Tidak pernah terdetik di hatinya bahawa suatu hari nanti akan menjadi seorang guru. Ini kerana cita-cita asalnya ingin menjadi wartawan Bahasa Inggeris di sebuah syarikat penerbitan terkenal di ibu negara.
Malangnya hasratnya itu terbantut kerana desakan bapanya seorang majistret, yang mahu dia menjadi pendidik. Oleh itu, tiada cara lagi boleh dilakukan oleh Hajah Fauziah Datuk Mahmood, kecuali menurut kemahuan orang tuanya walaupun dalam keadaan terpaksa.
“Cita-cita sebenar Ummi mahu jadi wartawan. Ummi suka menulis dan sesuai dengan jiwa Ummi yang suka bercakap, ‘kepoh’ dan lasak. Tetapi lain pula jadinya kerana ayah mahu Ummi jadi guru. Suatu hari ketika pulang ke rumah, ayah beri sepucuk surat tawaran ke maktab perguruan. Walaupun telah menyuarakan hasrat hati tidak berminat, ayah tetap bertegas. Mahu tak mahu, terpaksalah Ummi pergi dengan hati yang berat,” kata wanita peramah ini yang lebih mesra membahasakan diri Ummi.
Disebabkan hatinya ‘tidak rela’ dengan kerjaya ini, kata Ummi, pada awal pengajian di Maktab Perguruan Perempuan Melayu Melaka (MPPMM), sengaja dia ‘menggagalkan’ diri setiap kali peperiksaan. Malahan setiap tugasan yang diberikan oleh tenaga pengajar dilakukannya ala kadar. Yang lucunya, kata Ummi dia gagal berbuat demikian, kerana secara ‘automatik’ dia akan menjawab soalan dengan betul.
“Macam mana nak gagal, jika setiap kali dapat kertas soalan sahaja, jawabnya bersungguh-sungguh. Nak jawab salah pun tak boleh, kerana Ummi tahu jawapannya. Cuma apabila buat tugasan, Ummi buat hentam sahaja,” ketawanya menceritakan kembali kisahnya menjadi guru.
Hati tersentuh
Namun sikap ‘acuh tak acuhnya’ mula berubah ketika dia menjalani latihan amali di Sekolah Kebangsaan Masjid Tanah, Melaka. Pengalamannya berhadapan dengan murid luar bandar telah menyedarkannya, bahawa tidak semua orang bernasib baik. Sayu hatinya melihat ada murid yang tidak berstoking ke sekolah, pakaian seragam tidak diganti dan sebagainya.
Sejak itu, Ummi mulai sedar bahawa kesenangan yang dimilikinya itu untuk dia membantu mereka. Lebih menyentuh perasaannya, juga menjadi titik tolak keazamannya untuk menjadi guru yang baik dan berdedikasi, tatkala menerima hadiah ‘berharga’ daripada salah seorang murid.
“Ketika itu hari terakhir latihan amali Ummi di sekolah itu. Selepas majlis perpisahan, ketika di atas bas, seorang murid yang berasal dari keluarga yang kurang berkemampuan menghadiahkan Ummi sepuluh naskhah Reader’s Digest edisi lama yang dibungkus dalam surat khabar. Saat itu juga Ummi menangis dan mulai insaf dengan perbuatan Ummi yang sebelum ini bersikap sambil lewa,” kata wanita yang berasal dari Johor Bahru ini.
Membawa perubahan
Bekas guru Bahasa Inggeris ini menimba banyak pengalaman mengajar sekolah di pendalaman. Sepanjang tempoh tersebut, banyak mengajarnya erti kehidupan dan merasai kesusahan orang lain. Walaupun sesekali berhadapan kesulitan, tetapi atas tiket keikhlasannya menyemai bakti mendidik anak bangsanya, terutama golongan kurang berkemampuan, dia hadapinya dengan tabah.
Buktinya dia sanggup berulang-alik ke sekolah yang terletak hampir 30 batu dari rumah sewanya. Hampir separuh pendapatan yang diterimanya sebanyak RM310 sebulan digunakan untuk menyewa teksi pergi dan pulang dari sekolah.
Berkongsi detik manis sepanjang pembabitannya selama 25 tahun bergelar guru, isteri kepada perunding motivasi dan penceramah terkenal Haji Hushim Salleh ini berbangga kerana berjaya membawa perubahan kepada sekolah tempatnya berkhidmat terutama pada tahun-tahun awal pembabitannya sebagai guru.
“Kebanyakan murid sekolah pendalaman, tidak didedahkan dengan sebarang aktiviti ko-kurikulum seperti sukan serta aktiviti pelajar. Bimbang keadaan ini boleh memberi kesan seperti membentuk sifat pasif para pelajar, Ummi ambil inisiatif menubuhkan pasukan bola jaring, melatih mereka, unit beruniform brownies dan sebagainya.
“Ia sebagai satu proses pendedahan. Mereka datang ke sekolah bukan sahaja untuk belajar, tetapi juga merangsang minda untuk peka dengan keadaan sekeliling dan membentuk keyakinan dan potensi diri,” katanya yang juga menggunakan elemen berbentuk hiburan dan ceria bagi menarik minat pelajar dalam kelas terutama meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris seperti bercerita, menyanyi, pementasan drama dan lain-lain lagi.
Bawa anak murid tengok wayang
Mungkin tidak pernah dibuat orang ketika itu. Jika orang lain lebih suka menonton wayang dengan pasangan atau sekumpulan rakan mereka, lain pula bagi Ummi. Inilah pertama kali penulis dengar guru membawa pelajarnya keluar menonton wayang. Walaupun agak ‘luar biasa’ tetapi begitulah caranya mendedahkan mereka kepada kehidupan luar yang ternyata asing buat mereka.
“Mereka memang tidak pernah pergi ke bandar. Justeru untuk mendedahkan mereka kepada dunia luar dan tahu keadaan sekeliling, Ummi membawa pelajar naik bas awam ke bandar untuk menonton wayang. Gembira mereka bukan kepalang. Maklumlah inilah pertama kali mereka menjejakkan kaki ke bandar. Lucu juga tengok, lebih separuh orang dalam bas itu, semua pelajar,” katanya yang memiliki Sarjana Muda Pengajian Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) dari Universiti Putra Malaysia (UPM).
Tiada masalah beratur di bank
Tiada yang diharapkan oleh guru apabila melihat seorang demi seorang anak didiknya menjadi insan berjaya. Menganggap profesion perguruan kerjaya mulia, dia bangga kerana ada antara pelajarnya yang telah pun bergelar doktor, pakar bius, pegawai bank, juruterbang dan sebagainya.
Dengan nada bergurau, katanya dia tiada masalah jika ke bank atau hospital yang sesak dengan orang ramai. Ini kerana ketika sedang beratur, dia disapa oleh pegawai yang mengaku anak muridnya.
“Bukanlah rasa bangga kerana dapat layanan ‘istimewa’ dan dikecualikan pula daripada beratur seperti orang lain. Tapi bangga kerana ada pelajar masih mengingati saya sebagai guru mereka. Inilah berkatnya menjadi guru. Pendek kata memang tiada masalah jika ke hospital atau bank,” katanya yang pernah menabur bakti di Sekolah Menengah Kebangsaan La Salle, Klang.
Jika tidak kerana masalah kesihatan yang dihadapinya, Ummi masih meneruskan kerjaya yang dicintai sehingga bersara wajib. Anak muridnya juga mahu dia terus mengajar. Begitulah, tanda bukti betapa sayangnya dia dalam dunia perguruan. Kalau boleh dia tidak mahu mengundur diri sebelum masanya. Kerjayanya sebagai guru lebih dua dekad dianggapnya terlalu singkat. Tetapi, ekoran penyakit darah tinggi yang dihadapinya memaksa dia mengundur diri dengan bersara awal daripada tempoh yang sepatutnya.
Namun, wanita cekal ini tidak boleh duduk diam. Ternyata naluri seorang guru dalam dirinya tidak lenyap begitu sahaja. Berkat dorongan yang diberikan oleh bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abdul Rafie Mahat (Allahyarham), supaya tidak terus berhenti begitu sahaja, mendorong Ummi membuka pusat tuisyen berhampiran rumahnya dengan menggunakan wang hasil persaraannya.
“Beliau meminta saya agar jangan berhenti menjadi guru. Sebaliknya mahu saya buat sesuatu menggunakan pengalaman dan ilmu yang ada. Katanya, tidak ramai yang mempunyai kelulusan TESL dan sangat rugi bakat yang ada disia-siakan begitu sahaja. Hasilnya tertubuhlah Pusat Tuisyen Berjaya Bestari,” katanya sebelum mengakhiri temu bual pada petang itu.
No comments:
Post a Comment