Thursday, May 29, 2008

Jelaskan maksud dan prinsip

Kebelakangan ini timbul pelbagai isu yang membabitkan kepentingan dan sensitiviti masyarakat Islam di seluruh dunia menerusi media cetak dan elektronik. Baik dari soal penindasan dari segi ketidakadilan undang-undang, diskriminasi agama, hal berkaitan kehalalan makanan, dan bermacam-macam lagi yang mungkin tidak didedahkan di media.

Terbaru isu mengenai cerita pendek Fitna yang diterbitkan oleh ahli parlimen Belanda, Geert Wilders yang menimbulkan kemarahan dan kutukan daripada segenap masyarakat Islam seluruh dunia. Filem berdurasi 15 minit itu secara terang-terangan mengkritik Islam serta ayat Al-Quran dengan sewenang-wenangnya dan tidak mengikut konteks.

Lalu apakah tindakan yang sewajarnya dilakukan oleh umat Islam sebagai respon terhadap pelbagai bentuk penindasan ini. Banyak pihak sama ada dari badan kerajaan dan bukan kerajaan (NGO), organisasi swasta dan orang perseorangan bersatu padu bangkit menyuarakan ketidakpuasan hati dengan pelbagai cara seperti demontrasi aman, boikot produk negara terbabit dan sebagainya.

Tidak terkecuali ialah Pertubuhan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) iaitu antara sebuah NGO yang tidak asing lagi dan aktif dalam mengenengahkan isu-isu yang berkaitan dengan kepentingan orang Islam terutama berkaitan hak kepenggunaan.

Kepenggunaan Islam.
PPIM ditubuhkan pada Jun 1997 dengan inisiatif sekumpulan ahli profesional yang terdiri daripada doktor, pensyarah universiti, para ilmuan agama dan individu-individu yang prihatin tentang permasalahan kepenggunaan Islam khasnya, dan semua pengguna, secara amnya.
Menurut Pengarah Projek pertubuhan tersebut Noor Nirwandy Mat Noordin, visi utama penubuhan PPIM adalah sebagai satu platform bertujuan untuk menjaga dan membela hak dan mengembalikan maruah para pengguna Islam, melalui pelaksanaan aktiviti-aktiviti yang proaktif dan berstrategi.

“Tugas PPIM bukan mengambil tindakan berbentuk hukuman terhadap pihak yang menimbulkan masalah berkaitan hak orang Islam. Sebaliknya lebih kepada tanggungjawab sosial dengan memberi kesedaran kepada setiap pengguna Islam akan tanggungjawab diri sendiri terhadap perjuangan hak kepenggunaan Islam di negara ini.

“Dengan menyebarkan maklumat, panduan dan pendidikan terancang adalah diharapkan para pengguna Islam benar-benar sedar dan bersama-sama menyumbang untuk mengembalikan maruah umat Islam yang kian tercemar dan terabai. Di samping itu, PPIM berusaha dengan gigih untuk menjadi pemangkin kepada perkembangan ekonomi umat Islam seperti menggalakkan penggunaan produk dari peniaga beragama Islam dan ekonomi Malaysia sebagai usaha kepada menjana ke arah perubahan yang positif di dalam kehidupan ummah,” katanya sambil merujuk bahawa kekuatan sesuatu kaum itu terletak kepada kekuasaan ekonomi.

Laman web interaktif
Selain mengajak umat Islam bersatu padu memboikot pelbagai produk-produk keluaran individu atau pihak yang tidak bertanggungjawab menindas masyarakat dan agama Islam seperti yang dilakukan oleh Geert Wilders, PPIM juga berperanan menyebarkan pelbagai sumber maklumat untuk masyarakat. Bukan sahaja aspek kepenggunaan tetapi juga melibatkan sumbangan sosial seperti menyebarkan pelbagai kempen kesihatan, menyampaikan sumbangan untuk golongan kurang upaya, menjadi sukarela untuk mangsa bencana alam, ceramah, forum dan sebagainya.

PPIM yang mempunyai 20 orang kakitangan ini juga menggunakan saluran media alternatif iaitu menerusi laman web interaktifnya yang memudahkan pengguna menyalurkan maklumat mahupun aduan dalam apa jua aspek yang berkaitan dengan kepentingan kepenggunaan masyarakat Islam.

“Laman web PPIM menjadi nadi utama sebagai penggerak bagi menyalurkan maklumat terkini dan pusat pengumpulan data kepada orang ramai selain berinteraksi dengan persatuan ini dengan menyuarakan pandangan dan scenario yang berlaku.

“Kami lihat pendekatan ini antara yang paling berkesan oleh PPIM sebagai platform untuk pengguna Islam menyuarakan pendapat memandangkan laman web ini telah menerima kunjungan pelawat seramai 51 juta sejak ia mula beroperasi tiga tahun lalu.

“Dan boleh dikatakan pihak kami menerima lebih ribuan aduan oleh pengguna setiap hari menerusi pelbagai saluran seperti khidmat pesanan ringkas, borang aduan dan emel. Walaupun PPIM tiada kuasa perundangan tetapi tetap juga sedikit sebanyak dapat membantu dengan menjalin kerjasama dengan pihak terbabit seperti Jakim, pelbagai agensi kerajaan dan juga pihak berkuasa,” tambahnya sambil menjelaskan PPIM juga membantu peniaga-peniaga Islam dengan cara menyenaraikan syarikat mereka melalui web yang sama.

Keberkesanan
Berdasarkan kajian oleh PPIM jelas Nirwandy, umat Islam di dunia ini pada zahirnya mampu mengawal ekonomi mereka. Ini memandangkan kajian berkenaan menunjukkan kuasa membeli paling besar adalah di kalangan orang Islam yakni mewakili 65% iaitu persamaan 1 bilion sebulan.

Tambahnya lagi, dengan kuasa ‘istimewa’ orang Islam ini secara tidak langsung mampu menentukan hala tujunya sendiri sekali gus membangunkan ekonomi golongan ini tanpa bergantung sepenuhnya daripada produk luar.

“Masyarakat Islam merupakan kumpulan pengguna terbesar di dunia dewasa ini ini. Dianggarkan kuasa membeli kita ialah sebanyak 1 billion sehari. Tetapi malangnya kita jarang mengukhwahkan diri kita bagi pengguna Islam. Cuba bayangkan jika kita semua bersatu padu menyokong produk kita dan apa seterusnya akan terjadi kepada pengeluar terutama musuh Islam. Kita harus mempunyai beberapa prinsip tetap serta jelas mengenai apa yang kita gunakan setiap hari.

“Misalannya dalam aspek makanan halal kita hanya mengambil kira produk akhirannya tanpa mempersoalkan samada proses penyediaan, simpanan, pengedaran ( perkapalan, pengangkutan) dan lain-lain mengikut keperluan dan hukum yang telah disyariatkan Islam sebagai satu proses.

“Kita harus melihat dari perspektif yang lebih luas dan menyeluruh kerana prinsip pembelian kita bergantung kepada beberapa faktor asas yang secara langsung melibatkan masa depan para peniaga Islam, ekonomi Islam dan Umat Islam sendiri. Lebih-lebih lagi bukan mudah untuk menyatukan Islam kerana memiliki perbezaan dari segi pemikiran dan ideologi. Jadi dengan kuasa membeli dan kekuatan ekonomi inilah akan menjadikan kekutan kepada umat Islam,” katanya di akhir pertemuan.

INFO PPIM
Nama persatuan: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM)
Presiden: En Mohd Yusop B Haniffa
Setiausaha Agong: Dato' Dr. Ma'amor Osman
Tarikh penubuhan: 14hb Jun 1997
Bilangan kakitangan: 20 orang
Alamat: No. 70X, Jalan Keramat Hujung, Bukit Keramat , 54000 Kuala Lumpur
Alamat laman web: www.muslimconsumer.org.my

No comments: