Monday, April 28, 2008

Bekam- Rawatan Alternatif Yang Berkesan Merawat Penyakit.

Bekam. Mungkin ramai yang sudah tahu apa itu bekam dan bagaimana bentuk rawatannya. Namun tahukah anda bahawa rawatan bekam ini sudah mula wujud sejak zaman Nabi Muhammad s.a.w. lagi. Ini bermakna ia adalah salah satu warisan perubatan Islam yang paling baik. Sebagai buktinya, daripada riwayat Anas bin Malik r.a, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Bahawa tidak aku berlalu (jalan) di malam Israk dengan malaikat melainkan mereka berkata, “Wahai Muhammad perintahkan ke atas umat engkau dengan berbekam”.

Sejak zaman berzaman masyarakat Melayu menerima amalan berbekam sebagai salah satu medium rawatan. Kalau dahulu, bekam dilakukan menggunakan alatan seperti tanduk kerbau, gading gajah, batang buluh dan gelas tapi kini selaras dengan perubahan zaman, alatan untuk bekam juga berubah dengan menitik beratkan penggunaan teknologi moden (medium alat vakum moden yang bersih dan suci hama).

Menurut Noorazila Abdul Rahim, Pengarah Urusan Pusat Rawatan An-Nur, bekam dikatakan mampu merawat pelbagai penyakit dan memulihkan fungsi tubuh dengan berkesan.

“Bekam dalam istilah Melayu membawa maksud pelepasan angin atau pelepasan darah kotor dari badan. Manakala dalam bahasa Arab ia dikenali sebagai al- hijamah iaitu kaedah pembersihan darah atau angin dengan mengeluarkan sisa toksik dalam badan melalui kulit secara sedutan,” ujar Noorazila yang ditemui di pejabatnya, di Gombak.

Noorazila 26, yang sudah empat tahun menjalankan perniagaan rawatan bekam ini menyatakan proses berbekam perlu melalui empat peringkat iaitu bermula dengan rawatan asas, memulihkan sakit, mengekalkan dan memelihara kesihatan. Sewaktu rawatan asas, seluruh badan mesti dibekam contohnya di bahagian kepala, yang dilakukan secara berperingkat-peringkat dan tidak melebihi seminggu. Selepas itu, ia akan meliputi seluruh badan.

Tujuannya ialah untuk membuang keracunan dalam darah, memulihkan saraf-saraf dan organ-organ dalam badan. Di samping itu ia juga penting untuk membetulkan sistem badan dan memudahkan pengaliran oksigen. Setelah rawatan selesai, pesakit akan menjalani rawatan pemulihan secara berulang sehingga penyakit sembuh.

“Walaupun telah sembuh, mereka perlu mengulangi rawatan bagi mengekalkan kesihatan. Ini amat penting supaya pesakit berasa selesa dan segar. Berbekam tidak hanya pada orang yang berpanyakit tetapi mereka yang sihat juga boleh melakukannya, sekurang-kurangnya setiap enam bulan sekali,” katanya yang mengesyorkan rawatan bekam dibuat pada bulan Rejab ataupun Syaaban (17, 19 dan 21 haribulan) bagi mendapatkan keberkatan Allah s.w.t.

Beliau yang turut membuka pusat rawatan di Kota Bharu dan Johor berkata kebiasaanya, darah yang disedut keluar akan berwarna kehitam-hitaman dan kadang-kadang mempunyai lendir, lemak dan simptom keracunan yang lain. Darah yang terdapat di dalam badan yang tidak berfungsi lagi untuk tubuh, akhirnya membawa keracunan dan mengakibatkan sistem tubuh lemah. Jika tidak dibuang, toksin tadi akan menyebabkan badan tidak boleh bertahan dan terjadilah penyakit seperti buah pinggang, kencing manis dan penyakit lain yang merbahaya.

Bagi yang telah mendapatkan rawatan bekam, mereka akan merasakan perbezaan dari segi kecergasan otak, sendi-sendi jadi ringan, wajah berseri dan tidak ditumbuhi jerawat, tubuh semakin bertenaga, bau badan wangi dan seluruh organ dalaman badan bertambah sihat.

“Sebelum rawatan dimulakan, pasakit akan dinilai tahap kesihatan terlebih dahulu. Mereka akan diperiksa dengan melihat keadaan mata, tapak tangan dan kuku. Bahagian tubuh yang dipenuhi darah toksik selalunya berasa sakit, tegang, berdenyut, tidak selesa dan ketika rawatan, darah toksid pada badan yang sakit dikeluarkan. Apabila selesai, simptom penyakit akan mulai reda dan fungsi tubuh kembali kepada asal,” ujarnya yang mula mempelajari kaedah berbekam dari Institut Latihan Jejawi Perlis.

Tambah beliau lagi, teknik bekam yang diamalkannya selamat, tidak sakit dan merbahaya, malah berkesan untuk mengubat dan mencegah penyakit. Dalam jangka masa singkat jelasnya bekam dapat memperbaiki dan menjadikan tubuh lebih sihat. Bagaimanapun, Noorazila menasihati orang ramai agar memilih pusat rawatan bekam yang bersih dan selamat sama ada dari segi penggunaan alatan dan pengurusannya.

Fakta bekam:

Jenis bekam
v Bekam kering
Bekam kering atau bekam angin iaitu menghisap permukaan kulit tanpa mengeluarkan darah toksid. Biasanya, orang yang tidak tahan suntikan jarum atau takut melihat darah. Mengikut kaedah tradisional, kulit yang dibekam akan kelihatan merah kehitaman dan hilang selepas kira-kira tiga hari.

v Bekam basah
Bekam ini dilakukan dengan melukai permukaan kulit menggunakan jarum tajam. Darah toksid dikeluarkan menggunakan alat khas bekam. Setiap kali proses mengeluarkan darah toksid ia memakan masa antara tiga hingga lima minit bergantung kepada tahap kesihatan seseorang itu. Darah toksid dikenal pasti berdasarkan warna merah pekat dan berbuih. Mereka yang berbekam dinasihatkan tidak mandi selama tiga jam selepas berbekam.

Waktu berbekam
Pengamal perubatan tradisional berpendapat bahawa waktu.berbekam paling baik dilakukan ialah ketika pertengahan bulan kerana ketika itu, darah toksid berhimpun. Bagaimanapun, berbekam boleh dilakukan pada bila-bila masa untuk tujuan mengubati penyakit. Mereka yang berbekam dinasihati tidak mengambil makanan berat dalam tempoh dua hingga tiga jam sebelum berbekam atau lebih baik berpuasa sebelum berbekam

Larangan bekam
Tidak semua boleh berbekam kerana dikhuatiri akan memudaratkan kesihatan. Mereka yang mempunyai masalah tekanan darah rendah, pesakit kudis, perempuan mengandung dan ketika haid, mengalami masalah kulit serius atau dalam keadaan sangat letih, lapar dan kenyang. Antara anggota badan yang tidak boleh dibekam ialah mata, telinga, hidung, mulut, alat kelamin dan dubur.

Kebaikan bekam:
v Membantu menghilangkan pening dan migrain.
v Membuang angin dalam badan, melancarkan pernafasan dan sistem perkumuhan.
v Membantu memecahkan lemak, peluh dan melegakan demam.
v Memulihkan ketegangan urat leher, belikat, pinggang dan urat sendi kaki.
v Mencegah kebas kaki dan meredakan serangan angin ahmar.
v Mengeluarkan darah toksik dan melancarkan peredaran darah yang tersumbat.
v Membantu meringankan tubuh. Darah kotor yang terkumpul di bawah permukaan kulit menyebabkan rasa berat dan malas.
v Menajamkan penglihatan.
v Dikatakan dapat merawat pelbagai penyakit. Dianggarkan sebanyak 72 jenis penyakit dapat disembuhkan antaranya ketegangan urat, darah tinggi, jantung, kolesterol, migrain, sakit mata, angin ahmar, sakit gigi, jerawat, sembelit, tekanan dan buah pinggang.

No comments: