Artikel menarik aku baca pagi ni. Satu penulisan yang cukup bermanfaat dan sesuai bagi mereka yang sedang berhadapan dengan kekecewaan, ketidakcelaruan hidup, merasakan musibah cukup berat untuk ditanggungi, menganggap hidup ini tidak adil dan tidak lagi bermakna, menghadapi dugaan dari Allah (seperti yangku hadapi) dan seangkatan dengannya..
Semoga ia memberi perangsang dan sinar kepada diri dan juga anda, agar terus bangkit keluar dari kepompong kekecewaan, ratapan yang tidak berpenghujung, mudah melaungkan rasa putus asa dan seumpamanya. Sebaliknya anggaplah kesemua ujian itu sebagai kasih sayang Allah swt terhadap hamba-Nya. Ingatlah hanya Dia Yang Maha Mengetahui apa yang terbaik buat kita semua..InsyaAllah..
petikan sumber dari utusan..
Biarpun Allah menentukan qadak, qadar seseorang, namun nasib yang dialami oleh seseorang itu ada kaitannya dengan tindak-tanduk, cara berfikir dan bertindak. Usaha yang dilakukan biar dalam keadaan apa sekalipun, tidak semestinya membuahkan natijah yang diharapkan. Banyak faktor luaran dan dalaman yang mempengaruhi tindak-tanduk seseorang.
Sesungguhnya, tugas seorang hamba itu ialah berusaha sebaik mungkin, berdoa kepada Allah, kemudian baru menyerah diri kepada-Nya. Itulah yang dinamakan tawakal. Hanya Allah yang menentukan segala-galanya, menurut ihsan-Nya yang tidak boleh diubah atau digagahi oleh manusia. Tugas kita ialah berusaha, manakala kemustajaban atau kemakbulan, itu ialah urusan Allah SWT.
Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa, yang mempunyai rahsia qada dan qadar yang tidak mudah difahami atau dimaklumi oleh manusia. Sesungguhnya Allah apabila telah menentukan qada dan qadarnya, Ia mahukan agar setiap hamba itu reda terhadap-Nya.
Allah menyuruh agar setiap orang itu memohon kepada-Nya dan Dia akan memperkenan permohonan tersebut (Ghafir: 60& Ibrahim: 34). Dalam sebuah hadis riwayat oleh Ahmad, Abu Daud Tarmizi, Ibn Majah dan al-Hakim, dari Salman, ia bersabda: Sesungguhnya Allah itu hidup lagi mulia. Ia berasa malu apabila seseorang hamba itu mengangkat kedua-dua belah tangannya lalu Ia menolak kedua-dua tangannya dalam keadaan kosong tersembunyi keduanya.
Berdoa
Keterangan-keterangan daripada al- Quran dan hadis-hadis memperlihatkan bahawa Allah mengharapkan agar setiap hamba itu berdoa kepada-Nya, dalam setiap keadaan, ketika kaya, mewah, juga ketika dalam kesusahan, kerana berdoa itu merupakan otak ibadah.
Andainya manusia itu memerlukan otak untuk semua urusan dan kegiatan harian, maka ibadah memerlukan doa. Berdoa adalah ibadah. Setiap ibadah yang dilakukan oleh manusia akan diberi ganjaran oleh Allah.
Oleh kerana itu, apabila seseorang itu memahami hakikat doa, falsafah dan rahsia doa, dia tidak akan berputus asa untuk berdoa, biarpun doanya masih tidak dikabulkan, kerana adanya ganjaran di sebalik doa yang dipohon.
Allah menjanjikan kemakbulan setiap doa. Namun demikian andainya doa seseorang itu masih tidak dikabulkan, sakit yang dideritai tidak sembuh-sembuh, biarpun puas berubat, hutang semakin banyak biarpun usaha bisnes dilakukan bersungguh, ini tidak bermakna Allah itu memungkiri janji-janji-Nya. Maha Suci Allah daripada bersifat kekurangan. Ada rahsia-rahsia di sebalik ketentuan qada dan qadar yang perlu difahami untuk dijadikan pegangan dalam usaha melenyapkan rasa kecewa.
Tabiat semula jadi manusia itu sentiasa resah dan tidak memadai ketika dalam keadaan kesusahan ataupun ketika menerima nikmat Allah. Hanya mereka yang dapat melakukan sembahyang dengan tetap sahaja dapat menghilangkan rasa resah dan tidak reda tadi.
Manusia juga mempunyai rasa tamak dan rakus biarpun setelah menerima nikmat Allah dengan limpah-ruah.
Hanya dengan iman, rasa tamak rakus ini dapat dibenamkan. Rasulullah ada bersabda bahawa manusia akan insaf dan menyedari diri dengan bala atau cubaan Allah, iaitu dengan sakit, kematian orang yang dikasihi ataupun dengan kehilangan harta benda, seperti kecurian, musnah dalam kebakaran, kerugian berniaga, harga saham menjunam, perbelanjaan mengubati penyakit, membayar kos tuntutan mahkamah dan sebagainya.
Allah menentukan qadak dan qadar seumpama ini untuk dijadikan pengajaran atau iktibar kepada mereka yang terlibat juga orang lain yang menyaksikannya. Namun, tidak kurang mereka yang mendapat bala Allah, rasa insaf itu tidak timbul, ataupun insaf buat sementara waktu sahaja. Dan berubah kembali kepada tabiat buruknya apabila kesengsaraannya dapat diatasi, bisnes kembali pulih, penyakit menjadi sembuh, manakala kematian yang pernah diratapi luput dari ingatan.
Allah menyuruh agar setiap hamba itu berdoa, Dia akan memperkenankannya. Kemustajaban doa ada kalanya diberi cepat iaitu ketika seseorang itu masih hidup atau ditangguh baginya di akhirat, ataupun dengan doa itu akan dihapuskan dosa-dosanya menurut kadar doa yang dipohon, selagi ia tidak berdoa dengan sesuatu dosa ataupun memutuskan hubungan kekeluargaan.
Orang yang buta mungkin kecewa dengan penderitaan berpanjangan yang dialami, lebih-lebih lagi mereka yang celik sebelum itu. Walaupun tidak ada sesiapa yang tahu tentang rahsia kenapa ia dijadikan sedemikian rupa, tidak kira buta itu mungkin disebabkan oleh kesilapan dirinya sendiri, kerana demam panas yang bersangatan, terlalu banyak menangis atau memang dilahirkan buta.
Mungkin dalam ketentuan Allah, andainya orang yang berkenaan dijadikan celik, dia akan menjadi seorang yang jahat. Melakukan dosa-dosa besar dan hidup bergelumang dengan noda. Sebagai balasannya dia akan dimasukkan ke neraka. Walaupun demikian, Allah lebih mengasihinya, lalu menjadikannya buta, menyebabkan pergerakannya terhad, peluang melakukan dosa tidak wujud atau terlalu kecil, lalu akhirnya dia menjadi salah seorang penghuni syurga, kekal di dalamnya.
Andainya seseorang itu mengetahui rahsia-rahsia seperti ini, tentunya dia memilih menjadi buta, kerana penderitaan buta di dunia tidak kekal, kerana umat Muhammad hidup hanya antara 60-70 tahun sahaja. Hanya sedikit yang hidup lebih daripada umur ini.
Bagi orang yang celik, buta itu satu penderitaan, namun demikian bagi orang buta, apabila penderitaan penglihatan itu menjadi sebahagian daripada hidupnya, penderitaan itu akan hilang hasil daripada kejayaan menyesuaikan diri sebagai seorang yang hilang penglihatan.
Balasannya Rasulullah bersabda yang bermaksud: Allah telah berfirman barang siapa telah aku cabutkan kedua-dua matanya, maka balasannya telah kekal dalam rumah-Ku dan dia akan memandang wajah-Ku.
Rasulullah juga ada bersabda, telah berfirman Allah: Apabila aku hadapkan seorang dari kalangan hamba-Ku akan kecelakaan pada badannya, harta atau anaknya, kemudian ia terima kecelakaan itu dengan kesabaran yang baik, nescaya aku malu daripadanya pada hari kiamat kelak, bahawa aku akan tegakkan baginya neraca timbangan amal atau Aku bukakan baginya buku suratan amal. Dalam al-Quran (az-Zumar: 10) dijelaskan: Sesungguhnya orang yang sabar diberi balasan mereka tanpa hitungan.
Janji-janji Allah adalah jelas. Allah tetap bersifat kudrah, berkuasa mengendali dan menunaikan janji-janji-Nya dan Allah mempunyai rahsia yang tersendiri dalam menentukan qada dan qadarnya. Dalam surah al-Baqarah: 216, terdapat firman Allah yang bermaksud: Boleh jadi sesuatu yang tidak kamu sukai itu adalah lebih baik bagi kamu.
Selain daripada rahsia-rahsia ketuhanan yang tidak dimaklumi oleh manusia, penderitaan seseorang boleh menggugurkan dosa yang pernah dilakukan. Saidatina Aisyhah berkata, baginda ada bersabda: Tidak menimpa ke atas seseorang mukmin suatu kecelakaan biarpun terkena satu duri, ataupun yang lebih daripada itu, melainkan Allah menggugurkan dengannya satu dosa.
Dalam menghadapi hidup, kesabaran adalah paling utama. Sifat sabar bukan merupakan sifat manusia lemah kerana orang yang terlibat telah berusaha berhabisan, menggunakan akal dan tenaga, lalu berdoa bertawakal.
Seorang lelaki telah datang menemui baginda mengadu yang harta bendanya telah musnah, manakala badannya sakit-sakit. Baginda bersabda: Tidak baik bagi seorang hamba yang tidak hilang harta bendanya dan tidak sakit badannya. Sesungguhnya, Allah apabila ia mengasihi seorang hamba, Ia akan mengujinya dan apabila ia ditimpa bala, maka Allah akan memberinya kesabaran.
Doa yang dipohon merupakan peringatan seorang hamba kepada Penciptanya. Ingatan tersebut merupakan susunan kata yang disenangi oleh Allah, yang sentiasa mahu mendengar suara hamba-Nya yang dikasihi. Kerana itu, seseorang yang tahu akan hakikat atau rahsia qada dan qadar akan terus berdoa sambil berusaha, tidak kira doanya terlaksana ataupun tidak.
Dalam sebuah hadis, riwayat Ibn an-Najjar, katanya Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Malaikat Jibril itu diutuskan untuk menyempurnakan keperluan-keperluan anak Adam. Maka apabila seorang hamba kafir itu berdoa, Allah berkata kepada Malaikat Jibril, tunaikan hajatnya, maka sesungguhnya aku tiak suka mendengar doa permohonannya.
Namun apabila seorang hamba yang mukmin itu berdoa, Allah berkata: Wahai Jibril, tahan dahulu permohonannya, maka sesungguhnya aku suka mendengar doanya.
Orang yang berkasih-kasihan sering memuja pasangannya. Gembira, suaranya dirindui dan ditunggu oleh kekasihnya. Demikianlah gambaran kasih di antara manusia. Andainya manusia itu gembira suaranya didengar oleh orang lain, betapa bertuahnya kalau seorang hamba mukmin itu suaranya dirindui Allah. Tentunya dia akan terus berdoa biarpun ia menanggung penderitaan di sebalik doa yang dituturkan tadi.
Rasa hampa atau kecewa atau menyalahkan takdir tidak berupaya mengatasi masalah yang berlaku atau sedang dihadapi. Andainya penderitaan itu melibatkan kematian atau kemalangan, peristiwa ini tetap telah berlalu. Allah telah menetapkan takdir sedemikian rupa. Sesungguhnya kehampaan, putus asa atau hilang kesabaran menghilangkan pahala sabar.
Untuk memberi suntikan semangat dan menghindarkan rasa putus asa saudara, pemahaman tentang rahsia-rahsia qada dan qadar itu perlu difahami dan dihayati. Jika seseorang itu memahami bahawa apabila takdir itu telah termaktub di Loh Mahfuz, tidak ada makhluk yang boleh mengubahnya. Ada rahsia ketuhanan terhadap qada, qadar yang tidak mudah untuk difahami oleh hamba-hamba-Nya.
1 comment:
salam - semuga usaha saudari diberkatiNya.
Post a Comment