Friday, September 25, 2009

UBAT: Moden atau herba tradisional, mana pilihan anda?

teks: zaheerah
segmen: Muslimah Bestari


SALING-TINDAKAN UBAT MODEN DAN HERBA

Lazimnya apabila jatuh sakit seperti demam, orang pertama yang kita jumpa pastinya doktor. Paling tidakpun jika masih boleh bertahan sekadar membeli sahaja ubat di farmasi.

Boleh dikatakan ubat merupakan salah satu cara yang berkesan serta murah jika dibandingkan dengan kaedah lain dalam menentang penyakit. Malah, pada hari ini setiap penyakit ada penawarnya. Selain makan ubat untuk mengurangkan kesakitan yang dihadapi secara tiba-tiba seperti sakit kepala dan sakit perut ada yang terpaksa bergantung kepada ubat secara berterusan dan diambil pada waktu ditetapkan seperti penghidap diabetis, pesakit jantung dan sebagainya.

Lebih teruk lagi, ada juga orang perlu mengambil ubat sepanjang hayat seperti Tee Hui Yee penerima jantung yang berjaya menjalani pembedahan pemindahan jantung kali kedua di Institut Jantung Negara (IJN) tahun lalu.

Ubat konvensional vs herba

Bercakap tentang perihal ubat, ketika ini terdapat pelbagai jenis ubat-ubatan sama ada terjual di farmasi mahupun disediakan oleh pihak hospital dan klinik. Ubat konvensional ataupun moden ini dihasilkan berasaskan kajian penyelidikan rapi dari peringkat makmal sehingga klinikal (manusia). Justeru, ubat moden ini dianggap selamat dan berkesan diambil mengikut panduan yang ditetapkan oleh pakar.

Selain itu, terdapat juga ubat yang dihasilkan berasaskan tradisional yang dibuat daripada herba dan sumber tumbuh-tumbuhan dihasilkan dalam bentuk kapsul sekali gus dikomersilkan. Lazimnya ubat-ubat ini untuk rawatan dalaman wanita, resdung, membuang angin, sakit sendi-sendi dan sebgainya.

Menurut Profesor. Dr. Abu Bakar Abdul Majeed, Dekan Fakulti Farmasi dari Universiti Teknologi MARA, 'sediaan' (bukan ubat) herba banyak berasaskan kepada penggunaan tradisional. Namun demikian, katanya, terdapat juga sediaan herba yang telah dijadikan ubat konvensional selepas dipastikan ciri-ciri seperti di atas, contohnya digoxin untuk jantung, vincristine dan vinblastin untuk barah, dan sennoside untuk merawat sembelit. Justeru sediaan herba boleh dijadikan ubat konvensional jika melalui proses pempastian tindakan dari makmal ke ujian klinikal.

Dari segi keberkesanan masing-masing mempunyai manfaat dan keistimewaan tersendiri kepada pesakit baik sebagai penyembuhan, kawalan, pengurangan kesakitan dan sebagainya.

Namun, wujud persoalan sama ada sesuai atau tidak bagi pesakit untuk mencampur-aduk ubat-ubat yang diperolehi dari hospital dengan ubat herba. Hal ini mungkin kerana ada pihak yang merasakan bahawa amalan perubatan menggunakan herba adalah sesuatu yang baik kerana herba dianggap selamat dan kaedah menggunakan herba adalah dianggap sinonim atau selaras dengan Perubatan Islam.

CH: CARA UBAT BERTINDAK

Mengupas mengenai persoalan ini, menurut Abu Bakar, buat masa ini masih belum terdapat apa-apa bukti yang menunjukkan wujud saling tindakan antara kedua-dua jenis ubat ini andai diambil secara bersama.

“Sebenarnya, kita masih mendokumentasikan saling tindakan antara sediaan herba dengan ubat konvensional. Oleh itu, kita belum mengetahui bahawa pengambilan kedua-duanya sekaligus adalah selamat seratus peratus ataupun sebaliknya,” jelasnya.

Walau bagaimanapun beliau tidak menolak ubat moden dan ubat herba boleh saling bertindak melalui beberapa cara, antaranya ialah gangguan terhadap penyerapan ubat di dalam usus. Kebiasaannya menurut beliau, ubat herba menjejaskan penyerapan ubat moden yang mengandungi unsur logam seperti kalsium. Namun demikian, tambahnya lagi, kesan ini tidak begitu membimbangkan.

“Di samping itu, ubat herba dikatakan mampu menjejaskan proses perkumuhan ubat moden. Walaupun demikian, kesan ubat herba menukar kadar pembuangan air kencing biasanya sangat lemah dan tidak menimbulkan banyak masalah,” katanya.

Tambah Abu bakar, selain tindak balas tersebut, ubat herba berkeupayaan untuk meningkatkan paras ubat moden di dalam darah. Ubat yang telah diserap ke dalam darah wujud bebas atau terikat kepada protein di dalam darah. Katanya, keseimbangan ini penting untuk mengelakkan daripada paras ubat di dalam darah berada di tahap yang terlalu tinggi.

Namun, saling-tindakan jenis ini juga katanya tidak dapat dibuktikan dengan jelas dan hanya dilihat ketika ujikaji di dalam makmal sahaja.

“Meskipun masih belum dapat membuktikan seratus peratus akan tindak balas bagi pengambilan kedua-dua jenis ubat ini sekaligus, adalah lebih baik jika seseorang yang mengambil ubat seperti ubat anti-hipertensif, kencing manis, dan sebagainya, mengelakkan daripada mengambil sebarang sediaan herba agar tiada kesan yang tidak diingini berlaku.

Panduan pengambilan ubat-ubatan

Walaupun masih tiada lagi sebarang bukti kukuh mengenai kesan penggunaan ubat daripada kedua-dua kategori ini, Abu Bakar menasihati orang ramai agar berhati-hati dalam memilih ubat, terutama ubat yang dibeli selain daripada klinik mahupun hospital. Di samping itu, beliau menggariskan beberapa panduan cara pengambilan ubat yang baik.
Antaranya:
  • Sekiranya ingin mengambil kedua-dua jenis ubat ini secara serentak mahupun salah satu, rujuk dan dapatkan terlebih dahulu nasihat pakar.
  • Pengguna perlu menyemak terlebih dahulu dengan pihak berkuasa di Kementerian Kesihatan tentang sama ada ubat herba didaftarkan atau tidak. Sekurang-kurangnya mereka akan lebih yakin bahawa jika berlaku saling tindakan hasil daripada penggunaan ubat herba yang berdaftar, asal-usulnya dapat dikenalpasti melalui pembuat atau pembekal utama ubat-ubat tersebut.
  • Sediaan herba dalam bentuk ulam dan sayur-sayuran yang biasa diambil bersama makanan harian bolehlah diteruskan memakannya walaupun masih berubat, kecuali jika ada larangan dari pihak doktor atau ahli farmasi.
  • Namun demikian, perlulah dipastikan bahawa jika kedua-duanya digunakan sekaligus, biarlah tiada saling tindakan yang akan berlaku di antaranya.


End..


No comments: