Sebagai ibu bapa, anda harus mengetahui khasiat susu untuk kanak-kanak yang sedang membesar. Menurut Pegawai Dietetik (Dietitian) Hospital Kuala Lumpur, Nor Sharita Mohd Saad, kanak-kanak yang berusia empat sehingga lapan tahun disarankan untuk minum susu sebanyak 800 miligram kalsium iaitu 2.6 (2 - 2/3) gelas susu sehari. Manakala bagi mereka yang berusia dari sembilan sehingga remaja berumur 18 tahun adalah sebanyak 1300 miligram kalsium iaitu bersamaan 4.3 (4-1/3) gelas susu sehari.
KHASIAT SUSU
Menjelaskan lebih lanjut perihal susu, menurut Nor Sharita, susu adalah sejenis makanan yang amat kaya dengan nutrien seperti protein dan kalsium yang bermanfaat untuk kesihatan tulang dan gigi yang kuat. Di samping itu, susu adalah sumber vitamin dan mineral yang baik yang setiap satunya memiliki satu atau lebih jenis fungsinya kepada kesihatan tubuh badan manusia.
Antaranya;
- Vitamin D dan K adalah penting untuk kesihatan dan pembentukan tulang.
- Vitamin B12 dan Riboflavin sangat diperlukan untuk kesihatan kardiovaskular (jantung) dan penghasilan tenaga.
- Vitamin B untuk penghasilan tenaga
- Vitamin A untuk sistem imunisasi
- Vitamin K dan Magnesium untuk kesihatan jantung
- Selenium merupakan mineral (trace mineral) yang berperanan sebagai penghalang penyakit barah.
- Tiamina (vitamin B) penting untuk fungsi kognitif, terutama untuk sistem daya ingatan.
“Selain itu, susu turut membekalkan protein yang diperlukan untuk pembinaan tisu serta karbohidrat dan lemak yang berfungsi sebagai pembekal tenaga. Bagaimanapun, kandungan kalsium yang terdapat dalam susu menjadikannya istimewa,” katanya.
PUNCA KERACUNAN SUSU
Berdasarkan signifikan khasiat susu kepada golongan ini, maka tidak hairanlah mengapa pihak kerajaan melaksanakan program bantuan susu sekolah di seluruh negara yang bermula sejak tahun 1960-an lagi.
Namun akhir-akhir ini berita mengenai masalah keracunan makanan yang didapati berpunca daripada kualiti minuman yang dibekalkan kepada para pelajar ini dilaporkan menerusi media elektronik mahupun cetak. Menurut berita tersebut, dilaporkan ramai murid yang mengalami cirit-birit dan muntah-muntah setelah meminum susu kotak yang dibekalkan.
Mengulas mengenai masalah ini, Sharita berkata, hal ini tidak mustahil berlaku kepada sesiapa memandangkan sifat ‘semula jadi’ susu yang merupakan bahan mentah yang mudah rosak.
“Secara saintifik, susu sebenarnya mengandungi asid yang rendah tetapi tinggi kandungan zat makanan (nutrien). Keadaan ini menyebabkan ia sangat sesuai untuk pembiakan bakteria, termasuk jenis bakteria yang menyebabkan keracunan makanan,” jelasnya.
Jelas Sharita, susu UHT (ultra-high temperature) atau susu terpasteur disediakan melalui kaedah pemanasan susu pada suhu sederhana (lazimnya di bawah 100 darjah Celcius). Ini katanya bertujuan bagi memanjangkan hayat susu tersebut kepada beberapa hari memandangkan bakteria yang tahan panas akan menjadi tidak aktif buat sementara waktu.
Namun menurutnya, sekiranya susu tidak dipanaskan secukupnya, terdapat risiko mikroorganisma tersebut tidak mati, sebaliknya akan terus membiak.
“Dalam keadaan susu yang rendah asid, menyebabkan banyak bakteria membiak, termasuklah Clostridium botulinum yang menjadi punca keracunan makanan. Justeru adalah tidak mustahil masalah keracunan susu adalah disebabkan susu tidak disimpan pada susu yang sesuai,” jelas Sharita.
PANDUAN PENGAMBILAN SUSU YANG BERKESAN
Walaupun kini pembuatan susu secara komersial menggunakan teknologi moden yang serba canggih dan pantas, namun itu tidak bererti anda boleh lalai daripada mengambil langkah berhati-hati sebelum membelinya. Pastikan terlebih dahulu anda memeriksa tarikh luput yang tercetak pada label susu. Jangan membeli susu yang tinnya telah kemik atau paket yang kembang.
Sebenarnya minum susu juga ada caranya yang tersendiri. Selain ia disimpan di dalam peti sejuk, sebelum minum, anda perlulah perhatikan terlebih dahulu keadaan fizikal susu tersebut. Sekiranya ia berkeladak, pejal, berlendir dan berbau busuk, maka elakkan daripada meminumnya.
Tambah Sharita, susu yang telah dibuka perlu disimpan di dalam peti sejuk dan hendaklah dihabiskan dalam tempoh 24 jam. Selain itu, sebagai sumber alternatif mendapatkan khasiat sama yang dibekalkan oleh susu, beliau turut menyarankan pengambilan hasil-hasil tenusu lain seperti yogurt, keju, ais krim dan lain-lain untuk kepelbagaian dalam diet harian.
No comments:
Post a Comment