Saturday, January 5, 2008

"Tiada Guru Yang Mahu Memukul Murid" Aminah Aboo Bakar



Sejak menjadi penulis bagi ruangan ini, telah membuka mata dan menyedarkan diri ini kebenaran betapa mulianya kerjaya seorang guru. Tanggungjawab mereka bukan sahaja mendidik dengan ilmu semata-mata tetapi juga bertindak sebagai ejen dalam membentuk sahsiah generasi muda menjadi insan berguna kepada agama, bangsa dan negara. Pengorbanan dan komitmen mereka ini ternyata tidak mampu dinilai dengan wang ringgit.

Malah Islam sendiri memberi penghormatan tinggi kepada pendidik atau murabbi, muallim, muaddib, mudarris alim atau ulama ini. Mereka bukan saja berperanan memberi kesedaran kepada diri sendiri, malah masyarakat mengenai komitmen dan hubungan dengan hukum Allah.

Allah berfirman bermaksud: “Wahai orang beriman, apabila dikatakan kepada kamu berikanlah sedikit ruang dalam majlis, maka berikanlah ruang, nescaya Allah memperluaskan ruang untuk kamu. Allah mengangkat darjat orang yang dikurniakan ilmu kepada mereka dan (ingatlah) Allah itu Maha Mengetahui terhadap apa saja yang kamu kerjakan.” (Surah al-Mujadalah, ayat 11)

Ayat di atas jelas membuktikan Islam memberi penghormatan tinggi kepada ahli ilmu. Oleh itu, dengan ilmu yang ada pada guru atau pendidik, mereka wajib menyampaikannya kepada orang memerlukan. Menerusi ilmu inilah dapat menimbulkan kesedaran manusia terhadap Allah dan dapat membezakan antara kebenaran dan kebatilan, sekali gus melahirkan bangsa yang maju dalam segala aspek. Oleh itu, guru mestilah menjalankan tugas dengan hati-hati, ikhlas, jujur dan beramanah.

Tanggungjawab guru yang tidak ternilai ini juga menjadi dorongan kepada Aminah Aboo Bakar sejak kecil lagi untuk mengejar cita-cita sebagai pendidik. Malah, bekas pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Gombak Setia menganggap tugas mendidik adalah warisan dari para nabi yang sentiasa mendidik umat mendekatkan diri dengan Allah SWT. Walaupun ketika itu, dibelenggu kemiskinan hidup, namun, ia tidak sedikitpun menjadi penghalang wanita ini meneruskan impiannnya itu.

Menurut anak kelima dari tujuh bersaudara ini, ketika remaja beliau akan membantu ibunya yang merupakan ibu tunggal menjual kuih. Malah, atas kesedaran sendiri untuk menambah pendapatan keluarga, Aminah mengambil upah membasuh dan menggosok baju setiap kali pulang dari sekolah. Berkat kesungguhannya untuk mengubah nasib keluarga dan demi mengejar cita-cita menjadi pendidik, akhirnya terbayar apabila beliau berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Kebangsaan Malaysia, dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Sastera dan Diploma Pendidikan pada 1971.

Sekolah bermasalah

Tanggal 12 Mei 1975 menjadi tarikh keramat baginya, kerana ia merupakan kali pertama beliau menjejakkan kaki ke sekolah sebagai seorang guru. Kata orang hari pertama pasti akan melakar detik manis, berjumpa kenalan baru dari kalangan guru, suasana persekitaran dan pelajar baru yang diharap memberi layanan baik dan mesra, tetapi keadaan itu sebaliknya tidak berlaku kepada Aminah. Penerimaan pelajar, katanya cukup ’berbeza’.

Sekolah ini memang terkenal dengan masalah disiplin. Hari pertama kesabaran saya diuji oleh sekumpulan pelajar tingkatan Lima. Mungkin melihat kepada keadaan fizikal saya ketika itu agak kecil, mudah untuk mereka permainkan. Sewaktu dalam kelas, mereka menyembunyikan pemadam papan hitam, jadi saya terpaksa menggunakan kain buruk. Tidak sangka rupanya pelajar nakal ini meletakkan seekor katak dibawahnya. Esoknya saya mengadu kepada pengetua dan meminta kebenaran untuk merotan mereka yang terlibat. Akhirnya saya rotan mereka di hadapan pengetua.

”Saya tahu, jika tidak bertindak demikian, mereka akan ingat saya takut dan senang dipermainkan. Hikmahnya, sejak insiden tersebut mengajar saya menjadi lebih tegas mungkin melihat kepada keberanian saya itu, pengetua terus melantik saya menjadi ketua guru disiplin,” kata bekas guru mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah yang berasal dari Pulau Pinang ini.

Menurut wanita yang cukup lembut tatkala bertutur ini, sepanjang tempoh kerjaya sebagai guru, beliau sering ditempatkan ke sekolah yang bermasalah terutama aspek disiplin dan pengurusan kewangan sekolah. Namun, tidak pernah sesekali beliau mengeluh, kerana baginya itulah antara cabaran perlu dihadapi sebagai seorang guru dan disebaliknya pasti ada hikmah. Beliau berhadapan rintangan tersebut dengan bersungguh-sungguh dan penuh kesabaran.

”Semua yang berlaku ada hikmahnya. Contohnya, walaupun pada mulanya pening memikirkan bagaimana untuk menguruskan masalah kewangan sekolah yang suatu ketika agak teruk, namun akhirnya saya bersyukur ia dapat diatasi. Lebih menarik, secara tidak langsung ia turut meningkatkan kemahiran saya dalam pengurusan kewangan sekolah. Sebenarnya guru perlu bersedia dalam apa jua situasi . Masih saya ingat di saat berlakunya banjir di kawasan sekolah ketika bertugas di negeri Pahang, gurulah yang paling sibuk mengawal keselamatan pelajar ketika banjir, menjaga harta benda sekolah, kawalan penyakit selepas banjir dan sebagainya,” kata ibu kepada empat cahaya mata ini yang pernah beberapa kali menerima anugerah kecemerlang pengurusan kewangan sekolah.

Happy mood’ di kalangan guru
Aminah yang pernah menerima Anugerah Tokoh Guru Daerah Gombak 2006 ini mendedahkan beberapa pendekatan tersendiri yang dipraktiskan sepanjang 30 tahun pembabitan dalam dunia pendidikan baik sebagai guru mahupun pengetua. Dengan menganggap tanggungjawab ini sebagai satu ibadah, beliau tegas dalam mendidik anak bangsanya, tetapi dengan cara berhemah. Beliau mahu anak murid hormat dan segan kepadanya sebagai guru dan bukannya kerana takut.

Di samping itu, katanya, setiap kali sebelum melaksanakan sesuatu tindakan baik berkenaan urusan pentadbiran sekolah mahupun disiplin pelajar, beliau sentiasa memohon petunjuk kepada Allah agar keputusan yang bakal dilakukannya adalah tepat. Tambah beliau lagi, sekiranya terpaksa mengenakan tindakan kepada pelajar seperti hukuman rotan, beliau terlebih dahulu akan jelaskan kepada pelajar itu mengapa tindakan itu harus dilakukan terhadap mereka.

Selain pelajar, beliau yang kini lebih banyak menghabiskan masa lapangnya dengan hobi berkebun dan menjahit setelah bersara pada Mac 2006 ini, juga mementingkan hubungan baik dan mesra di kalangan guru dan pihak pentadbiran sekolah. Baginya, amat penting bagi seorang ketua mewujudkan suasana’happy mood’ semasa bekerja dengan kakitangan. Jika guru dihimpit dengan pelbagai tekanan, katanya, ia akan menjejaskan emosi guru terbabit dan sekali gus mempengaruhi pembelajaran dan pengajaran pelajar.

”Sebenarnya tugas guru ini memang mencabar dan memerlukan kesabaran yang tinggi. Kerana itu, saya menekankan suasana ceria dan persekitaran yang kondusif di dalam sekolah dan tidak mahu para guru bertugas dalam suasana tertekan. Sekiranya keadaan ini berlaku akan menjejaskan emosi mereka dan dikhuatiri akan memberi kesan kepada pengajaran mereka. Saya menganggap kakitangan sekolah seperti keluarga sendiri. Malah ada di kalangan ahli keluarga mereka juga saya kenali. Membuat saya terharu, apabila sekolah menganjurkan sesuatu program, ada di antara suami dan anak-anak staf turut datang membantu seperti aktiviti gotong-royong dan sebagainya,” jelas Aminah yang turut menekankan konsep kepimpinan melalui teladan dengan menjadikan diri sebagai contoh kepada anak buahnya.

Beri kepercayaan sepenuhnya
Diminta mengulas mengenai berita guru menghukum dan mencederakan pelajar yang sering terpapar di dada akhbar akhir-akhir ini, Aminah secara peribadi berpendapat, kurang persediaan dalaman menyebabkan guru kurang sabar dengan kerenah pelajar sehingga bertindak demikian. Namun pada masa sama katanya, guru juga tidak sepatutnya persalahkan sepenuhnya. Beliau melihat masyarakat sekeliling terutama golongan ibu bapa kurang memberi sokongan dan komitmen dalam membantu guru untuk mendidik anak mereka, sebaliknya mereka terlalu bersikap melindungi dan mempercayai anak mereka.

Sekiranya hal dibiarkan berterusan bukan sahaja memberi tekanan kepada pendidik,malah tambahnya, turut menyebabkan status dan maruah guru terjejas. Sebaiknya, kata Aminah, ibu bapa harus meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada guru yang diberi tanggungjawab oleh mereka mendisiplinkan dan memberi ilmu pengetahuan kepada anak-anak mereka.

”Ramai menuding jari ke arah guru bila hal ini timbul. Kita perlu sedar bahawa pelajar sekarang bukan seperti pelajar dahulu, mereka kini lebih banyak dipengaruhi anasir luar. Budak dahulu begitu menghormati guru dan mereka tidak berani untuk mengadu kepada ibu bapa jika dirotan dan dimarahi, kerana tahu nasib mereka tidak akan dibela, sebaliknya akan dimarahi keluarga. Ibu bapa janganlah terlalu emosi menyalahkan guru jika anak mereka dikenakan hukuman, kerana tidak ada seorang guru pun yang mahu memukul muridnya sesuka hati tanpa sebarang sebab. Sebaiknya mereka perlu memberi kepercayaan sepenuhnya terhadap pendidik kerana mereka telah dilatih dan diberi asas ilmu perguruan selengkapnya,” jelas Aminah.

No comments: