Thursday, May 29, 2008

Asal guru kini usahawan..


Wanita ini mengambil keputusan untuk meletak jawatan sebagai guru pada September 2006 dengan notis 24 jam. Keputusan yang diambil bagaimanapun bukanlah gara-gara tekanan mahupun minatnya mengajar mula pudar setelah hampir enam tahun mencurahkan khidmat bakti sebagai pendidik.


Sebaliknya ia dibuat kerana mahu pengembangkan potensi diri dan bakatnya selain menggunakan peluang yang mungkin datang sekali seumur hidup untuk menjadi seorang usahawan berjaya.


Meskipun sudah tidak lagi mengajar di sekolah seperti mana yang dilakukannya sejak 2000, namun bagi Julianie Mohamad Bastamam, 36, dirinya masih meneruskan kesinabungan sebagai pendidik, cuma pendekatan dan khalayak sasarannya berbeza iaitu; dengan berkongsi dan menyampaikan ilmu perniagaan kepada golongan dewasa yang berminat untuk menjadi usahawan yang berjaya sepertinya.

Minat berniaga
“Saya masih mengajar. Masih minat mengembangkan ilmu. Cuma bezanya kini saya sebarkan ilmu perniagaan kepada bakal-bakal usahawan yang ingin merubah kehidupan kepada yang lebih baik. Walaupun sudah tidak mengajar di sekolah namun konsepnya tetap sama, menyampaikan ilmu dengan ikhlas dan memberi komitmen sepenuhnya.


“Bukan itu sahaja, perasaan yang timbul hasil daripada kedua-dua bidang ini tetap sama. Seperti mana sebagai guru kita akan merasa puas setiap kali melihat anak didik kita berjaya, begitu jugalah perasaannya apabila misi saya untuk melahirkan usahawan-usahawan berjaya, ” katanya yang memiliki perniagaan membekal pelbagai produk bersama suami selain melibatkan diri dalam perniagaan jualan langsung multi level marketing (MLM) menerusi Hai-O Marketing.


Menurut ibu kepada lima cahayamata ini, keputusannya untuk berhenti dicapai setelah berbincang dan sekaligus mendapat persetujuan daripada suami tercinta yang cukup memahami akan minatnya terhadap bidang perniagaan. Sebenarnya menurut Julianie, beliau telah memulakan perniagaan secara sambilan pada tahun ketiganya bergelar pendidik. Namun itu hanya dilakukannya setiap kali setelah tamat sesi persekolahan.


“Memanglah rasa sayang sangat kerana terpaksa memilih salah satu. Memang kedua-dua bidang amat saya cintai. Tetapi saya hanya mampu memilih salah satu yang dapat diberikan komitmen sepenuhnya. Setelah melihat potensi terhadap perniagaan yang diceburi dan yakin dengan prospek masa depan yang cerah, lebih-lebih lagi dengan sokongan daripada suami akhirnya saya ambil keputan meletak jawatan,”katanya yang turut ditemani suami Zulkornain Ahmad Nasir ke studio baru-baru ini.

Berjauhan dengan keluarga
Pun begitu beliau tidak keberatan untuk berkongsi pengalaman suka dan duka sebagai guru walaupun untuk suatu tempoh yang singkat. Bercakap mengenai kerjaya guru, ujarnya tanggungjawab seorang pendidik cukup berat. Ia bukan sahaja sekadar memastikan sesuatu ilmu itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya bahkan pembentukan keperibadian dan soal akhlak anak murid juga menjadi sandaran guru.


Selain itu katanya guru pada hari ini memikul pelbagai tanggungjawab untuk pengisian sekolah dan juga pelajar sehingga ada kalanya terpaksa berkorban masa dan keluarga demi kepentingan masa depan generasi muda. Bagi bekas guru matapelajaran Pendidikan Islam ini menganggap saat paling sukar ialah apabila terpaksa berpisah dengan suami dan membesarkan anak sulung secara sendirian sewaktu posting di sekolah pertamanya Sekolah Menengah Agama Syarifah Rodziah, Melaka

“Ketika itu saya diterima mengajar di Melaka, manakala suami berada di Kuala Lumpur. Walaupun saya bersama anak sulung dan pada ketika itu hamil anak kedua, apatah lagi tanpa suami disisi, namun saya cuba kuatkan semangat dan tidak menjadikan ia satu alasan yang boleh menggugat pembelajaran pelajar-pelajar saya. Bagi saya itu antara cabaran seorang guru,”jelasnya yang turut mengajar subjek Geografi dan Sejarah.

Guru pendidikan agama
Bukan itu sahaja, menjadi guru yang mengajar matapelajaran Pendidikan Islam juga baginya suatu tanggungjawab cukup berat. Berlainan dengan mata pelajaran asas lain yang lebih banyak merujuk kepada fakta, cikgu mata pelajaran ini bukan sahaja berperanan menyampaikan ilmu berkaitan bahkan memastikan mereka mempraktikkannya dalam kehidupan seharian.

“Kalau subjek lain pelajar dianggap berjaya apabila mendapat keputusan cemerlang, tetapi untuk mata pelajaran agama ia untuk ilmu sepanjang hayat, yakni suatu ilmu yang akan diamalkan dalam kehidupan seharian sebagai umat Islam. Ia berhubung kait dengan soal akhlak dan perlakuan setiap pelajar. Tidak ada maknanya jika seseorang itu pandai namun dari segi perlakuan kurang manis seperti tidak menghormati ibu bapa, guru-guru orang yang lebih tua dan sebagainya. Sebab itulah saya menganggap tugas guru agama ini lebih mencabar,” jelasnya.

Konsep touching
Menyentuh mengenai prinsip pengajaran yang diamalkannya, jelas Juliane selain memberikan perhatian sepenuhnya dan menggunakan kaedah pembelajaran yang menarik dalam kelas, beliau yakin hubungan yang rapat lagi mesra (touching) yang terjalin antara pelajar dan guru secara tidak langsung mampu menarik minat mereka dalam pelajaran.

“Pelajar sekarang memang tak boleh lagi menggunakan pendekatan dengan mengarah mereka untuk membuat sesuatu dengan cara dipaksa. Seperti cara saya, lebih banyak mendekatkan diri dengan pelajar dan mengambil tahu akan diri mereka. Biar mereka rasa kita mudah didekati dan diterima. Anggap mereka seperti anak sendiri. Pada saya jika mereka suka dengan gurunya secara automatisnya mereka juga akan menyukai subjek itu dan berminat untuk datang ke sekolah,” jelasnya tatkala ditanya mengenai konsep pengajaran dan pembelajarannya yang dipraktiskan.


Profil bekas pendidik:
NAMA: Julianie Mohamad Bastamam
ASAL: Raub, Pahang
ADIK-BERADIK: Anak kedua dari enam beradik
TARAF PENDIDIKAN: Sekolah Maahad Muhammadiah, Kota Bharu Kelantan.
· Ijazah Sarjana Muda Islamic Reveal Knowledge And Heritage. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM),1998
· Diploma Pendidikan di UIAM, 1999.
PENGALAMAN MENGAJAR:
Sekolah Menengah Agama Syarifah Rodziah, Melaka, 2000
Sekolah Menengah Pandan Indah, Ampang, Kuala Lumpur, 2001-2006

Jelaskan maksud dan prinsip

Kebelakangan ini timbul pelbagai isu yang membabitkan kepentingan dan sensitiviti masyarakat Islam di seluruh dunia menerusi media cetak dan elektronik. Baik dari soal penindasan dari segi ketidakadilan undang-undang, diskriminasi agama, hal berkaitan kehalalan makanan, dan bermacam-macam lagi yang mungkin tidak didedahkan di media.

Terbaru isu mengenai cerita pendek Fitna yang diterbitkan oleh ahli parlimen Belanda, Geert Wilders yang menimbulkan kemarahan dan kutukan daripada segenap masyarakat Islam seluruh dunia. Filem berdurasi 15 minit itu secara terang-terangan mengkritik Islam serta ayat Al-Quran dengan sewenang-wenangnya dan tidak mengikut konteks.

Lalu apakah tindakan yang sewajarnya dilakukan oleh umat Islam sebagai respon terhadap pelbagai bentuk penindasan ini. Banyak pihak sama ada dari badan kerajaan dan bukan kerajaan (NGO), organisasi swasta dan orang perseorangan bersatu padu bangkit menyuarakan ketidakpuasan hati dengan pelbagai cara seperti demontrasi aman, boikot produk negara terbabit dan sebagainya.

Tidak terkecuali ialah Pertubuhan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) iaitu antara sebuah NGO yang tidak asing lagi dan aktif dalam mengenengahkan isu-isu yang berkaitan dengan kepentingan orang Islam terutama berkaitan hak kepenggunaan.

Kepenggunaan Islam.
PPIM ditubuhkan pada Jun 1997 dengan inisiatif sekumpulan ahli profesional yang terdiri daripada doktor, pensyarah universiti, para ilmuan agama dan individu-individu yang prihatin tentang permasalahan kepenggunaan Islam khasnya, dan semua pengguna, secara amnya.
Menurut Pengarah Projek pertubuhan tersebut Noor Nirwandy Mat Noordin, visi utama penubuhan PPIM adalah sebagai satu platform bertujuan untuk menjaga dan membela hak dan mengembalikan maruah para pengguna Islam, melalui pelaksanaan aktiviti-aktiviti yang proaktif dan berstrategi.

“Tugas PPIM bukan mengambil tindakan berbentuk hukuman terhadap pihak yang menimbulkan masalah berkaitan hak orang Islam. Sebaliknya lebih kepada tanggungjawab sosial dengan memberi kesedaran kepada setiap pengguna Islam akan tanggungjawab diri sendiri terhadap perjuangan hak kepenggunaan Islam di negara ini.

“Dengan menyebarkan maklumat, panduan dan pendidikan terancang adalah diharapkan para pengguna Islam benar-benar sedar dan bersama-sama menyumbang untuk mengembalikan maruah umat Islam yang kian tercemar dan terabai. Di samping itu, PPIM berusaha dengan gigih untuk menjadi pemangkin kepada perkembangan ekonomi umat Islam seperti menggalakkan penggunaan produk dari peniaga beragama Islam dan ekonomi Malaysia sebagai usaha kepada menjana ke arah perubahan yang positif di dalam kehidupan ummah,” katanya sambil merujuk bahawa kekuatan sesuatu kaum itu terletak kepada kekuasaan ekonomi.

Laman web interaktif
Selain mengajak umat Islam bersatu padu memboikot pelbagai produk-produk keluaran individu atau pihak yang tidak bertanggungjawab menindas masyarakat dan agama Islam seperti yang dilakukan oleh Geert Wilders, PPIM juga berperanan menyebarkan pelbagai sumber maklumat untuk masyarakat. Bukan sahaja aspek kepenggunaan tetapi juga melibatkan sumbangan sosial seperti menyebarkan pelbagai kempen kesihatan, menyampaikan sumbangan untuk golongan kurang upaya, menjadi sukarela untuk mangsa bencana alam, ceramah, forum dan sebagainya.

PPIM yang mempunyai 20 orang kakitangan ini juga menggunakan saluran media alternatif iaitu menerusi laman web interaktifnya yang memudahkan pengguna menyalurkan maklumat mahupun aduan dalam apa jua aspek yang berkaitan dengan kepentingan kepenggunaan masyarakat Islam.

“Laman web PPIM menjadi nadi utama sebagai penggerak bagi menyalurkan maklumat terkini dan pusat pengumpulan data kepada orang ramai selain berinteraksi dengan persatuan ini dengan menyuarakan pandangan dan scenario yang berlaku.

“Kami lihat pendekatan ini antara yang paling berkesan oleh PPIM sebagai platform untuk pengguna Islam menyuarakan pendapat memandangkan laman web ini telah menerima kunjungan pelawat seramai 51 juta sejak ia mula beroperasi tiga tahun lalu.

“Dan boleh dikatakan pihak kami menerima lebih ribuan aduan oleh pengguna setiap hari menerusi pelbagai saluran seperti khidmat pesanan ringkas, borang aduan dan emel. Walaupun PPIM tiada kuasa perundangan tetapi tetap juga sedikit sebanyak dapat membantu dengan menjalin kerjasama dengan pihak terbabit seperti Jakim, pelbagai agensi kerajaan dan juga pihak berkuasa,” tambahnya sambil menjelaskan PPIM juga membantu peniaga-peniaga Islam dengan cara menyenaraikan syarikat mereka melalui web yang sama.

Keberkesanan
Berdasarkan kajian oleh PPIM jelas Nirwandy, umat Islam di dunia ini pada zahirnya mampu mengawal ekonomi mereka. Ini memandangkan kajian berkenaan menunjukkan kuasa membeli paling besar adalah di kalangan orang Islam yakni mewakili 65% iaitu persamaan 1 bilion sebulan.

Tambahnya lagi, dengan kuasa ‘istimewa’ orang Islam ini secara tidak langsung mampu menentukan hala tujunya sendiri sekali gus membangunkan ekonomi golongan ini tanpa bergantung sepenuhnya daripada produk luar.

“Masyarakat Islam merupakan kumpulan pengguna terbesar di dunia dewasa ini ini. Dianggarkan kuasa membeli kita ialah sebanyak 1 billion sehari. Tetapi malangnya kita jarang mengukhwahkan diri kita bagi pengguna Islam. Cuba bayangkan jika kita semua bersatu padu menyokong produk kita dan apa seterusnya akan terjadi kepada pengeluar terutama musuh Islam. Kita harus mempunyai beberapa prinsip tetap serta jelas mengenai apa yang kita gunakan setiap hari.

“Misalannya dalam aspek makanan halal kita hanya mengambil kira produk akhirannya tanpa mempersoalkan samada proses penyediaan, simpanan, pengedaran ( perkapalan, pengangkutan) dan lain-lain mengikut keperluan dan hukum yang telah disyariatkan Islam sebagai satu proses.

“Kita harus melihat dari perspektif yang lebih luas dan menyeluruh kerana prinsip pembelian kita bergantung kepada beberapa faktor asas yang secara langsung melibatkan masa depan para peniaga Islam, ekonomi Islam dan Umat Islam sendiri. Lebih-lebih lagi bukan mudah untuk menyatukan Islam kerana memiliki perbezaan dari segi pemikiran dan ideologi. Jadi dengan kuasa membeli dan kekuatan ekonomi inilah akan menjadikan kekutan kepada umat Islam,” katanya di akhir pertemuan.

INFO PPIM
Nama persatuan: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM)
Presiden: En Mohd Yusop B Haniffa
Setiausaha Agong: Dato' Dr. Ma'amor Osman
Tarikh penubuhan: 14hb Jun 1997
Bilangan kakitangan: 20 orang
Alamat: No. 70X, Jalan Keramat Hujung, Bukit Keramat , 54000 Kuala Lumpur
Alamat laman web: www.muslimconsumer.org.my

Juhaidi tidak mahu menjadi Islam yang merempat


Kali pertama penulis berjumpa dengan saudara baru ini ketika dibawa melawat restorannya; Kelantan Delights dalam satu lawatan khas para media ke pusat gaya hidup Sooka Sentral yang baru di buka baru-baru ini. Namun penulis hanya mendapat tahu bahawa beliau seorang mualaf setelah melihat namanya tertera sebagai Juhaidi Yean Abdullah setelah menghulurkan kad perniagaannya kepada penulis.


Memenuhi segmen Nur Islam yang dikelola, penulis mengatur pertemuan seterusnya dengan beliau bagi mengupas lebih lanjut titik tolak perjalanannya sebagai seorang Islam.
Tidak lekang bibirnya mengukir senyuman, anak kelahiran Cik Siti Wan Kembang ini memulakan kisahnya seawal usianya lapan tahun. Beliau mulai mengenal Islam setelah memilih mata pelajaran agama tersebut sebagai subjek pilihan.


“Semasa itu, pelajar berbangsa Cina atau India bebas untuk memilih mata pelajaran sama ada agama Islam atau kelas sivik (sekarang dikenali Pendidikan Moral). Jadi saya pun pilihlah untuk mengikuti kelas agama Islam dan mulai mendalami agama tersebut. Alhamdulillah, tidak lama selepas itu saya dapat menulis jawi dengan baik, ustazah pun memuji hasil tulisan saya,” senyumnya penuh makna.

Masyarakat Melayu
Bagi Juhaidi, Islam dan dirinya dirasakan cukup ‘dekat’ ini katanya, mungkin sedikit sebanyak dipengaruhi oleh faktor persekitarannya yang hidup di sebuah perkampungan Melayu sejak masih kecil. Menurut bekas wartawan akhbar ini, beliau dapat melihat cara hidup masyarakat Islam yang begitu berpegang teguh kepada ajaran agama pada setiap waktu.


“Saya tinggal dalam sebuah kampung yang rata-ratanya terdiri daripada masyarakat Melayu. Masjid pun dekat dengan rumah dan setiap hari dapat mendengar seruan azan. Malah kawan-kawan rapat pun kebanyakan orang Melayu. Saya kerap juga bertandang ke rumah rakan dan melihat sendiri bagaimana mereka sekeluarga menjalani kehidupan seharian sebagai muslim seperti bersolat. Dari situ saya lihat cara kehidupan orang Islam yang ternyata cukup berbeza dengan agama saya ketika itu,” jelasnya.


Jelas Juhaidi walaupun masih belum terbuka hati sepenuhnya untuk menjadi saudara baru, namun seawal usia lapan tahun beliau sudah tidak menyentuh apatah lagi makan daging babi. Pernah katanya, bapanya mengumpannya untuk membawanya melancong ke Singapura sekiranya beliau memakan daging tersebut. Namun, beliau bersyukur kerana dapat tetap mempertahankan keimanannya sekalipun ‘disogok’ dengan sesuatu yang mungkin akan menarik perhatiannya.

Minta dipanjangkan umur

Walaupun dapat belajar agama dan mampu menulis jawi dengan baik, namun ia masih belum membuka pintu hatinya untuk menjadi sebahagian daripada umat Nabi Muhammad s.a.w. Sebaliknya pada waktu itu, beliau berdoa agar Tuhan memanjangkan usianya untuknya memeluk agama Islam suatu hari nanti.


“ Pada usia 11 tahun, saya telah membuat pengakuan pada Tuhan dan memohon kepadaNya dipanjangkan usia agar saya berkesempatan untuk memeluk agama Islam hanya setelah saya sudah mampu hidup berdikari dan mempunyai pekerjaan yang baik. Saya tidak mahu hidup merempat setelah dibuang keluarga kerana tidak dapat menerima keputusan saya memilih Islam sebagai cara hidup yang hakiki. Pada saya sekalipun disisih keluarga, sekurang-kurangnya saya masih mampu meneruskan kehidupan atas usaha sendiri.


“Ini kerana saya masih teringat satu peristiwa ketika masih di bangku sekolah, apabila ada seorang mualaf datang ke sekolah untuk memungut derma dengan menunjukkan sijil daripada majlis agama negeri yang mengesahkan dia seorang mualaf. Saya cukup benci apabila ada segelintir saudara baru yang mengambil jalan mudah menyara hidup dengan cara mengutip derma. Oleh sebab itu, saya menanam tekad untuk berjaya terlebih dahulu sebelum bersedia memeluk Islam,” jelasnya yang juga pernah menjadi editor majalah untuk industri penerbangan dan pertahanan.


Pemilik nama asal Yean Lai Joo ini akhirnya melafazkan kalimah syahadah buat pertama kalinya pada April 1982 pada usia 22 tahun menerusi bantuan kenalan rapatnya Haji Sharani yang telah banyak membantu beliau mendalami Islam, malah merupakan individu pertama membawanya ke masjid menunaikan solat Jumaat.

Conteng arang ke muka
Ditanya mengenai penerimaan keluarga terhadap keputusannya itu, jelas Juhaidy, beliau bersyukur kerana tidak menerima tentangan hebat daripada ahli keluarga kecuali ayahnya yang begitu marah dengan tindakannya itu.

“Selepas sebulan memeluk Islam, saya balik kampung untuk memaklumkan kepada keluarga. Ayah cukup marah, manakala emak dan nenek pula menangis di kedua belah bahu saya. Sejak itu ayah mula tidak bercakap langsung dengan saya, tetapi saya bernasib baik walaupun ketiga-tiga abang saya menganggap tindakan saya itu ibarat menconteng arang ke muka , tetapi mereka tidak masuk campur atas keputusan saya kerana menganggap itu hak saya, dan tidak akan menjadikan ia sebagai satu isu yang merenggangkan hubungan kami adik-beradik.

“Ibu pula banyak menasihati saya untuk bersabar dan sentiasa tegur ayah walaupun dia tidak mahu bercakap dengan saya. Saya juga kasihankan dia kerana orang kampung mengutuk mak dan ayah tidak pandai jaga anak. Malah mereka mengangap saya masuk Islam bermakna saya juga masuk Melayu,” katanya yang ingin membetulkan persepsi tersebut.

Pun begitu, beliau tidak pernah rasa disisihkan, malah bersyukur kerana lama-kelamaan keluarga dapat menerima jalan hidup yang dipilihannya. Azam Juhaidi, walaupun berbeza agama, namun sebagai anak beliau tetap akan terus menjalankan kewajipannya menjaga kepentingan orang tuanya samapi bila-bila.

3 tahun pertama penting
“Saya ingin buktikan dan menjadi contoh terbaik kepada orang tua saya bahawa saya masih mampu berjaya dan menjaga mereka dengan baik walaupun saya sudah memeluk Islam. Selain itu, Alhamdulillah walaupun bukan sumbangan yang besar namun saya juga sedikit sebanyak dapat membantu orang kampung walaupun suatu ketika dulu pernah dikutuk,” kata bapa tunggal kepada tiga anak ini.

Menurut Juhaidi berdasarkan pengalaman dan pemerhatian beliau yang telah bergelar saudara baru selama 26 tahun, tiga tahun pertama menjadi salah seorang umat Nabi Muhammad merupakan satu tempoh yang cukup penting bagi memastikan keimanan golongan ini akan kekal terpelihara sebagai umat Islam yang hakiki.


“Tempoh ini dianggap kritikal, kerana sekiranya golongan ini tidak mendapat perhatian sewajarnya dan tidak diberi sokongan yang cukup padu dari semua peringkat seperti pertubuhan-pertubuhan kerajaan yang berkaitan atau orang Islam secara umumnya tidak mustahil saudara baru ini akan kembali semula kepada agama asal mereka.

“Berbeza dengan penyebaran agama Kristian oleh golongan mubaligh, mereka cukup komited dan sanggup melakukan apa sahaja asalkan berjaya mengajak penganut lain menyertai agama mereka seperti memberi perlindungan tempat tinggal, wang dan sebagainya. Justeru semua pihak berkenaan perlu menjaga kebajikan saudara baru agar sekurang-kurangnya mereka ada tempat untuk merujuk, lebih-lebih lagi bagi mereka yang disisihkan keluarga dan sebagainya,” tutur Juhaidi yang menjadikan pengalaman melihat Kaabah sewaktu mengerjakan umrah adalah suatu yang cukup berharga dan sekaligus mempertingkatkan keyakinan dan keimanannya terhadap kebesaran Ilahi.

Wednesday, May 28, 2008

Istimewanya seorang wanita.....

Allah berfirman:

"Ketika Aku menciptakan seorang wanita, ia diharuskan untuk menjadi seorang yang istimewa. Aku membuat bahunya cukup kuat untuk menopang dunia; namun, harus cukup lembut untuk memberikan kenyamanan."

"Aku memberikannya kekuatan dari dalam untuk mampu melahirkan anak dan menerima penolakan yang seringkali datang dari anak-anaknya. "

"Aku memberinya kekerasan untuk membuatnya tetap tegar ketikaorang-orang lain menyerah, dan mengasuh keluarganya dengan penderitaandan kelelahan tanpa mengeluh."

"Aku memberinya kepekaan untuk mencintai anak-anaknya dalam setiapkeadaan, bahkan ketika anaknya bersikap sangat menyakiti hatinya."

"Aku memberinya kekuatan untuk mendukung suaminya dalam kegagalannya dan melengkapi dengan tulang rusuk suaminya untuk melindungi hatinya."

"Aku memberinya kebijaksanaan untuk mengetahui bahwa seorang suami yangbaik takkan pernah menyakiti isterinya, tetapi kadang mengujikekuatannya dan ketetapan hatinya untuk berada disisi suaminya tanpa ragu."

"Dan akhirnya, Aku memberinya air mata untuk dititiskan. Ini adalahkhusus miliknya untuk digunakan bilapun ia perlukan.

Kecantikan seorang wanita bukanlah dari pakaian yang dikenakannya, susuk yang ia tampilkan, atau bagaimana ia menyisir rambutnya. Kecantikan seorang wanita harus dilihat dari matanya, kerana itulah pintu hatinya,tempat dimana cinta itu ada.

Anda akan menambah harga diri ciptaan indah ini, wanita! kerana, Setiap Wanita itu Cantik...

Aku berharap bagi insan bernama lelaki jika anda membaca petikan yang saya selitkan ini (email dari rakan-rakanku) hargailah wanita yang sentiasa berada di sampingmu, lebih-lebih lagi ibu tersayang, isteri tercinta, adik-adik perempuan dan kakak-kakakmu…pengorbanan mereka cukup besar..

Bagi diriku pula, tak kala aku membaca petikan ini, fikiranku terus terbayangkan raut wajah mamaku yang begitu kental membesarkan anak-anaknya seramai tujuh orang ini yang sememangnya memiliki personaliti dan ‘angin’ yang berbeza..

Pasti ketika kami masih kecil, pening kepalanya memikirkan kerenah kami..namun tiada sekelumit rungutan daripada mamaku. Aku akui, aku juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan, terkasar bahasa, degil atau sebagainya. Namun aku segera sedar kesilapanku apabila memikirkan segala pengorbanannya yang sebaik mungkin cuba memenuhi keperluanku..apa yangku pinta pasti dapat!.

Namun itu semua cerita dulu-dulu, sewaktu ku muda remaja.
Kini hubungan kami lebih akrab, seperti seorang sahabat. Dia sentiasa berada di sampingku, tatkala aku dalam kesedihan, kecewa dll. Kadang jika aku balik ke rumah hujung minggu, mama suka lepak dalam bilik tidurku dan kami berborak 2,3 pagi. Aku teruja mendengar ceritanya mengenai tingkah laku kami adik-beradik, perangai seorang demi seorang, seronok rasanya. Ada yang gembira ada yang sedih..hehe..paling tidakpun bila dah solat subuh, mama suka kepit aku dan adik atas katil..dia akan baring di tengah-tengah antara kami..situasi yang cukup menyenangkan..

Masih aku ingat kalau tidak silap aku di tingkatan empat, ketika mengikutinya ke kedai dengan menaiki astina sewaktu dia membrek kecemasan, aku teringat dia menghalang diriku daripada terhantuk ke hadapan dengan menghadang dengan tangan kirinya. Dia hanya memikirkan keselamatanku. Sampai sekarang masih segar dalam ingatanku…

Benarlah kata orang, kasih ibu cukup besar, walau sebesar mana atau mahal mana hadiah yang diberikan kepada si anak, tidak akan sama nilainya dengan pengorbanan si ibu.
Pada usiaku yang semakin dewasa ini, aku semakin menghargai ibuku, inginku penuhi segala hasratnya dan menggembirakannya selagi masih berpeluang.. Selagi masih berkesempatan inginku ucapkan ‘I LOVE U MAMA’ setiap hari padanya. Menerusi telefon aku mengucapkan ungkapan keramat tersebut di akhir perbualan kami.hehehe..

Itulah sedikit corat-coretku mengenai mamaku …Puan Habibah Abdul Hamid..
Bulan Mei ini adalah hari berganda buatnya iaitu 2 Mei baru ni adalah hari kelahirannya dan 12 mei pula adalah Hari ibu (kalau tak silap)

Dikesempatan ini kuucapkan selamat Hari Jadi dan Hari Ibu untuk Mama tersayang..I Love U MAMA..

Wednesday, May 14, 2008

alhamdulillah, segala puji bagi Allah swt...kerana Dia aku masih bernyawa hingga ke hari ini. sehingga aku masih berkesempatan untuk menyambut ulangtahun kelahiranku pada hari ini iaitu yang ke28. ye, hari ni pada tanggal 14 mei adalah hari jadiku..yeah..yeah..

hari jadi kali ini aku rasakan yang paling bermakna sekali mungkin sepanjang hayatku..kerana selain mendapat kejutan hari jadi pada tepat 12 malam oleh rakan-rakan serumahku, aku juga mendapat 'hadiah' yang tidak ternilai yang aku idam-idamkan selama ini..iaitu mendapat pekerjaan baru yang ku anggap cukup terjamin..Alhamdulilah..

aku mendapat kejutan dari rakan-rakan bersama sebuah kek dari secret resepi u...mahal tu...
dan ini jugalah buat pertama kali rasanya aku meniup kek khas untukku sendiri..hehe

selain itu, pada pagi hari jadiku ini tiada apa yang istimewa, cumanya seperti biasa aku meneruskan rutinku sebagai seorang wartawan, menyiapkan artikel yang ditugaskan..
oh ye baru aku ingat, pagi ini dalam perjalananku ke ofis, tiba-tiba keretaku tersayang (ekceli kereta ayahku) meragamlah pula..tiba2 sajjer enjin mati..mati, start balik, mati start balik..mungkin jalan tengak slow dia buat hal...bila aku press minyak banyak2, barulah dia ok ..
tengoklah nanti, mungkin balik kerja petang ni, aku singah ke workshop yang sudah biasa aku kunjungi , nak tengok apa yang tak kena dengan 'buah hatiku' itu..huhuhu

so, dah takde apa yang ingin kucoretkan lagi kot..
cuma harapan dan doaku kepada Ilahi, agar aku dipanjangkan umur, dipermudahkan segala urusanku, sentiasa mendapat hidayah dan perlindungan dari-Nya..amin

sekali lagi...
hepi besday to me..