Thursday, May 29, 2008

Juhaidi tidak mahu menjadi Islam yang merempat


Kali pertama penulis berjumpa dengan saudara baru ini ketika dibawa melawat restorannya; Kelantan Delights dalam satu lawatan khas para media ke pusat gaya hidup Sooka Sentral yang baru di buka baru-baru ini. Namun penulis hanya mendapat tahu bahawa beliau seorang mualaf setelah melihat namanya tertera sebagai Juhaidi Yean Abdullah setelah menghulurkan kad perniagaannya kepada penulis.


Memenuhi segmen Nur Islam yang dikelola, penulis mengatur pertemuan seterusnya dengan beliau bagi mengupas lebih lanjut titik tolak perjalanannya sebagai seorang Islam.
Tidak lekang bibirnya mengukir senyuman, anak kelahiran Cik Siti Wan Kembang ini memulakan kisahnya seawal usianya lapan tahun. Beliau mulai mengenal Islam setelah memilih mata pelajaran agama tersebut sebagai subjek pilihan.


“Semasa itu, pelajar berbangsa Cina atau India bebas untuk memilih mata pelajaran sama ada agama Islam atau kelas sivik (sekarang dikenali Pendidikan Moral). Jadi saya pun pilihlah untuk mengikuti kelas agama Islam dan mulai mendalami agama tersebut. Alhamdulillah, tidak lama selepas itu saya dapat menulis jawi dengan baik, ustazah pun memuji hasil tulisan saya,” senyumnya penuh makna.

Masyarakat Melayu
Bagi Juhaidi, Islam dan dirinya dirasakan cukup ‘dekat’ ini katanya, mungkin sedikit sebanyak dipengaruhi oleh faktor persekitarannya yang hidup di sebuah perkampungan Melayu sejak masih kecil. Menurut bekas wartawan akhbar ini, beliau dapat melihat cara hidup masyarakat Islam yang begitu berpegang teguh kepada ajaran agama pada setiap waktu.


“Saya tinggal dalam sebuah kampung yang rata-ratanya terdiri daripada masyarakat Melayu. Masjid pun dekat dengan rumah dan setiap hari dapat mendengar seruan azan. Malah kawan-kawan rapat pun kebanyakan orang Melayu. Saya kerap juga bertandang ke rumah rakan dan melihat sendiri bagaimana mereka sekeluarga menjalani kehidupan seharian sebagai muslim seperti bersolat. Dari situ saya lihat cara kehidupan orang Islam yang ternyata cukup berbeza dengan agama saya ketika itu,” jelasnya.


Jelas Juhaidi walaupun masih belum terbuka hati sepenuhnya untuk menjadi saudara baru, namun seawal usia lapan tahun beliau sudah tidak menyentuh apatah lagi makan daging babi. Pernah katanya, bapanya mengumpannya untuk membawanya melancong ke Singapura sekiranya beliau memakan daging tersebut. Namun, beliau bersyukur kerana dapat tetap mempertahankan keimanannya sekalipun ‘disogok’ dengan sesuatu yang mungkin akan menarik perhatiannya.

Minta dipanjangkan umur

Walaupun dapat belajar agama dan mampu menulis jawi dengan baik, namun ia masih belum membuka pintu hatinya untuk menjadi sebahagian daripada umat Nabi Muhammad s.a.w. Sebaliknya pada waktu itu, beliau berdoa agar Tuhan memanjangkan usianya untuknya memeluk agama Islam suatu hari nanti.


“ Pada usia 11 tahun, saya telah membuat pengakuan pada Tuhan dan memohon kepadaNya dipanjangkan usia agar saya berkesempatan untuk memeluk agama Islam hanya setelah saya sudah mampu hidup berdikari dan mempunyai pekerjaan yang baik. Saya tidak mahu hidup merempat setelah dibuang keluarga kerana tidak dapat menerima keputusan saya memilih Islam sebagai cara hidup yang hakiki. Pada saya sekalipun disisih keluarga, sekurang-kurangnya saya masih mampu meneruskan kehidupan atas usaha sendiri.


“Ini kerana saya masih teringat satu peristiwa ketika masih di bangku sekolah, apabila ada seorang mualaf datang ke sekolah untuk memungut derma dengan menunjukkan sijil daripada majlis agama negeri yang mengesahkan dia seorang mualaf. Saya cukup benci apabila ada segelintir saudara baru yang mengambil jalan mudah menyara hidup dengan cara mengutip derma. Oleh sebab itu, saya menanam tekad untuk berjaya terlebih dahulu sebelum bersedia memeluk Islam,” jelasnya yang juga pernah menjadi editor majalah untuk industri penerbangan dan pertahanan.


Pemilik nama asal Yean Lai Joo ini akhirnya melafazkan kalimah syahadah buat pertama kalinya pada April 1982 pada usia 22 tahun menerusi bantuan kenalan rapatnya Haji Sharani yang telah banyak membantu beliau mendalami Islam, malah merupakan individu pertama membawanya ke masjid menunaikan solat Jumaat.

Conteng arang ke muka
Ditanya mengenai penerimaan keluarga terhadap keputusannya itu, jelas Juhaidy, beliau bersyukur kerana tidak menerima tentangan hebat daripada ahli keluarga kecuali ayahnya yang begitu marah dengan tindakannya itu.

“Selepas sebulan memeluk Islam, saya balik kampung untuk memaklumkan kepada keluarga. Ayah cukup marah, manakala emak dan nenek pula menangis di kedua belah bahu saya. Sejak itu ayah mula tidak bercakap langsung dengan saya, tetapi saya bernasib baik walaupun ketiga-tiga abang saya menganggap tindakan saya itu ibarat menconteng arang ke muka , tetapi mereka tidak masuk campur atas keputusan saya kerana menganggap itu hak saya, dan tidak akan menjadikan ia sebagai satu isu yang merenggangkan hubungan kami adik-beradik.

“Ibu pula banyak menasihati saya untuk bersabar dan sentiasa tegur ayah walaupun dia tidak mahu bercakap dengan saya. Saya juga kasihankan dia kerana orang kampung mengutuk mak dan ayah tidak pandai jaga anak. Malah mereka mengangap saya masuk Islam bermakna saya juga masuk Melayu,” katanya yang ingin membetulkan persepsi tersebut.

Pun begitu, beliau tidak pernah rasa disisihkan, malah bersyukur kerana lama-kelamaan keluarga dapat menerima jalan hidup yang dipilihannya. Azam Juhaidi, walaupun berbeza agama, namun sebagai anak beliau tetap akan terus menjalankan kewajipannya menjaga kepentingan orang tuanya samapi bila-bila.

3 tahun pertama penting
“Saya ingin buktikan dan menjadi contoh terbaik kepada orang tua saya bahawa saya masih mampu berjaya dan menjaga mereka dengan baik walaupun saya sudah memeluk Islam. Selain itu, Alhamdulillah walaupun bukan sumbangan yang besar namun saya juga sedikit sebanyak dapat membantu orang kampung walaupun suatu ketika dulu pernah dikutuk,” kata bapa tunggal kepada tiga anak ini.

Menurut Juhaidi berdasarkan pengalaman dan pemerhatian beliau yang telah bergelar saudara baru selama 26 tahun, tiga tahun pertama menjadi salah seorang umat Nabi Muhammad merupakan satu tempoh yang cukup penting bagi memastikan keimanan golongan ini akan kekal terpelihara sebagai umat Islam yang hakiki.


“Tempoh ini dianggap kritikal, kerana sekiranya golongan ini tidak mendapat perhatian sewajarnya dan tidak diberi sokongan yang cukup padu dari semua peringkat seperti pertubuhan-pertubuhan kerajaan yang berkaitan atau orang Islam secara umumnya tidak mustahil saudara baru ini akan kembali semula kepada agama asal mereka.

“Berbeza dengan penyebaran agama Kristian oleh golongan mubaligh, mereka cukup komited dan sanggup melakukan apa sahaja asalkan berjaya mengajak penganut lain menyertai agama mereka seperti memberi perlindungan tempat tinggal, wang dan sebagainya. Justeru semua pihak berkenaan perlu menjaga kebajikan saudara baru agar sekurang-kurangnya mereka ada tempat untuk merujuk, lebih-lebih lagi bagi mereka yang disisihkan keluarga dan sebagainya,” tutur Juhaidi yang menjadikan pengalaman melihat Kaabah sewaktu mengerjakan umrah adalah suatu yang cukup berharga dan sekaligus mempertingkatkan keyakinan dan keimanannya terhadap kebesaran Ilahi.

No comments: