera beliau jadikan senjata yang paling ampuh dan menepati sasaran agar tiada lagi kekeliruan dan pemikiran yang sempit dan kolot mengenai Islam.

Ini menyaksikan Sanders mengabdikan seluruh diri dan kehidupannya demi mendapatkan wajah-wajah yang memberikan pelbagai perspektif yang berbeza mengenai Islam.
Namun tidakkah penganut dan elemen semua agama di dunia ini membawakan bersama mereka wajah-wajah yang indah dan menarik? "Semua agama mempunyai keindahan mereka tersendiri tetapi keindahan Islam sering dibayangi dengan pelbagai fitnah keganasan, kemiskinan, ketinggalan dan segala macam yang bobrok dan buruk.

"Jadi, jika tidak saya yang beragama Islam mempunyai kemahiran, perlukah kita menunggu orang lain melakukannya untuk kita, bukan sahaja soal membersihkan imej namun sebagai satu elemen untuk menyampaikan mesej dakwah?" katanya dalam satu pertemuan dengan Mega, baru-baru ini.

Dalam nada bergurau, penulis menyifatkan usaha Sanders ini, tidak sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW, sanggup ke serata pelosok dunia bagi merakamkan wajah-wajah Islam untuk tatapan semua.

"Pastinya saya bukan Rasulullah tetapi saya meneruskan usaha yang sewajarnya untuk Islam, namun baginda masih yang terbaik untuk segala-galanya. Walaupun saya berperanan umpama jambatan bagi menghubungkan khususnya Islam kepada dunia Barat tetapi apalah sangat berbanding usaha kita ini dengan segala macam pengorbanan yang dilakukan oleh baginda," katanya sambil tersenyum. Berkali-kali beliau menegaskan tidak sebagaimana anggota masyarakat seni yang lain, hasil karyanya bukan bertujuan mengembungkan poket.
"Saya tidak beroleh apa-apa, sama ada dari beratus ribu keping gambar yang diambil dan buku-buku yang saya hasilkan kerana apa yang penting Islam mesti dibela walaupun dari sekeping gambar," tegasnya.

Maka apa wajarnya lagi Peter Sanders untuk bergelar saudara baru? Tentu sekali tidak sejak memeluk Islam pada tahun 1971. Malah beliau sendiri tidak suka dengan gelaran itu kerana apa yang berlaku pada dirinya hanyalah berlaku transisi dalam hidup dan kesanggupan untuk menerima apabila ditawarkan mengenai Islam.

"Ada sesetengah menolak sesudah ditawarkan tetapi saya tidak ada masalah untuk menerima Islam itu dan dalam masa yang sama, saya masih mengekalkan diri saya, Cuma mungkin saya menjadi seorang yang sedikit bijak dan agak penyabar. "Ini kerana seseorang yang berjanggut merah datang dan berkata, saya seorang Islam. Jadi adakah saya juga perlu mewarnakan janggut bagi menunjukkan saya juga seorang Islam," soalnya.

Sejak pernah menyiarkan kisah pengislaman Sanders pada tahun 2006 di Mega, Utusan Malaysia, sedari itu azam ditanam untuk menemuinya dan kesempatan menemuinya sempena Pameran 'Seni Perpaduan: Islam di Britain' yang berlangsung dari 20 Januari lalu hingga 20 April 2009, menampilkan gambaran mendalam akan kehidupan umat Islam di Britain di Muzium Kesenian Islam, didapati Sanders seorang yang sangat sederhana. Tidak sahaja pada penampilan, tetapi beliau sesekali tidak akan menjual pengaruh kuat yang beliau miliki untuk menjadi seorang ahli politik.

"Mengapa perlu?" soalnya kembali.
"Cukuplah saya seorang bergiat dalam seni (fotografi) saya tidak boleh menjadi seorang ahli politik, saya tidak menggemari (politik) kerana politik satu fenomena seperti cuaca, kerap berubah. Malah kerap kepada yang kotor.

"Saya faham politik itu bagaimana kita memanipulasi interaksi sesama manusia tetapi bagi saya seorang ahli politik yang tulen, jika siang dia berpolitik maka pada sebelah malamnya dia seorang yang beribadat sepanjang malam. Jadi, jika dia mengambil tindakan, ia merupakan tindakan yang diberkati malah datangnya dari Allah. "Jika berpolitik tanpa sembahyang dan bermunajat kepada Allah, apa maknanya itu? Saya tidak boleh, jika saya berpolitik saya mungkin ahli politik yang memberi bencana kepada orang lain," katanya.

Namun dari raut wajah, Sanders tidak mampu menyembunyikan perasaan kecewa di saat pengabdian beliau tercemar dengan detik-detik keganasan Israel terhadap umat Islam yang sangat beliau sayangi itu. "Di saat saya mengabadikan keunikan Islam dengan seribu satu wajah keriangan, senyuman, kehidupan yang aktif, kejayaan, kepakaran dan sebagainya hari ini, semua ini seolah-olah sudah tidak bermakna lagi apabila begitu ramai umat Islam yang menderita dalam neraka dunia dan menempuh kematian mereka dengan seribu satu kengerian," katanya.

Namun bagi Sanders, kekecewaan bukan tembok penghalang, malah jika di satu bahagian umat Islam ditindas perlu ada umat Islam di bahagian dunia lain yang bebas dan merdeka meneruskan perjuangan tanpa henti agar memberi kekuatan kepada yang ditindas itu.

Namun tahukah anda mengapa Sanders gemar merakam wajah-wajah wanita Islam sebagai subjek utama dalam medium fotografinya itu?

"Saya bukan hendak mendiskriminasi mana-mana pihak atau mengambil kesempatan terhadap keunikan yang tergambar melalui wajah dan aktiviti wanita sebagai subjek utama saya.
"Tetapi kerana saya tidak mahu Islam dikenali sebagai dunia yang dikuasai oleh lelaki. Elemen lelaki, wajah bengis bersama pedang sering kali menjadi gambaran oleh golongan bukan Islam," katanya. Ini mendorong Sanders hendak menceritakan hakikat sebenarnya wanita-wanita Islam hari ini. "Mereka golongan yang memainkan peranan yang sangat aktif walaupun hanya bergelar suri rumah. "Walaupun kadang kala ada enggan wajah mereka dirakamkan tetapi apabila saya menjelaskan niat sebenar saya, mereka akhirnya bersetuju dan membenarkan wajah dan aktiviti mereka dirakamkan melalui lensa kamera saya ini," katanya.

Namun anda tentu lebih tertanya mengapa Sanders tidak membawakan mesej-mesej dari Bandar Gaza, Palestin yang bagai neraka dunia itu.

"Selain saya bukan bertugas sebagai jurugambar atau koresponden perang, adakah anda yakin saya mempunyai hati yang kuat dan tabah? "Saya terlalu simpati terhadap ramai kalangan rakan yang bertugas di zon perang, mereka akhirnya tidak mampu hatta untuk tidur akibat tugas-tugas yang mencabar itu," katanya.

Ini tentu mengingatkan anda kepada jurugambar terkenal dari Afrika, Kevin Carter. Apa yang terjadinya kepadanya selepas tiga bulan berjaya merakamkan gambar kebuluran seorang kanak-kanak Somalia yang kurus kering menanti saat untuk diratah oleh burung hering!
Walaupun pada Mei 23 1994 beliau dianugerahkan Hadiah Pulitzer kategori Feature Photography pada 27 Julai 1994, beliau membiarkan gas karbon monoksida dari lubang ekzos lori kecilnya menjadi racun membunuh dalam usahanya untuk membunuh diri dalam usia 33 tahun.

Beliau meninggalkan nota bunuh diri antara lain yang berbunyi: "Aku begitu tertekan, tanpa duit untuk menyara kanak-kanak (kebuluran)...Aku begitu dihantui dengan memori-memori kejam pembunuhan dan mayat-mayat serta marah dan kesakitan...kanak-kanak yang kebulur dan cedera, lelaki-lelaki yang gembira sambil membunuh..."

Mereka mungkin mempunyai jiwa yang kuat tetapi jika sering diasak dengan tugas-tugas untuk merakamkan kematian tragis, maka seorang Islam yang hebat seperti Peter Sanders tidak mustahil pada suatu hari akan tumbang juga akhirnya.

Lalu Sanders atau nama Islamnya, Abdul Al Adheem akan terus berada di lokasi-lokasi di mana Islam itu indah, Islam itu adalah yang paling benar!

"Saya pernah ke Baitul Maqdis, Palestin sebanyak dua kali dan perasaan saya adalah yang paling pilu ketika itu dan ini membuatkan saya berazam untuk membebaskan bumi suci itu hatta dari tiap sudut bahagian dunia dan tidak ada perkataan jauh untuk itu," katanya.

-nanti aku ingin melihat gambar-2 nya di Muzium Kesenian Islam, pasti menarik!

No comments: