Monday, April 28, 2008

Keimanan Nuraisyah 'dibantu' oleh Sifat degilnya


Permata hati Nuraisyah dan suami

Sejak zaman kanak-kanak lagi sikapnya boleh dikatakan agak degil berbanding tiga orang kakaknya. Sebagai anak bongsu Chua Bee Teen atau nama Islamnya Nuraisyah Chua Abdullah, 34, beliau sering memberontak dan tidak berpuas hati dengan layanan yang diberikan oleh kedua orang tuanya terhadap adik-beradik yang lain. Mungkin kerana sejak kecil dia dibesarkan oleh neneknya.

Anak kelahiran Taiping, Perak ini sering mempertikaikan banyak perkara seperti mengapa kakak-kakaknya tidak membantu ibunya seperti mana dia lakukan walaupun ketika itu beliau masih kecil dan belum bersekolah. Namun begitu, beliau tidak pernah menganggap dirinya disisihkan. Malah kejayaan yang dikecapi pada hari ini sebagai seorang pensyarah undang-undang di Universiti Teknologi Mara adalah hasil bimbingan dan dorongan tidak berbelah bagi ibu dan bapanya.

Namun bercakap mengenai perihal degil, sikap inilah juga yang banyak membentuk perwatakannya agar teguh pendirian dan juga keimanan terutama dalam menghadapi dugaan dan cabaran sebaik bergelar saudara baru.

“Tidak semestinya degil itu akan membawa kepada sikap negatif. Sekiranya sikap tersebut itu dibentuk dengan betul untuk perkara-perkara yang memberi kebaikan, ia boleh menambah nilai positif kepada seseorang itu,” ujar Nuraisyah yang juga merupakan penceramah bebas.

Sering mempertikaikan
Malah sifatnya yang sering bertanya dan akan mempertikaikan sesuatu perkara sehingga berpuas hati dengan jawapan diberi turut menjadi faktor penyumbang utama kepada pengislamannya.

Mengulas lanjut mengenai hal ini, menurut Nuraisyah ibu dan bapanya yang juga merupakan penganut agama Buddha yang setia sering mengingatkan beliau dan adik-beradiknya agar berbuat baik dan tidak sekali-kali menganiaya dan mengecilkan orang lain. Walau bagaimanapun, terdetik di hati kecilnya, mengapa perlu berbuat baik, jika tetap juga menerima balasan buruk.

“Hal ini saya sedari selepas kematian datuk ketika saya masih kecil. Nenek, ayah dan ibu tidak putus-putus membakar wang kertas neraka untuk kegunaan mendiang datuk di sana. Jadi saya terfikir tidak ada manusiakah yang masuk ke syurga memandangkan hanya wang kertas bertulis perkataan neraka sahaja,” kata ibu kepada Nurafiqah Farhani,7, Nurqistina Nabila, 4 dan Haziq Firdaus, setahun tujuh bulan.

Jika hal ini ditanya, nenek dan ibunya sekadar menjawab ini adalah amalan yang menjadi warisan nenek moyang sejak dahulu hingga kini. Sementara itu beliau yang sejak kecil menerima pendidikan aliran Inggeris dan kurang fasih berbahasa Melayu ketika itu mula mengenal Islam sewaktu menyambung pelajaran di Tingkatan Enam dan tinggal di asrama.

“Sewaktu sekolah rendah saya tidak berminat dengan subjek Sejarah, tetapi ia mula berubah semasa di tingkatan enam apabila belajar tentang Sejarah Islam, tokoh-tokoh Islam dan sebagainya. Malah pada waktu inilah saya banyak belajar dan menghafal makna ayat-ayat Al-Quran, itupun kerana untuk lulus peperiksaan, ” katanya yang walaupun ketika itu tidak fasih berbahasa Melayu tetapi cukup gemar menulis esei dalam Bahasa Melayu.

Cikgu Zu
Walau bagaimanapun, pensyarah undang-undang ini tidak menyangka bahawa hal ini secara tidak langsung menjadi titik tolak ‘penghijrahannya’ kepada agama Islam. Melihat dirinya yang sering menggunakan petikan ayat suci Al- Quran bagi mengukuhkan hujah-hujah dalam penulisan esei yang begitu diminatinya, beliau tidak menyangka guru-guru di sekolah menyalah tafsir bahawa beliau pada ketika itu berminat dan mahu mendalami Islam.

“Sehinggalah saya didatangi oleh Cikgu Zu yang bertanyakan adakah saya berminat untuk memeluk Islam. Namun saya katakan bahawa saya bercadang untuk mendalami agama Kristian selepas tamat STPM. Jelas terpancar wajah kehampaannya. Namun begitu, ia berlaku tidak seperti yang dirancang.

“Sebaliknya pendirian saya mula berubah apatah lagi Cikgu Zu banyak menbantu saya mengenai Islam malah juga sering menghadiahkan buku-buku tentang pengenalan kepada agama suci ini. Bagaikan mendapat hidayah dari Allah, saya mulai yakin dengan kebenaran agamaNya ini dan tidak berpaling lagi. Akhirnya pada usia 19 tahun dengan bantuan Cikgu Zu, saya melafazkan kalimah syahadah,” jelasnya mengenai kisah pengislamannya.

Tidak lama selepas memeluk agama Islam, tahulah Nuraisyah bahawa sebenarnya guru kesayangannya itu mempunyai matlamat mengajar di sekolahnya; iaitu untuk mendorong mana-mana pelajar bukan Islam yang rajin belajar untuk memeluk agama Islam, sekurang-kurangnya seorang kerana gurunya itu yakin bahawa pelajar itu akan dapat menyumbang sesuatu kepada agama Islam.

“Cikgu Zu berkata, “kamulah pelajar yang saya tumpukan itu, Aisyah. Sudah sekian lama dan akhirnya impian saya tercapai, saya yakin kamu akan berjaya menemui jalan yang benar,” katanya mengimbau kata-kata Cikgu Zu.

Tentangan keluarga
Beliau yang pada mulanya menyembunyikan pengislamannya daripada pengetahuan keluarga akhirnya terpaksa jua mengkhabarkannya apatah lagi kesukaran untuk menjaga peradaban dari segi penjagaan aurat dan juga soal pemakanan halal.

Melihat reaksi bapanya yang boleh menerima kakak-kakaknya bertukar agama dan pegangan kepada Kritian memberi andaian kepadanya bahawa beliau juga akan menerima reaksi yang sama. Namun sebaliknya yang berlaku. Bapanya terkejut lantas tidak sedarkan diri dan dikejarkan ke hospital sebelum disahkan meghadapi tekanan darah tinggi.

“Doktor mengatakan ayah bernasib baik tidak diserang strok ketika itu. Ramai yang menyalahkan saya dan menganggap saya kejam melakukan begini kepada ayah. Sejak itu ayah sukar tidur dan terpaksa menelan pil tidur. Masalah saya menukar agama menghantui fikirannya,” ujar Nuraisyah yang juga banyak menyumbang dalam arena penulisan terutama buku undang-undang dan tentang saudara baru. Ia juga merupakan salah satu bentuk luahan rasa hatinya.

Ugutan
Disebabkan tidak dapat menerima perkhabaran itu, bapanya pernah mengugut akan mengumumkan ke dalam akhbar bahawa beliau anak derhaka. Dan paling menyedihkan hati Nuraisyah sewaktu beliau berhasrat untuk menyambung pelajaran ke Universiti Islam Antarabangsa, ayahnya pernah bercadang untuk menghantarnya ke tokong Cina supaya dia balik ke agama asal. Malah ayahnya juga pernah menyimpan sijil-sijil yang menghalang beliau mendaftarkan diri.

“Walaupun demikian, semua dugaan itu tidak melemahkan iman sya. Ternyata kini kedegilan saya ketika kecil terselah kini. Saya tidak berganjak dari pendirian saya. Apatah lagi saya telah temui apa yang saya cari selama ini. Walaupun tidak dapat menerima hakikat tersebut, akhirnya ayah mengalah jua dan menerima keputusan saya,” katanya yang turut mendapat galakan dan sokongan daripada pensyarah dan rakan-rakannya sewaktu di universiti.

Manfaat saudara baru
Tempoh 14 tahun memeluk Islam, Nuraisyah merasakan dirinya kini lebih tenang lebih-lebih lagi apabila mendapat galakan dan bimbingan daripada suami tercinta Ramzyzan Ramly. Ujarnya Islam banyak mengajar perkara yang baik-baik yang berhubung kait dengan soal kehidupan walapun sesuatu perkara itu dilihat remeh dari kaca mata orang bukan Islam tetapi Islam tetap memandang perkara itu ada baik buruknya.

Beliau yang sering diundang memberi ceramah motivasi untuk pelajar dan juga memenuhi jemputan oleh badan-badan bukan kerajaan (NGO) terutama aktiviti yang melibatkan aktiviti saudara baru ini berharap menerusi pengalamannya yang diterjemahkan dalam bentuk buku dan ceramah yang disampaikan mampu memberi manfaat kepada masyarakat umumnya dan khusus untuk saudara baru. Di samping itu dapat mengajak orang bukan Islam memahami lebih terperinci mengenai agama suci ini dan sekali gus memeluk Islam.

Pada masa sama juga beliau ingin menukar persepsi segelintir masyarakat yang menganggap bahawa saudara baru adalah golongan kelas kedua yang mempunyai kefahaman yang cetek tentang Islam sehingga mereka dicop sebagai tidak layak memperkatakan atau meluahkan sesuatu mengenai Islam.

end..

No comments: