Thursday, September 10, 2009

Antara kemanusiaan vs kerakusan manusia

“ Pokan….”, terpancar di hadapan mata saya satu sinaran cahaya yang tidak pernah saya lihat sepanjang hidup saya…

…lalu saya terfikir,” bom jatuh di atas rumah saya?”. Berapa lama telah berlalu saya tidak ketahui, terperangkap dan tidak dapat bergerak di bawah runtuhan tanah.

…saya menjadi panic, dengan mulut penuh dengan debu Lumpur, menyukarkan saya untuk bernafas..saya sudah mula berputus asa…

..walaupun menghadapi kesulitan ketika itu, saya bernasib baik tidak mengalami kecederaan, , tetapi bingung bagaimana saya boleh berada atas atap genting rumah.

…saya terus berteriak,” matahari jatuh..!!”..itu mungkin gelembung awan bom atom yang meletup ketika itu, saya menjadi takut dan terus menangis…

…beberapa bahagian badannya luka tercucuk serpihan kaca, kami hanya dapat mencabut beberapa keping kaca besar yang tercucuk di mukanya.

Tiba-tiba di bawah tapak kaki saya kedengaran suara lemah ibu..saya gembira kerana ibu masih hidup!..bila dilihat rupa-rupanya saya berdiri betul-betul di atas punggung ibu..kedengaran juga suara Chiiko yang rupa-rupanya berada di bawah badan ibu. Dirinya selamat dalam dakapan ibu walaupun sebahagian badannya tertimbus.

…” awak akan mati dalam masa 2 ke 3 hari lagi”, doctor itu menambah lagi, “tiada ubat yang mujawab untuk merawat penyakit Pikadon (penyakit bom atom)ini,”

----------------------------------*...................

Demikian beberapa petikan begitu signifikan yang diceritakan oleh Encik Tsukasa Watanabe di hadapan hampir 100 tetamu jemputan termasuk Duta Jepun ke Malaysia, sempena majlis Perasmian Pameran Malapetaka Bom Atom: Hiroshima & Nagasaki 1945 baru-baru ini. Merupakan pameran yang julung-julung kali diadakan di Asia.

Warga emas ini adalah salah seorang mangsa ledakan bom atom atau hibakusha ketika berlaku tragedi tersebut di Nagasaki. Ketika itu usianya baru 13 tahun. Walaupun pengalaman tersebut sekadar diluahkan dengan kata-kata, namun, dari raut wajahnya sudah cukup menggambarkan betapa peritnya keadaan itu, suatu senario dahsyat yang tidak dapat diterjemahkan dengan kata-kata. Kejadian letupan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki sentiasa dikenang sebagai antara tragedi kemusnahan manusia dan alam paling menyayat hati.

Usai dirinya yang ketika itu tidak faham erti peperangan, kezaliman kemanusiaan, dan lebih-lebih lagi apakah itu bom atom yang pembangunannya sekadar bertujuan ingin menunjuk-menunjuk akan kekuatan sesebuah negara.



Tsukasa Watanabe ketika muda

Gambar terkini Watanabe..77 tahun


Natijah Perang Dunia

Perang Dunia Kedua memakan masa hampir selama enam tahun dan dianggarkan mengorbankan sejumlah 61 juta orang (tentera dan orang awam). Russia mengalami jumlah kehilangan jiwa yang terbesar berbanding negara-negara lain dengan anggaran hampir 25 juta kematian, diikuti oleh China dengan 11 juta, dan Jerman seramai 7 juta.

Perang Dunia Kedua adalah peperangan yang paling meluas dan mengakibatkan paling banyak kerosakan dalam sejarah dunia moden. Perang Dunia Kedua membabitkan kebanyakan negara dunia, dengan pertempuran di beberapa medan utama berlaku secara serentak, dan mengorbankan sekitar 50 juta nyawa.

Perang Dunia Kedua adalah peperangan yang paling meluas dan mengakibatkan paling banyak kerosakan dalam sejarah dunia moden. Perang Dunia Kedua membabitkan kebanyakan negara dunia, dengan pertempuran di beberapa medan utama berlaku secara serentak, dan mengorbankan sekitar 50 juta nyawa.

Peperangan Dunia II ini kebanyakan membabitkan Kuasa Bersekutu (perikatan negara-negara Komenwel, Perancis, Amerika, Kesatuan Soviet dan China) serta Kuasa Paksi (perikatan negara-negara Jerman, Itali, dan Jepun). Kebanyakan pertempuran berlaku di Medan Eropah Perang Dunia Kedua medan Atlantik dan di sekitar Eropah, dan dalam Peperangan Pasifik medan Pasifik di Pasifik dan Asia Timur.

Akibat kedua-dua ledakan bom atom yang dikenali sebagai Little Boy (dijatuhkan di Hiroshima) dan Fat Man oleh Kapal terbang pengebom B-29 di Nagasaki hampir 200, 000 ribu penduduk tidak berdosa menjadi korban. Malah angka ini semakin meningkat selepas 1945, apabila kebanyakkan mereka mati akibat sinaran radiasi bom atom atau radioaktif yang kesannya akan mula dirasai selepas beberapa tahun.

Sinaran yang berbahaya ini akan mengakibatkan beberapa penyakit seperti leukimia, kanser, si ibu berpotensi melahirkan anak yang cacat ataupun mati dan banyak lagi. Malah mengikut En Watanabe, dirinya sendiri mempunyai lebih 10 jenis penyakit selain mata kanannya buta akibat pancaran tersebut.

Bernasib baik..Datuk Haji Abdul Razak rakyat Malaysai yang terselamat dari targedi

Pun demikian, walaupun sudah mencecah 77 tahun, dirinya masih kelihatan cergas dan penuh semangat. Masih saya ingat ketika membawa deligasi dari Jepun ini melawat Putrajaya, beliau begitu ligat berjalan-jalan, pergi ke Alamanda membeli belah dari satu kedai ke satu kedai lain membeli kain sebagai cenderamata untuk anaknya walhal kami semua dah cukup penat.

Rakan-rakan yang menemaninya, mengeluh, ”watanabe san ni, dia tak penat langsung”..apapun kami kagum dengan semangat beliau. Mungkin akibat tragedi tersebut membuatkan beliau begitu menghargai kehidupannya dan ingin menikmatinya ini selagi nyawa masih di kandung badan.

Selain Encik Watanabe, ada seorang lagi hibakusha yang masih hidup yang juga merupakan warganegara Malaysia iaitu Datuk Abdul Razak Abdul Hamid,84 tahun. Beliau juga antara tetamu terhormat ketika majlis perasmian tersebut. Malah pihak Jepun sangat menantikan kehadiran beliau yang saban tahun dijemput ke Hiroshima setiap kali ulangtahun bandaraya tersebut memperingati mangsa bom atom.


Diiringi melawat pameran

Sewaktu malapetaka ini berlaku, beliau yang juga dikenali Cikgu Razak bersama 5 atau 3 (saya tak pasti) orang rakyat Malaysia yang lain ditaja oleh kerajaan Jepun untuk menyambung pelajaran di sana. Beliau mengambil jurusan pendidikan. Malangnya, daripada berlima, hanya beliau sahaja yang selamat pulang ke Tanah melayu ketika itu.

