Friday, February 22, 2008

Mari Cuba Resipi Masakan Kampung Asli


Masakan kampung memang tidak lapak dek panas tidak lekang dek hujan. Ia masih mendapat tempat di hati generasi masa kini walaupun dihidangkan dengan kepelbagaian masakan tempatan mahupun antarabangsa. Bagi yang ingin mencuba masakan tradisi turun temurun dari nenek moyang kita ini. Mari berkongsi antara menu asli masakan yang menjadi warisan seluruh Nusantara ini. Sekurang-kurangnya dengan mencuba sendiri dapat terus mengekalkan identiti dan warisan asli kita ini.


1. SUP TETEL JAMBI-

Bahan-bahan:
1 kg daging tetel
100 gram rempah kurma
2 cm lengkuas
30 gram halia kisar
1 biji bawang besar kisar
3 ulas bawang putih kisar
2 batang kayu manis
3-6 biji buah pelaga
3-6 biji bunga cengkih
5 gram lada hitam
Garam secukup rasa
5 gram lada sulah
2 biji kentang (dipotong 4)
Lobak merah (dipotong halus)
2 liter air
Bawang goreng dan daun sup sebagai hiasan

Cara penyediaan:
Tumis bahan kisar, kayu manis, buah pelaga dan bunga cengkih sehingga naik bau.
Masukkan rempah kurma yang dibancuh dengan sedikit air dan kacau sehingga garing.
Kemudian masukkan air dan daging. Biarkan sehingga daging empuk.
Masukkan garam, lada sulah, lada hitam, lobak serta kentang.
Setelah masak, hidangkan bersama bawang goreng dan daun sup.

2. DAGING RAWON-

Bahan-bahan:
1 kg daging lembu
2 liter air
10 batang serai (dititik)
50 gram daun limau.
200 gram buah keluak
3 biji cili merah
3 biji cili hijau
500 gram minyak masak
Garam secukup rasa
Gula secukup rasa

Bahan kisar:
100 gram bawang merah
50 gram bawang putih
100 gram lengkuas
100 gram halia
50 gram serbuk kunyit
50 gram biji ketumbar

Cara penyediaan:
1. Tumis bahan kisar sehingga naik bau
2. Masukkan daging,air, serai dan daun limau purut. Kemudian masukkan garam dan gula sesedap rasa.
3. Biarkan ia mendidih dan daging menjadi empuk. Sedia dihidang.

3. GULAI NENAS IKAN TALANG
Bahan-bahan:
½ kg ikan masin talang
1/3 biji nenas
I liter santan
50 gram rempah kari ikan
1 helai daun kunyit
Garam secukup rasa

Bahan kisar:
3 ulas bawang putih
1 biji bawang besar
7-10 biji cili padi
1 cm kunyit hidup
3 batang serai

Cara penyediaan :
Tumis semua bahan kisar sehingga naik bau.
Masukkan rempah kari yang telah digaul bersama air dan kacau rata.
masukkan santan dan ikan masin. Biarkan ia mendidih sebelum dihidang (gulai harus sentiasa dikacau supaya santan tidak pecah)

4. IKAN SIAKAP BERSAMBAL TOK AYAH

Bahan-bahan:
1 ekor ikan siakap sederhana besar
2 biji limau kasturi
20 gram tepung jagung
10 gram garam
(Cara penyediaan:
Ikan siakap dibelah dua dan dibersihkan
satukan tepung jagung, garam dan jus limau. Gaulkan pada ikan tadi.
Goreng ikan dalkam minyak yang banyak.

Untuk sos manis (sambal ikan siakap)
5 biji cili merah dikisar
8-10 tangkai cili kering dikisar
8 biji cili padi dikisar
1 biji bawang besar dikisar
2 ulas bawang putih dikisar
2 batang serai
2-3 helai daun limau
Garam secukup rasa
Gula secukup rasa
Minyak masak untuk menumis
3 sudu besar sos tomato
2 cm belacan

(Cara penyediaan sos:
Panaskan minyak masak dan tumis bahan kisar sehingga masak.
Masukkan sos tomato, belacan, daun limau garam dan gula. Gaul sehingga sebati.

Bahan tumis hiasan (ikan siakap)
Bahan-bahan:
1 biji bawang merah dihiris
3 biji cili merah
3 bili cili hijau
1 biji tomato dipotong 6
1 biji Timun (dipotong panjang)
1 batang serai diketuk
Minyak masak untuk menumis.
(Cara penyediaan:
Semua bahan tersebut dipotong
PAnaskan minyak dan tumis bahan yang dipotong tadi.
Masak sehingga layu dan toskan
Akhir sekali tuangkan sos dan bahan tumisan hiasan ke atas ikan yang digoreng tadi. Hidangkan

5. PISANG DADIH-
Bahan-bahan:
1 sisir pisang abu
Air untuk merebus secukupnya
250 ml santan
Garam secukup rasa
1 helai daun pandan.
Gula melaka.

Cara penyediaan:
1.Rebus pisang selama 2 minit
2. Angkat kemudian panggangkan pisang tersebut di atas kuali leper.
3.Setelah masak, hidangkan bersama santan dan gula melaka.

6. LOMPAT TIKAM-
Bahan-bahan:
250 gram tepung beras
100 gram tepung jagung
Garam secukup rasa
2 sudu besar jus pandan
200 ml santan
Sedikit kapur makan
- Bancuhkan kesemua bahan-bahan di atas, panaskan api dan masak perlahan-lahan sehingga pekat.

Penyediaan pulut merah :
½ kg pulut
100 gram santan
15 ml sirap
250 ml air
Sehelai daun pandan
Sedikit garam
- Gaul rata semua bahan ini dan masak pulut. Kemudian sejukkan

Penyediaan untuk santan :
300 ml santan
Sedikit garam
2 helai daun pandan

Cara penyediaan:
Cedokkan bahan-bahan di atas dan masukkan ke dalam gelas secara berlapis.
Tuangkan santan bersama gula melaka sebelum dihidang.

7. GULAI LEMAK AYAM CILI PADI

Bahan-bahan (untuk hidangan 4 orang)
Seekor ayam kampung (dipotong mengikut kesukaan)
1 liter santan
1 batang serai dititik
1 helai daun kunyit (disiat empat)
Garam secukup rasa
Minyak secukupnya

Bahan untuk dikisar :
10 biji cili padi merah
10 biji cili padi hijau
3 biji bawang besar
1 ulas bawang putih
1 inci halia
1 inci kunyit hidup.

Cara penyediaan:
Ayam yang telah dibersihkan digaul dengan sedikit garam dan kunyit lalu digoreng sehingga ¾ masak. Angkat dan ketepikan.
Setelah minyak panas, masukkan serai, bahan yang dikisar dan daun kunyit. Tumis sehingga naik baud an keluar minyak.
Masukkan garam dan serbuk perasa bersama ayam yang telah digoreng tadi. Gaul sehingga sebati.
Masukkan santan dan masak di atas api yang kecil. Biarkan sehingga kuahnya meresap ke dalam ayam dan mendidih. Setelah itu masukkan tomato dan tutup api dan periuk. Setelah 5 minit, tomato sudah layu angkat dan hidangkan.

8. ASAM PEDAS EKOR TOK WAN

Bahan-bahan:
2 batang bunga kantan
4 tangkai daun kesum
2 sudu jus asam jawa
Minyak untuk menumis
½ kg ekor lembu yang telah dibersihkan
2 liter air

Bahan kisar:
80 gram cili kering
100 gram bawang besar
10 gram bawang putih
2 tangkai serai
2 cm lengkuas

Cara Penyediaan

Tumiskan bahan yang telah dikisar sehingga wangi dan masukkan jus asam jawa.
Kemudian masukkan ekor lembu, dan reneh sebentar.
Masukkan air, bunga kantan dan daun kesum.
Biarkan sehingga daging empuk. Sedia untuk dihidang.

Monday, February 18, 2008

Restoran OPAH....


Sekiranya tiba-tiba tekak anda terasa benar ingin menikmati masakan lauk pauk kampung, ataupun rindukan masakan ibu dan nenek di kampong halaman, Restoran Opah menjadi destinasi yang tepat bagi memenuhi selera anda itu!

Seiring dengan nama diberi, keistimewaan premis yang terletak di wing baru; Marrakesh pusat membeli belah Sunway Piramid, Petaling Jaya ini menghidangkan aneka jenis masakan warisan asli turun temurun dari nenek moyang.

Menurut Pengurus Promosi dan Pengiklanan, Intan Srihana, berkata restoran yang mula beroperasi Ogos tahun lalu ini mengenengahkan konsep masakan asli dan kontemporari yang bukan sehaja menjadi hidangan tradisi masyarakat di negara bahkan penduduk di nusantara.

“Di Restoran Opah keutamaan kami menampilkan masakan lauk pauk tradional warisan dari nenek moyang kita. Antara masakan asli yang disediakan di sini seperti Gulai Nenas Ikan Talang, Gulai Lemak Ayam Kampung, Rendang Tok dan beraneka jenis menu lagi. Lebih menarik lagi semua hidangan ini dihasilkan melalui kajian kami secara menyeluruh bagi memastikan keaslian resipi dan ramuan yang digunakan adalah warisan asli turun-temurun. Ini kerana kami amat mementingkan kualiti dan rasa asli,” katanya sambil menambah nama Opah dipilih bagi merujuk kepada orang lama atau nenek.

Tidak ketinggalan beraneka ulam-ulaman dan sambal sebagai pencecah yang menjadi menu wajib bagi masyarakat Melayu dihidangkan secara ala buffet pasti menggamit selera.

Menu istimewa:
Sup
Sup Sayur Asam(RM6.90), Sup Tetel Jambi(RM9.90)

Pembuka Selera
Otak Otak Daun Kelapa(RM7.90), Seleksi kerabu and Sambalan (RM7.90)

Pencuci mulut
Lompat Tikam(RM7.90), Pisang Dadih(RM7.90), Ais Kepal Berbuah(RM7.90)

Gulai Kampung
Gulai Tetel Tempoyak Dengan Petai(RM15.90), Gulai Nenas Ikan Talang(RM15.90)
Gulai Lemak Ayam Kampung(RM15.90), Gulai Daging Kawah(RM15.90), Gulai Asam Pedas Ekor(RM15.90)

Opah Klasik
Pencok Ayam(RM17.90), Kambing Gajus Berempah(RM17.90), Daging rawon – Sup daging pekat ala Indonesia(RM17.90), Semur Daging(RM17.90), Daging Bakar Pacak Sambal Kerisik – Daging bakar cicah sambal kerisik(RM17.90), Siakap Bersambal Manis(RM22.90), Ikan Kembung Kukus Air Asam(RM13.90),

Rendang Opah RM 12.90
Rendang Ayam Sambal Siam dan Rendang Tok – Rendang berempah tradisi Perak
(note: semua hidangan lauk pauk disediakan dalam hidangan yang besar)
Set Bujang RM 19.90
Set Nasi Janganan
- Nasi, Gulai Lemak Ayam kampong, keropok ikan, gado-gado, pencuci mulut dan air barli sejuk.
Set Nasi Urap
- Nasi, Kerabu, Ikan kukus air asam, pencuci mulut dan air barli sejuk
Set Nasi Rawon
- Nasi,, Sup Rawon Indonesia, Kerabu, keropok malinjo, pemanis mulut dan air barli sejuk.

Alamat :
Restoran OPAH Lot LL2.90 Lower Level 2 pusat membeli belah Sunway Pyramid Petaling Jaya (wing baru Markesh)

Pemilik restoran:
Sierra Circle Sdn Bhd

Tarikh pembukaan :
Ogos 2007

Waktu operasi :
Setiap hari dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

Keistimewaan :
· Restoran yang terletak di dalam pusat membeli belah Sunway Piramid ini dapat memuatkan seramai 40 orang dalam satu-satu masa.
· Setiap menu yang dihasilkan berdasarkan kajian dan penyelidikan R&D untuk memastikan rasa keenakan dan keaslian terpelihara.
· Hiasan dalaman berkonsepkan kontemporari menimbulkan suasana seolah-olah berada kediaman sendiri. Keunikan makin terserlah apabila pemilik bijak mengaplikasi ruang dengan hiasan dan aksesori tradisional seperti set tepak sirih junjung, ukiran kayu dan paling unik sebuah basikal tua yang diletakkan di hadapan premis. Pasti menggamit pengunjung.
· Cukup simbolik setiap masakan yang dihidangkan kepada pelanggan akan dialas bersama daun sirih yang segar.

Wednesday, February 13, 2008

Tempe oh Tempe...

Kisah ini sekadar untuk dikongsi untuk renungan diri ini dan kalian

Ada sebuah kampung di pedalaman Tanah Jawa. Disitu ada seorang perempuan tua yang sangat kuat beribadat. Pekerjaannya ialah membuat tempe dan menjualnya di pasar setiap hari. Ia merupakan satu-satunya sumber pendapatannya untuk menyara hidup. Tempe yang dijualnya merupakan tempe yang dibuatnya sendiri.

Pada suatu pagi, seperti biasa, ketika beliau sedang bersiap-siap untuk pergi menjual tempenya, tib a tiba dia tersedar yang tempenya yang diperbuat daripada kacang soya hari itu masih belum menjadi, separuh jadi.Kebiasaannya tempe beliau telah masak sebelum bertolak. Diperiksanya beberapa bungkusan yang lain. Ternyatalah kesemuanya belum masak lagi.

Perempuan tua itu berasa amat sedih sebab tempe yang masih belum menjadi pastinya tidak akan laku dan tiadalah rezekinya pada hari itu. Dalam suasana hatinya yang sedih, dia yang memang kuat beribadah teringat akan firman Allah yang menyatakan bahawa Allah dapat melakukan perkara-perkara ajaib, bahawa bagiNya tiada yang mustahil. Lalu dia pun mengangkat kedua tangannya sambil berdoa ,

"Ya Allah , aku memohon kepadaMu agar kacang soya ini menjadi tempe . Amin"

Begitulah doa ringkas yang dipanjatkan dengan sepenuh hatinya. Dia sangat yakin bahawa Allah pasti mengabulkan doanya. Dengan tenang perempuan tua itu menekan-nekan bungkusan bakal tempe dengan hujung jarinya dan dia pun membuka sikit bungkusan itu untuk menyaksikan keajaiban kacang soya itu menjadi tempe . Namun, dia termenung seketika sebab kacang tu masih tetap kacang soya.

Namun dia tidak putus asa, sebaliknya berfikir mungkin doanya kurang jelas didengar oleh Allah. Maka dia pun mengangkat kedua tangannya semula dan berdoa lagi.

"Ya Allah, aku tahu bahawa tiada yang mustahil bagiMu. Bantu lah aku supaya hari ini aku dapat menjual tempe kerana inilah mata pencarianku. Aku mohon agar jadikanlah kacang soyaku ini kepada tempe, Amin".

Dengan penuh harapan dan debaran dia pun sekali lagi membuka sedikit bungkusan tu. Apakah yang terjadi? Dia termangu dan hairan apabila tempenya masih tetap begitu!! Sementara itu hari pun semakin meninggi sudah tentu pasar sudah mula didatangi ramai orang. Dia tetap tidak kecewa atas doanya yang belum terkabul. Walaubagaimanapun kerana keyakinannya yg sangat tinggi dia bercadang untuk tetap pergi ke pasar membawa barang jualannya itu.

Perempuan tua itu pun berserah pada Tuhan dan meneruskan pemergian ke pasar sambil berdoa dengan harapan apabila sampai di pasar kesemua tempenya akan masak. Dia berfikir mungkin keajaiban Allah akan terjadi semasa perjalanannya ke pasar. Sebelum keluar dari rumah, dia sempat mengangkat kedua tangannya untuk berdoa.

"Ya Allah, aku percaya, Engkau akan mengabulkan doaku. Sementara aku berjalan menuju ke pasar, Engkau kurniakanlah keajaiban ini buatku, jadikanlah tempe ini. Amin".

Lalu dia pun berangkat. Di sepanjang perjalanan dia tetap tidak lupa membaca doa di dalam hatinya. Sesampai sahaja di pasar, segera dia meletakkan barang-barangnya. Hatinya betul-betul yakin yang tempenya sekarang mesti sudah menjadi. Dengan hati yg berdebar-debar dia pun membuka bakulnya dan menekan-nekan dengan jarinya setiap bungkusan tempe yang ada. Perlahan-lahan dia membuka sedikit daun pembungkusnya dan melihat isinya. Apa yang terjadi? Tempenya masih belum menjadi!! Dia pun kaget seketika lalu menarik nafas dalam-dalam.

Dalam hatinya sudah mula merasa sedikit kecewa dan putus asa kepada Allah kerana doanya tidak dikabulkan. Diaberasakan Tuhan tidak adil. Tuhan tidak kasihan padanya, inilah satu-satunya punca rezekinya, hasil jualan tempe . Dia akhirnya cuma duduk sahaja tanpa mempamerkan barang jualannya sebab dia berasakan bahawa tiada orang yang akan membeli tempe yang baru separuh menjadi.

Sementara itu hari pun semakin petang dan pasar sudah mulai sepi, para pembeli sudah mula kurang. Dia meninjau-ninjau kawan-kawan sesama penjual tempe , tempe mereka sudah hampir habis. Dia tertunduk lesu seperti tidak sanggup menghadapi kenyataan bahawa hari ini tiada hasil jualan yang boleh dibawa pulang.

Namun jauh di sudut hatinya masih menaruh harapan terakhir kepada Allah, pasti Allah akan menolongnya. Walaupun dia tahu bahawa pada hari itu dia tidak akan dapat pendapatan langsung, namun dia tetap berdoa buat kali terakhir,

"Ya Allah, berikanlah penyelesaian terbaik terhadap tempeku yang belum menjadi ini." Tiba-tiba dia dikejutkan dengan teguran seorang wanita. "Maaf ya, saya ingin bertanya, Makcik ada tak menjual tempe yang belum menjadi? Dari tadi saya sudah pusing keliling pasar ini untuk mencarinya tapi masih belum berjumpa lagi."

Dia termenung dan terpinga-pinga seketika. Hatinya terkejut sebab sejak berpuluh tahun menjual tempe , tidak pernah seorang pun pelanggannya mencari tempe yang belum menjadi. Sebelum dia menjawab sapaan wanita di depannya itu, cepat-cepat dia berdoa di dalam hatinya

"Ya Allah, saat ini aku tidak mahu tempe ini menjadi lagi. Biarlah tempe ini seperti semula, Amin".

Sebelum dia menjawab pertanyaan wanita itu, dia membuka sedikit daun penutup tempenya. Alangkah seronoknya dia, ternyata memang benar tempenya masih belum menjadi! Dia pun rasa gembira dalam hatinya dan bersyukur pada Allah. Wanita itu pun memborong habis kesemua tempenya yang belum menjadi itu.

Sebelum wanita tu pergi, dia sempat bertanya wanita itu, "Mengapa hendak membeli tempe yang belum jadi?" Wanita itu menerangkan bahawa anaknya yang kini berada di England teringin makan tempe dari desa. Memandangkan tempe itu akan dikirimkan ke England , si ibu tadi kenalah membeli tempe yang belum jadi lagi supaya apabila sampai di England nanti akan menjadi tempe yang sempurna. Kalau dikirimkan tempe yang sudah menj adi, nanti di sana tempe itu sudah tidak elok lagi dan rasanya pun kurang sedap.

Perempuan tua itu pun kehairanan dan berfikir rupa-rupanya doanya sudah pun dimakbulkan oleh Tuhan.

Moral of the story:


Pertama: Kita sering memaksakan kehendak kita kepada Tuhan sewaktu berdoa, padahal sebenarnya Tuhan lebih mengetahui apa yang kita perlukan dan apa yang terbaik untuk diri kita.

Kedua:. Sentiasalah berdoa dalam menjalani kehidupan seharian kita sebagai hambaNya yang lemah. Jangan sekali-kali berputus asa terhadap apa yang dipinta. Percayalah bahawa Tuhan akan mengabulkan doa kita sesuai dengan rancanganNya yang mungkin di luar jangkaan kita.

Ketiga : Tiada yang mustahil bagi Tuhan

Keempat : Kita sering ingin Allah memenuhi hak kita sedang kita tidak pernah mahu memenuhi hak Allah seperti menjaga SEMBAHYANG 5 WAKTU , menyegerakan solat, berkata-kata perkara yang berfaedah dan berpesan ke arah kebaikan...oleh itu, hantarlah kepada sahabat yang lain agar kebaikan boleh sama dikongsi.

Jangan TERLALU...

Tanpa kita sedar, ada beberapa amalan atau pekerjaan yang sering kita lakukan dalam kehidupan seharian sebenarnya mempunyai kesan kepada diri, misalannya;
Jika anda Terlalu.....

1.Terlalu lama berdiri - merosakkan tulang. Urat sekitar kaki menjadi kembang.

2. Terlalu lama duduk - merosakkan lipatan daging. Akan mudah dihinggapi penyakit tua. Tubuh badan menjadi kendur.

3. Terlalu lama berjalan - merosakkan urat.

4. Terlalu lama melihat - merosakkan darah.

5. Terlalu banyak tidur - merosakkan tenaga. Menjadi pemalas. Jauh jodoh!

6. Terlalubanyak ketawa/gembira - merosakkan usus.

7. Terlalu kerap marah - merosakkan hati. Cepat kelihatan tua.

8. Terlalu banyak berfikir - merosakkan limpa. Kulit muka cepat berkedut.

9. Terlalu banyak bersedih - merosakkan jantung.

10. Terlalu merana - merosakkan paru-paru.

11. Terlalu takut - merosakkan ginjal. Apabila fungsi ginjal terjejas, boleh mengakibatkan gejala kencing manis dan lemah jantung.

12. Terlalu kerap terkejut - merosakkan pundi hempedu. Gejala pening kepala kerap dialami.

13. Terlalu banyak makan - merosakkan pencernaan. Mudah mengalami keletihan, malas dan selalu mengantuk.(simptom ini selalu dialami..hehe)

14. Terlalu banyak minum minuman berais - merosakkan otot & lambung. Badan menjadi lembik. Berat badan meningkat. Mudah diserang penyakit & tidak kelihatan awet muda.

15. Terlalu banyak masa lapang - merosakkan fikiran. Kelapangan masa yang terlalu banyak menimbulkan berbagai khayalan dan menimbulkan berbagai penyakit jiwa, kecuali masa lapang diisi dgn aktiviti hidup yg positif .

tidak diketahui kesahihannya, tapi tak rugikan jika mencuba