Berikut petikan cerita beliau yang kupetik dari sebuah laman web;
Tiba-tiba terdengar bunyi siren. Semua kelam kabut berlari menyorok dalam lubang perlindungan. Kemudian siren berbunyi lagi menandakan keadaan selamat.Sebaik saja pelajaran bersambung, terdengar bunyi yang sangat kuat. Boom!
Bangunan kayu dua tingkat kelas itu runtuh dan turut terperosok di bawah runtuhan kayu.“Saya tak tahu berapa lama tertimbus. Apabila sedar, saya nampak cahaya samar-samar lalu merangkak ke arah cahaya itu,” katanya yang cedera ringan di kepala.
Selepas berdiri tegak, Abdul Razak terpegun kerana keadaan sekeliling berjerebu dan sebahagian besar bangunan ranap menyembah bumi.Toda menyuruh Abdul Razak pulang ke asrama, tetapi beliau sendiri tidak tahu mencari arah ke asrama.Ketika berjalan mencari-cari, Abdul Razak bertemu rakannya dari Kelantan, Nik Yusuf Nik Ali. Seorang lagi rakan senegara ialah Syed Omar Aksagoff.
Nik menjerit: “Razak! Cepat balik tolong kawan-kawan di asrama.” Saya tanya: ”Awak macam mana? Nik berkata: ”Saya sihat, tak ada apa-apa.”Rupa-rupanya hari itu adalah pertemuan terakhir dua sahabat karib itu.
Nik Yusuf kemudian hilang begitu saja.Selepas menemui asrama yang sudah menyembah bumi, Abdul Razak bertungkus lumus membantu rakan-rakan dan penduduk Jepun yang terselamat hingga petang.Pada petang itu, berlaku kebakaran besar yang meragut nyawa mereka yang masih hidup.“Saya nampak di seberang sungai, orang lari ke tebing tetapi dihalang arus deras.
Api menggila seperti puting beliung mara menyambar mereka di tebing.“Api itu seperti bermata, mara ke seberang sungai kawasan saya berdiri melalui sebuah jambatan,” katanya.
Abdul Razak yang melihat tragedi di seberang sungai tidak berdiam diri lalu berlari ke sebuah jambatan lain. Dengan izin Allah, ada sebuah rakit tertambat di situ.Beliau bersama rakan-rakannya menaiki rakit yang hanya mampu menampung kira-kira 15 orang. Baki di daratan hangus dijilat api.
Di atas rakit pula, beberapa orang yang mungkin kerana terlalu dahaga meminta air. Abd Razak mencedok air sungai dan diberikan kepada orang itu.Orang itu mati serta-merta selepas minum. Beberapa orang lain juga menerima nasib sama.
“Barang kali kerana air sungai ini penuh dengan mayat, banyak kuman dan perlu dipanaskan terlebih dulu. Tetapi selepas minum air yang dijerang, mereka juga mati.“Walaupun saya enggan lagi memberikan mereka air, tetapi mereka kata, tak apa, biarlah kami mati asalkan dapat air,” katanya.
Apabila malam menjelma, barulah bantuan ubat-ubatan dan makanan dari tempat lain tiba.Abdul Razak dan rakan-rakannya bernasib baik kerana seorang penduduk Jepun membawa mereka tinggal di rumahnya selama seminggu.Pihak berkuasa Jepun kemudian mengesan mereka dan dibawa ke Tokyo. Ketika perjalanan, Syed Omar yang sakit ditinggalkan di Kyoto.Tiga bulan kemudian, Abdul Razak mendapat tahu bahawa Syed Omar meninggal dunia.
Teka-teki kehilangan Nik Yusuf pula berakhir apabila Abdul Razak menemui nama Nik Yusuf Nik Ali-Malaya di kawasan perkuburan mangsa Hiroshima.Di Tokyo, hampir sebulan Abdul Razak menerima rawatan kerana kekurangan sel putih dan selepas Jepun menyerah kalah, Amerika Syarikat menguasai negara itu.
Pegawai Amerika Syarikat menemu bualnya dan oleh kerana tidak ada siapa lagi yang menaja pembelajarannya, beliau disuruh pulang ke Malaya.Setiba di rumah keluarganya di Kampung Baru pada Disember 1945, keadaan kecoh kerana tiada siapa menyangka beliau masih hidup.
-----------------&..............................
Himpunan Mesej Keamanan yang ditulis oleh pelawat


Origami...Junichi san sedang mengajar cara membuat burung jenjang dengan kertas

Bernilai...jam dinding turut dipamer yang jarumnya berhenti tepat jam 11.02 menunjukkan ledakan berlaku pada waktu ini.

Di sebalik tragedi peperangan

Saya rasa cukup bertuah menjadi salah seoerang yang terlibat dalam menjayakan pameran yang julung-julung kali diadakan di Asia ini. Ia sekaligus membuka mata dan memberi kesedaran merasai betapa peritnya pemusnahan akibat ledakan bom nuklear.

Pun demikian,satu persoalan yang bermain di benak difikiran saya..dalam usaha negara Jepun melaungkan penderitaan yang mereka alami lebih 64 tahun akibat letusan bom atom kepada masyarakat dunia, namun tidak pernah pula mendedahkan atau menyentuh soal kekejaman mereka sewaktu mereka menjajah Tanah Melayu dan China pada Perang Dunia 2.

Adakah mereka seolah cuba menyembunyikan fakta tersebut dari pengetahuan dunia atau rakyatnya sendiri. Saya pasti kebanyakan warganya terutama generasi muda tidak mengetahui akan kekejaman tentera mereka suatu ketika dahulu. Malah langsung tidak pernah didedahkan dalam catatan sejarah negara mahupun buku-buku sejarah di sekolah.
Ada saya terdengar pendapat seorang student yang mengatakan Jepun tak pernah mendedahkan perkara ini, dan golongan mudanya tidak menahu langsung mengenainya, mereka memusnahkan buku-buku atau apa jua bukti yang terkandung rentetan sejarah mengenainya...benar atau tidak, tidak dapat pula saya pastikan.

Imej-imej hitam putih yang pernah dirakam sewaktu perang tersebut dimana dapat menyaksikan seorang tentera Jepun memancung kepala banduan perang dan menanam mereka hidup-hidup masih segar dalam ingatan saya tatkala leka mencari informasi Perang Dunia 2 dari Internet. Perlakuan mereka tidak ubah seperti kekejaman rejim Khmer.

Paling menyayat hati sewaktu menonton dokumentari di saluran astro sedikit masa dahulu, apabila salah seorang mangsa kekejaman tentera Jepun di China menceritakan bagaimana ibunya dirogol dan ramai lagi golongan wanita senasib dengannya menjadi mangsa kerakusan tentera dari negara matahari terbit itu.

Lebih memeranjatkan hal ini turut diakui oleh salah seorang tentera yang masih hidup untuk menceritakan pengalaman tersebut dan dirakamkan dalam bentuk dokumentari untuk tatapan generasi kini. Dan dalam temuramah itu, dia sempat meminta maaf atas tindakan tentera Jepun ke atas warga China dahulu. Tiba-tiba jer saya teringat filem Embun (eh betul ker ada tajuk ni yer lakonan Umi Aida dan Izi Yahya..rasanya kot)..benci betul tengok scene ni!..

Kejam..sebanyak 39 panel foto dipamerkan yang menunjukkan imej yang cukup menyayat hati akibat tragedi


Mendapat sambutan....momen pada majlis perasmian


1Malaysia..saya cukup suka tengok pelbagai kaum berkumpul dlm satu tempat seperti ini..rasa aman sgt!


Saksikanlah sendiri penderitaan akibat malapetaka bom atom





Mesej keamanan yang dikumpul akan dibawa pulang ke Nagasaki Peace Memorial Hall untuk disimpan.


Pohon Keamanan...origami yang dihasilkan oleh para pengunjung akan digantung dan seterusnya di simpan di Nagasaki Memorial Hall.

Origami & Mesej Keamanan.
Antara aktiviti pameran adalah pembuatan origami (paper cranes) dan menulis mesej keamanan. rupanya ada sejarah dlm membuat cranes. sememangnya orang Jepun pandai membuat paper cranes, namun ia menjadi fenomena terutama di Nagsaki dan Hiroshima apabila salah seorang mangsa ledakan Bom atom di Hirsohima, iaitu Sadako Sasaki menderita leukimia selepas 10 tahun terdedah oleh radiasi. ketika kejadian beliau baru berusia 2 tahun.
sepanjang di hospital untuk merawat penyakitnya, beliau percaya dengan membuat cranes sebanyak 1000 penyakitnya dapat disembuh. bagaimanapun setelah 8 bulan menderita akhirnya dia meninggal. berita ini mengejutkan rakyat jepun dan merupakan kematian akibat radiasi yang paling menyentuh hati.. rakan-rakannya yang mendengar cerita pembuatan paper cranes oleh Sadako telah membuat perkara yang sama. ia seterusnya menjadi simbol keamanan mereka dengan harapan ledakan bom atom tidak berulang lagi.
Untuk pengetahun, kesemua paper cranes dan mesej keamanan yang dibuat ini akan dibawa pulang dan disimpan di Nagasaki Peace Memorial Hall di Jepun.

inilah wajah Sadako Sasaki
Kesedaran & Keinsafan

Apakah hikmah @ pengajaran di sebalik serangan tentera Jepun ke atas Pearl Houbour dan kezaliman mereka terhadap penduduk Tanah Melayu dan China vs serangan bom atom ke atas bandaraya Hiroshima dan Nagasaki. Adakah ianya salah satu bentuk balasan di atas segala tindakan mereka terhadap negara luar. Itu juga tidak dapat saya pastikan.
Namun, apa yang boleh saya pastikan kesemua perlakuan yang tidak berperikemanusiaan itu adalah impak besar jika pemimpin yang ego, mementingkan diri sendiri memilih alasan untuk berperang jika gagal mencapai kata sepakat di meja rundingan, maka peranglah jawapannya!.

Dan sebagai seorang insani, saya cukup bersyukur dapat hidup dalam negara yang serba aman makmur ini dan paling penting tidak berhadapan dengan peperangan tragis ini. Walau bagaimanpun, sebagai insan juga saya turut bersimpati dengan nasib mereka yang terpaksa mengharungi dan menderita sebagai mangsa akibat peperangan.
Lebih-lebih lagi apabila mendapat tahu terdapat teori mengatakan bom atom yang diletuskan di dua bandaraya Jepun itu sebagai bahan eksperiman untuk US menguji sejauh mana kehebatan kedua-dua bom tersebut. ‘Bagus’ betul ‘bahan eksperimen’ dorang!!!. Patutlah dalam filem dokumentari yang ditayangkan di pameran menunjukkan beberapa tentera US berada berlegar di pusat ledakan untuk mengesan radiasi tidak berapa selepas ledakan.

Dengan demikian segala yang berlaku (hasil Perang Dunia I & II) ini diharap membuka mata kepada setiap pemimpin negara di dunia untuk tidak mengulangi sejarah kembali. Jadikan ia semua satu bentuk pengajaran dan jangan memperjudikan nasib rakyat hanya kerana anda berbeza ideologi, ego, membangga diri dengan kekuatan ketenteraan dan senjata masing-masing atau apa jua alasan anda untuk melancarkan perang.

Sebaliknya bersamalah berganding bahu, bertoleransi, bersama mencapai kata sepakat secara aman untuk memastikan keamanan sejagat yang abadi dan tiada lagi perang dunia seterusnya. Memetik kata-kata akhir ceritera dari Encik Watanabe, katanya;

”peperangan menjadikan manusia membunuh sesama sendiri dan akan mempengaruhi hati budi manusia. Kita semua tidak memerlukan senjata nuklear dan senjata pembunuh yang lain sekiranya peperangan dapat dihapuskan.

(No more Hiroshima, No More Nagasaki, No More War….)

- bulan ramadhan sepanjang tahun sejak duduk di taman batu muda ni, saya dan famili rasa seolah-olah berada di zon perang..mana taknya umah depan surau dan padang..so budak2 suka lepak depan umah dan melancarkan pelbagai serangan mercun bertubi-tubi....mengganggu keamanan betul!bingit telinga dibuatnya!..ayah dah banyak kali suh main jauh2 sikit , tengah padang ker..tapi hampeh, buat sakit tekak jer...tak makan saman... samapaikan anak buah umur 4 tahun pun selalu cakap,.." hei diamlah!..hehehe...

















No comments: